Apabila kau melihat anak bulan (bulan baru), kau mungkin akan nampak bahawa bukan cahaya anak bulan sahaja akan bercahaya terang tetapi juga kau akan nampak seluruh permukaan bulan dengan cahaya yang sedikit pudar. Bahagian bulan yang mengalami cahaya pudar ini adalah sebenarnya cahaya matahari yang dipantulkan oleh bumi. Fenomena ini dipanggil sebagai "Earthshine" atau dalam bahasa melayu, sinar bumi. Secara ringkasnya, sinar bumi adalah cahaya matahari yang dipantulkan oleh bumi yang menerangi bahagian gelap bulan. Sinar bumi ini paling baik dilihat beberapa hari sebelum dan selepas bulan baru, sejurus selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit. Para saintis yang mengkaji pemanasan global mendapati bahawa sinar bumi lebih kerap berlaku pada bulan April dan Mei.
Fenomena Sinar Bumi (Earthshine)
Trivia: Leonardo da Vinci sebenarnya telah menjelaskan fenomena ini seawal abad ke-16 apabila dia menyedari bahawa kedua-dua bumi dan bulan memantulkan cahaya matahari pada masa yang sama. Sebahagian cahaya matahari yang diterima di bumi akan dipantulkan ke bulan dan kembali ke bumi sebagai sinar bumi.
Kepentingan sinar bumi kepada perubahan iklim
Kecerahan sinar bumi bergantung pada jumlah pemantulan cahaya matahari oleh bumi (dipanggil sebagai "albedo"). Albedo bumi biasanya dipengaruhi oleh awan kerana awan bertindak hampir memantulkan keseluruhan cahaya daripada permukaan bumi. Perubahan dalam kecerahan sinar bumi boleh dikatakan disebabkan kemendungan awan. Jadi, tidak setiap masa kita mampu melihat sinar bumi di bulan, jika kita mengalami cuaca yang mendung dan berawan.
Berdasarkan kajian di California Instritute of Technology, CIT dan New Jersey institute of Technology, NJIT, saintis telah mengukur sinar bumi sejak tahun 1980 dan berterusan sehingga tahun 1997. Kemudian mereka membandingkan data sinar bumi tersebut dengan data perlindungan awan global NASA. Mereka telah mengesahkan bahawa terdapat hubungan diantara albedo dan kemendungan awan. Semakin mendung permukaan bumi, semakin cerahlah sinar bumi. Mereka juga memperoleh anggaran perubahan dalam albedo Bumi sepanjang 20 tahun yang lalu. Para penyelidik mendapati bahawa sementara permukaan Bumi bertambah cerah dan kurang mendung dari 1984 hingga 2000, kemudian trend itu nampaknya telah membalikkan dirinya sendiri dari tahun 2001 hingga 2003 iaitu bumi menjadi lebih mendung, mencerahkan albedo bumi kepada nilai sebelum tahun 1995.
Albedo adalah faktor yang sangat penting dalam perubahan iklim sebab ia membolehkan kita menentukan jumlah tenaga daripada matahari yang diserap ke bumi. Dengan kaedah anggaran albeno ini, ia dapat membantu kita memahami dengan lebih baik perubahan iklim global dan menambah balik model iklim.
Sumber Rujukan: