Memaparkan catatan dengan label Pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengalaman. Papar semua catatan

Isnin, Februari 07, 2022

Pendedahan pertama terhadap terbitan formula fizik

Apa itu terbitan formula fizik?
Terbitan atau dalam bahasa inggerisnya "Derive". Selalu semasa kita sekolah menengah dahulu, kita akan diperkenalkan dengan formula-formula fizik (bagi siapa yang mengambil subjek fizik) dan tugas kita masukkan sahaja nilai kuantiti ke dalam formula fizik yang sesuai dengan soalan. Tetapi pernah tak terfikir bagaimana ahli fizik terbitkan persamaan tersebut? Kalau lihat pada pucuk pangkalnya memang sukar untuk menerbitkan suatu persamaan. Boleh lihat sendiri cara kerja ahli fizik teori. Oleh itu, saya akan berkongsi pendedahan saya terhadap terbitan formula fizik pada peringkat rendah sahaja.

Ahad, Oktober 03, 2021

Langit di KMK

Langit sebagai mukadimah
Kalau anda mahu saya ceritakan pengalaman saya di bumi KMK, maka mukadimahnya adalah langit di sana. Sebagai seorang yang tinggal Selangor, jarang sekali untuk memperlihatkan keindahan langit seperti di bumi KMK. Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) ini terletaknya di Changlun, Kedah. Memang betul-betul sempadan Thailand. Paling menarik hati saya adalah KMK ni boleh tahan terpencil jugalah tempatnya. Penuh dengan hutan sahaja. Waktu paling menarik untuk anda saksikan langit adalah waktu terbit dan terbenamnya matahari. Kadangkala langit itu berwarna oren kekuningan, kadangkala ia berwarna biru. Dan bagi saya, warna yang paling cantik adalah ungu. Mungkin kedudukan altitud di sini membolehkan cahaya ungu terbias cantik.

Rabu, Ogos 11, 2021

Cara rutin pelajar Cina

Betul ke pelajar Cina pandai?

Semasa aku menuntut di matrikulasi, aku ada rakan sebilik seorang bangsa cina. Aku agak kagum kerana kebanyakkan bilik memang pelajar melayu sahaja majoritinya. Tapi bilik aku ada pelajar cina. Pelajar cina bagi aku tidak asing, sebab dari sekolah menengah sudah bergaul dengan mereka. Cuma aku masih tak reti cakap cina keh keh. Nama dia Lew, dari hari pertama aku lihat dia memang serupa budak pandai dan skema. Aku nampak potensi kat situ untuk tanya soalan kalau aku tak faham. Tapi betul ke pelajar cina ni semua pandai belaka? Ya dan tak. Kalau nak kata pelajar cina pandai, pelajar melayu juga ramai yang pandai juga. Tapi kenapa mereka nampak lebih pandai? Sebab mereka rajin. Kita melayu pun ramai pandai, tapi kita tak gunakan secara optimum.

Bukan rajin hadap 24 jam buku

Lew merupakan pelajar yang rajin. Rajin yang aku katakan bukanlah jenis yang akan hadap buku 24 jam tetapi rajin yang aku katakan adalah dia fokus apabila dia hendak buat sesuatu dan menghargai masa yang dia ada. Sepanjang aku perhatikan rutin Lew, kebanyakkan dia menggunakan masa menonton youtube dan berehat. Aku pun tertanya, macam mana dia boleh ada masa lapang sebegitu. Sedangkan matrikulasi merupakan fast track. Maka pembelajarannya agak pantas. Tetapi baru aku tahu, dia jenis fokus melakukan sesuatu dan sangat tertib melakukan rutin. 

Bila dia ada kelas secara dalam talian, dia akan tumpukan perhatian dengan pensyarah dia. Tanpa sebarang gangguan pun atau perbuatan lain selain dari kertas, pen dan telefon untuk dia belajar. Mata melihat pensyarah mengajar, telinga mendengar pensyarah bercakap dan tangan menulis apa yang penting. Kemudian, kalau dia ada tugasan diberi oleh pensyarah dia. Dia akan buat tugasan tersebut tanpa tangguh. Tapi macam mana dia dapat jawab tugasan dengan mudah? Sebab dia dah fokus waktu kelas tadi. Dengan mudah dia siapkan semua soalan dan tugasan. Jadi aku terfikir bahawa, fokus sahaja tidak akan dapat membantu kita memahami sesuatu dengan mudah kerana suatu topik itu baru sahaja diperkenalkan. Jadi macam mana Lew boleh faham dengan mudah? Hal ini kerana dia dah belajar suatu topik kehadapan pensyarah dia mengajar. Oleh itu, dia tiada masalah untuk membuat tugasan melebihi kehendak pensyarah dia minta.

Tuntasnya, dia banyak masa lapang untuk dia berehat atau lakukan aktiviti lain dia. Ini adalah situasi 'win-win'. Dimana kau ada masa lebih dan kau dapat 'catch up' apa yang diajar pensyarah. Tetapi bukan macam aku, kekadang kelas dalam talian pun buat macam-macam. Tanpa memberikan tumpuan penuh pada kelas. Akhirnya, kita terpaksa kejar semula apa yang diajar yang mana ambil masa lebih pula. Cumanya kekurangannya cara Lew, terlalu gopoh melakukan tugasan menyebabkan kita mudah cuai. Aku dapat lihat ini apabila aku hendak menyemak jawapan dengan Lew. Ada juga fasa di mana ia kerap membetulkan jawapannya.

Betul ke pelajar Cina bangun awal?

Ya, dia jenis yang bangun awal. Bahkan bersiap untuk pergi kelas tutorial pada awal pagi walaupun ada beberapa jam lagi untuk kelas bermula. Bagi aku dia jenis yang tidak menyusahkan orang kerana dia selalu datang awal. Dari segi waktu dia waktu keluar dari bilik untuk pergi tutor, memang awal. Cukup untuk dia ambil sarapan pagi dan memanaskan fikirannya.

Tapi ada sebab juga kenapa dia mandi awal untuk bersiap. Dia tak mahu bersesak dengan pelajar lain sewaktu dalam tandas yang mana semua mandi jenis lewat. Benda ni memang aku contohi dia, bahkan aku sendiri memang tergolong di kalangan mandi awal. Apa yang aku tak ikut adalah pakai pakaian formal kemeja terlalu awal untuk ke kelas.

Bila kau pakai baju kemeja terlalu awal, kebarangkalian baju kau akan renyuk sebab terlalu banyak pergerakkan. Bila baju kau renyuk, kau akan nampak selekeh. Oh ya, tapi Lew tu jarang dia gosok baju. Huhu.

P/S: Tak semua pelajar Cina bangun awal ya. Aku ada member Cina lain yang bangun lambat Nauzubillah seakan dia tiada kelas. Aku pun jadi risau dia tak bangun lagi. Cuma petua dia kau kena jadi bijak sahaja, supaya tak kena marah dengan pensyarah sebab masuk kelas lewat.

Pelajar Cina tidur awal?

Rakan sebilik aku Lew tepat sahaja pukul 10 malam dia akan tidur. Apa yang menarik, bila dia tidur dia akan minta kebenaran untuk tutup lampu bilik. Pergh. Bayangkan pada pukul 10 malam bilik orang lain cerah lagi, bilik kami dah malap. Tapi kami langsung tiada masalah, lagipun 1 bilik 4 orang. Dan setiap orang ada lampu belajar masing-masing. Suasana macam ini buat aku lebih fokus ketika belajar dan buat tugasan sebenarnya.

Aku pula jenis yang tidur lambat, sama seperti rakan sebilik aku seorang lagi. Memang burung hantu. Kami pernah berjaga hingga 3/4 pagi. Aku kat kolej mengalami insomnia jangka panjang. Hanya disebabkan aku nak siapkan tugasan yang berlambak. Masa ini aku tak sedar lagi kaedah Lew. Bahkan sebenarnya aku lebih banyak hadap buku berbanding dia kekadang. Tapi dari segi kualiti, dia lebih efisien dalam belajar. Aku banyak main-main ketika belajar menyebabkan aku lambat menyiapkan tugasan. Termasuk menangguh "Assignment".

Cuma aku perhatikan, dia jenis yang tidur awal dan bangun lambat. Maksud aku, kalau kau tidur awal pukul 10 malam, sekurangnya kau bangun pukul 5 pagi untuk 8 jam kitaran tidur. Tapi dia bangun juga pukul 7 pagi. Mungkin kerana dia dah terbiasa, sebab rutin kan.

Apa yang aku boleh contohi dia adalah rutin dia yang tidur awal. Bila kau tidur awal dan dapat tidur yang cukup kau langsung tiada masalah ngantuk pada waktu pagi ke petang. Kira hebat juga teknik dia.

P/S: Tak semua ya pelajar Cina tidur awal, pernah juga member Cina aku tidur lambat nauzubillah belajarnya. Hingga aku sendiri nak tidur, dia belum tidur. Mungkin dia ada ujian esok. Monolog dalaman aku sendiri.

Mendapat kefahaman Optimum

Salah satu akhlak yang aku suka tentang Lew. Dia selalu tanya aku apabila dia tak dapat menjawab suatu soalan. Bukanlah selalu tetapi ada. Walaupun aku sendiri tahu yang dia lebih bijak dari aku. Tetapi sikap dia merendah diri dalam belajar, membuatkan aku hormat dia. Macam yang aku cerita sebelum ini, apabila dia tak dapat jawab sesuatu dalam tugasan dia. Dia akan pergi dekat aku, dan tanya aku sama ada aku dah jawab soalan itu atau belum. Tengoklah kalau aku dapat bantu dia atau tak. Kerapnya aku yang akan tanya soalan kat dia. Kalau kami dua-dua tak dapat jawab walaupun dah berbincang, kami akan tanya pada pensyarah masing-masing pula. Bila kami dah dapat jawapan, kami akan kongsi semula.

Lew boleh bertahan dalam berdebat. Pernah juga argue dengan dia berkenaan suatu topik conservation of energy bagi objek pada spring. Dan beberapa siri lain. Disebabkan aku cenderung dalam bidang fizik, bagi aku fizik kau bukan sahaja untuk terima secara bulat-bulat atau menggunakan matematik secara masuk dalam persamaan tetapi kau juga perlu memahami konsep fizik itu sendiri. Lew juga pernah argue apa gunanya matematik dalam kehidupan. Maksud dia seperti trigonometri, kebarangkalian, pembolehubah rawak dll. Aku nak jawab, tapi takut tersinggung hati dia. Maka aku diam. Bagi aku matematik ini adalah bahasa alam. Untuk kau berkomunikasi dan mengenali alam ialah melalui matematik. Bahkan sebenarnya semua silibus yang berada dalam matematik peringkat matrikulasi adalah yang melibatkan dalam sains. Kalau kau perhatikan setiap topik itu ada bergunanya pada beberapa topik sains yang lain. Sebab itu tidak semua tajuk matematik moden sewaktu sekolah menengah ada dalam silibus matrikulasi.

Terima kasih kerana membaca.

Khamis, Mei 07, 2020

Ordinary Students: Kehidupan Aku Sebagai Pelajar Biasa


Aku masih ingat,

sewaktu umur 5 tahun. Akulah menjadi pemimpin membaca doa makan sewaktu di tadika. Kemudian, sahabatku yang lain menadah tangannya sambil mengaminkan doa. Kemudian, masuk tahun 1 aku menjadi ketua kelas. Ketika itu aku langsung tidak mengharapkannya dan tidak mengenali sesiapa kerana aku berpindah sekolah ketika itu. Entah bagaimana sahabat sekelasku mengundi aku untuk menjadi ketua kelas. Sememangnya itu perkara baik buat mereka, dan perkara malang buat aku. Aku ketika itu saat malu dan tidak berani untuk menulis nama-nama mereka yang bising. Tapi aku berterima kasih kepada mereka yang diam tatkala cikgu meminta aku menjaga kelas saat ketiadaannya. Buat mereka yang bising semasa aku menjawat jawatan ketua kelas dahulu, aku mengucapkan semoga anda jadi orang berguna pada hari nanti.

Sememangnya aku dahulu sekolah rendah jarang dikenali, aku sentiasa menjadi pelajar biasa. Kadang aku lihat seperti tiada keistimewaan yang ada pada diri aku, dan cikgu pun tidak begitu memberi perhatian kepada aku. Tidak bergiat dalam sukan apatah lagi akademik. Mungkin ia kesilapan pada diri aku kerana tidak mempunyai kesedaran terhadap pelajaran ketika itu. Tahun demi tahun, aku diturunkan kelas akibat pencapaian akademik yang kurang memuaskan. Kemudian, aku mula mendekati alam maya. Saat itu aku bermula membuat akaun sosial media iaitu facebook pada tahun 2013. Pada ketika itu, aku saat ketagih akan dunia maya ini. Permainan video sudah menjadi kewajipan untuk mengisi masa lapangku. Sehingga membuatkan aku bersifat introvert. Aku kurang untuk bermain diluar seperti kawan-kawan aku yang lain. Lebih banyak duduk di rumah.

Patutlah kawan aku dahulu cakap kulit aku putih. Sebenarnya tidak pun. Aku hanya jarang keluar rumah. Kembali kepada sekolah rendah, aku jarang memberi sumbangan kepada sekolah. Malah, aku kekurangan sijil pencapaian apatah lagi jawatan. Namun, aku sering dilantik sebagai ketua kelas dan penolong ketua kelas tapi aku tahu. Itu semua tidak berguna sangat untuk aku melanjutkan pelajaran. Disebabkan aku dahulu terlalu ketagih dengan alam maya. Keputusan UPSR aku kurang memuaskan, aku hanya dapat 1A4B sahaja. Subjek yang aku dapat gred A tersebut adalah "Matematik". Aku percaya aku dapat A ini kerana usaha aku lebih berbanding subjek lain ketika itu. Mak ayah aku juga memberikan aku tuisyen matematik. Tidak dinafikan aku mempunyai minat terhadap matematik. Sebenarnya mak ayah aku juga ada menempatkan aku kelas tuisyen lain seperti Bahasa Inggeris, Sains dan subjek lain. Tapi semua itu tidak membuahkan hasil. Orang lain tak dapat mengubah kau sehingga kau mengubah diri kau sendiri.

Sememangnya harapan mereka pada aku tidak ada lagi. Masuk sekolah menengah, aku ditempatkan sekolah kebangsaan sahaja. Aku gelar ni sebagai sekolah A. Di sekolah A, aku menjumpai kawan-kawan aku yang lama. Disebabkan sekolah menengah ini berdekatan dengan sekolah rendah aku yang lalu. Sahabat-sahabat aku yang sekolah rendah dahulu ada yang masuk asrama dan juga MRSM. Sememangnya mereka ini memang bijak, sehingga aku membandingkan diri aku dengan mereka. Ketika aku mula masuk sekolah menengah, mak ayah aku tidak lagi memberikan tuisyen kepada aku. Ia hanyalah tindakan yang sia-sia bagi aku. Lagipun aku tidak suka sangat ada kelas tuisyen, menganggu aktiviti harian aku. Semasa aku di sekolah A, aku ditempatkan dalam kelas nombor 2. Saat ini aku kehilangan kawan baik aku, katanya dia sekarang belajar di maahad tahfiz (Rasanya). Ya, semasa aku sekolah rendah aku ada sahabat baik. Bagaimana baik dia tu? Sentiasa bersama aku setiap masa. Walaupun kami berbeza kelas, waktu rehat kamilah yang akan sama berdua. Tetapi ada sahaja kawan lain yang rapat juga. Kembali kepada sekolah A, sejak aku kehilangan kawan baik itu, aku ada juga kawan lain dalam kelas yang aku kenal. Semasa ni aku ada perasaan lain, iaitu aku mula menjadi pelajar yang amat pasif. Aku kurang bergaul dengan kawan perempuan.

Budak lelaki kawan sekelas aku amatlah berlainan daripada aku. Mereka ini pelajar yang amat aktif, lagi-lagi dalam sukan. Aku pula jarang melepak dengan mereka tatkala luar daripada sekolah. Aku sekolah menengah pun tidak tahu lagi membawa motor, tidak seperti mereka. Ketika ini aku masih ada sebahagian kawan baik. Yelah, masih baru lagi tingkatan satu. Tak lama selepas tu mulalah ada pelajar yang keluar sekolah sorang per sorang apabila mendapat tawaran ke sekolah lain. Kelas aku walaupun kelas nombor dua, tapi kelas kamilah paling bermasalah dahulu ataupun dalam kata lain kelas paling banyak kes. Bukan sahaja kes dalam sekolah malah luar sekolah. Aku juga mula terjebak, cumanya tidak sehingga masuk bilik disiplin. Setakat ponteng kelas itu adalah sebab ikut kawan punya pasal. Kalau ada satu laluan kemudian bercabang dua antara laluan kanan dan kiri. Akulah yang memilih laluan tengah walau tidak tahu mana perginya memyebabkan aku jenis bergerak solo dalam kelas. Nak kata berkawan dengan budak perempuan tidak juga. Nak kata rapat dengan budak lelaki pun tidak juga. Aku banyak menghabiskan masa aku secara keseorangan. Kawan dan cikgu pun mula menyedari pada akhirnya.

Kesedaran aku terhadap pelajaran tidak ada lagi, aku masih ketagih melayari internet dan juga bermain permainan video. Namun ada baiknya juga kerana aku berpengetahuan luas dalam bidang pengkomputeran. Subjek yang aku minat dahulu hanyalah ICT, dan minat aku terhadap matematik mula hilang. Tetapi ada suatu yang pelik juga berlaku, aku mula dikenali sebahagian cikgu atas sikap aku yang agak baiklah ketika itu (Entahlah since aku pendiam). Kemudian, tingkatan 1 ke tingkatan 2 hingga tingkatan 3. Pelbagai ujian dan dugaan aku tempuhi, aku sebenarnya sudah ada kesedaran sedikit dalam pelajaran apabila aku menyedari yang aku perlu usaha untuk mengubah nasib aku yang bergerak solo ini. Namun usaha aku untuk belajar masih sedikit, maksud aku. Aku masih leka melayari internet tapi pada masa sama aku juga siapkan tugasan kerja sekolah cikgu dan juga membuat sedikit latihan. Aku buat semua ini dengan harapan ada pertukaran kelas yang akan berlaku antara tingkatan 1,2 dan 3. Namun sayang, batch kami adalah sedikit malang. Kami tidak bertukar kelas pun walau keputusan kami ada yang lebih baik daripada kelas nombor 1.

Apa yang  paling pelik adalah kawan sekelas aku nampak aku ini seorang yang selalu tidur dalam kelas bila ketiadaan cikgu. Apatah minat aku untuk belajar masih kurang. Tetapi keputusan peperiksaan aku selalu dapat nombor 2 dalam kelas. Yep, aku pun pelik. Sebenarnya kalau nak ikutkan gred subjek, aku langsung tiada A yang ada banyak hanyalah C atau 2/3 D. Sepatutnya diorang belajar, usaha diorang ada patutnya dapat lebih dari aku kan? Tetapi kedudukan dalam kelas langsung tak bermakna dan aku kurang motivasi tahun demi tahun dan tibalah pentaksiran tingkatan tiga, PT3. Aku mendapat 1A juga dan beberapa C dan D. Itu pun aku dapat A kerana lisan BM aku.

Aku pernah dicalonkan sebagai pengawas sekolah ketika ini. Namun aku tolak permohonan ini, dan aku meminta maaf. Ketika itu cikgu pernah memanggil aku untuk turun ke dewan berkenaan taklimat pengawas. Namun aku meminta kawan aku untuk memberitahu cikgu supaya tidak menjadikan aku pengawas. Ya, semasa ini aku dalam kelas dan aku tak berani untuk turun ke dewan. Aku tahu inilah peluang cerah aku untuk mendapatkan jawatan kerana ketika itu sekolah kekurangan pengawas. Namun, aku menolaknya. Mungkin aku lemah untuk menjawat jawatan itu, dan mungkin juga aku hanyalah pelajar biasa.

Bagi aku, 3 tahun di sekolah A membuatkan aku sedikit kemurungan dan stress. Walaupun banyak pengalaman aku dapat, dan cikgu yang aku sayangi. Aku tahu ayah aku nampak perubahan dalam diri aku, aku nampak lebih muram dan kurang minat untuk ke sekolah. Aku pernah dahulu mengatakan bahawa sekolah ini adalah suatu sistem penjara yang menjadikan murid sebagai tikus makmal (Ya aku sedar akan kesilapan ini). Kemudian, ayah aku mencadangkan aku untuk pindah sekolah dan aku membenarkan sahaja. Walaupun tindakan aku ini amat berat dan aku hanya mengambil ringan akan hal ini. Aku tidak memaklumkan kepada sesiapa bila aku bertindak mahu berpindah sekolah. Sehinggalah aku memberitahu seorang kawan ini. 

Apabila sekolah sudah dibuka semula, aku mendengar khabar sekolah A. Aku mendapat masuk dalam aliran sains. Iaitu ada subjek kimia, fizik dan biologi. Aku juga ditempatkan ke dalam kelas pertama ketika itu. Namun, bukan berita baik buat mereka iaitu kawan-kawan aku di sekolah A kerana mereka tidak tahu yang aku berpindah sekolah sehinggalah kawan aku yang sudah aku maklumkan itu memberitahu secara terbuka. Tetapi aku rasa tindakan aku untuk berpindah sekolah adalah betul. Di sekolah A kau dibenarkan untuk ambil subjek sains komputer, cumanya kau tiada subjek sains yang lain ataupun ada subjek yang kurang. Pakej yang lengkap adalah fizik, kimia, sains komputer dan juga matematik tambahan. Lagipun kalau aku kekal di sekolah A, aku tidak suka untuk mengambil subjek biologi. Ya, aku langsung tidak suka haha.

Ketika aku di sekolah baru, aku gelarkan sekolah B. Mencabar buat aku, disebabkan aku hanyalah pelajar biasa dan kurang dikenali ramai. Hampir semua pelajar aku tak kenal kecuali seorang kawan ini. Aku kenal dia kat masjid. Sewaktu awal-awal sekolah tu ada juga beberapa pelajar baru seperti aku. Aku lepaklah dengan diorang. Sewaktu permilihan aliran kelas tu, aku tak terfikir pun nak masuk kelas apa kat sekolah baru ni, termasuklah nak masuk aliran apa. Tiba-tiba aku nampak ada aliran sains tapi beserta dengan sains komputer cuma tiada biologi. Kemudian, aku target kelas tu. Cumanya korang rasa layak ke PT3 1A dan beberapa gred C dan D masuk aliran sains? 1A. Kalau nak difikirkan pun memang tak layak, malah ramai lagi pelajar dekat sekolah B ni yang pandai-pandai dan dapat gred tinggi semasa PT3.

Syukur, Allah beri yang terbaik. Aku dapat masuk aliran sains walaupun hanya berbekalkan 1A semasa PT3. Ya, memang tujuan PT3 tu untuk lihat kebolehan kita untuk masuk aliran apa selepas ini, tetapi ia satu kesilapan untuk aku kerana tidak fokus terhadap pelajaran sebelum ini dan Allah memberikan aku peluang kedua untuk berubah ke arah lebih baik. Disebabkan aku pelajar baru, semua pelajar kat kelas aku semua aku tak kenal. Hanya seorang kawan sekelas lama aku je yang aku kenal dan dia seorang perempuan. Sekolah B ini semua bangsa ada, melayu, cina dan india. Agak nampak patriotik sekolah sini berbanding sekolah lama yang hanya ada bangsa india dan melayu sahaja. Kelas aku hanya ada beberapa orang melayu sahaja selebihnya cina dan india. Mungkin kerana ramai tak minat dengan aliran sains. Aku pun agak terkejut apabila pelajar yang baru masuk dengan aku tu tak ambil peluang dalam aliran sains. Tetapi aku sudah tekad yang aku memang nak ambil aliran sains yang ada sains komputer juga tu. Kalau diminta untuk turun kelas atau naik kelas pun aku tak mahu dan sanggup aku mohon untuk kekal.

Disebabkan aku pelajar biasa sahaja, juga kemahiran komunikasi aku agak kurang. Aku sebenarnya dikelilingi dengan pelajar bijak pandai. Ya, hampir semua kawan sekelas aku pandai dan semestinya aku agak down bila dengan mereka. Nampak betul kebijaksanaan diorang. Namun, bila kau rasa rendah diri. Masa inilah kau sedar yang kau perlu belajar sungguh-sungguh. Setiap masa itu berharga, bagi aku 1 minit aku terlepas, 10 minit mereka di hadapan aku. Jadi, seperti biasa mak ayah aku memang tidak memberikan aku sebarang tuisyen lagi. Hanya berbekalkan guru, buku dan internet. Tetapi aku tak ambil hati, sebab memang salah aku. Oleh itu aku tekad nak tunjuk dekat mak ayah aku yang aku juga mampu berjaya dan ada cita-cita. 

Masa inilah aku cuba untuk rapat dengan semua guru di sekolah ini. Sampai ada kawan aku kata yang aku ini anak cikgu. Perkara ini agak lawak bagi aku kerana ia sudah menjadi adab dan lumrah sebagai pelajar. Itulah tujuannya guru yang mengajar kita. Kalau tak faham suatu benda, jumpalah mereka. Walau tak jumpa pun, mesej mereka pun boleh. Tapi kena ingat, mereka ini adalah guru dan ada keberkatan dalam ilmu. Jangan kita lukakan hati mereka, lagi-lagi kita cakap buruk belakang mereka. Inilah kesilapan terbesar bagi pelajar. Namun aku syukur, Allah berikan kesedaran terhadap aku untuk menghormati guru dan lebih dekat dengan ilmu. Walaupun ada juga cikgu yang aku kurang minat, namun aku tetap hormati mereka dan mendoakan mereka.

Ketika ini kelebihan aku terhadap subjek sains komputer dapat dikesan oleh guru aku. Sememangnya subjek ini adalah subjek kegemaran aku. Masa ini juga aku mengambil peluang untuk mengasah bakat. Aku amat berterima kasih kepada cikgu aku kerana memberi aku peluang untuk menyertai beberapa pertandingan dan pencapaian dalam bidang ni. Sedikit menyedihkan kerana aku tidak seperti pelajar lain yang mempunyai banyak sijil. Aku pula semasa nak dekat SPM baru nak kumpul sijil. 

Aku juga pernah dicalonkan sebagai pengawas sekolah B. Tapi aku terpaksa tolak kerana ia sudah terlambat. Aku hanya ingin fokus kepada pembelajaran. Andai hidup aku bermula pada sekolah B mungkin boleh lah. Lagipun sekolah ini kekurangan pengawas yang berbangsa melayu.

Berkenaan dengan subjek Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan. Yep, awal-awal aku masuk memang jatuh teruk. Lagi-lagi bila pelajar macam aku, PT3 pun setakat mana. Setiap subjek sains aku pernah rasa gagal. Aku dah rancang sebenarnya selepas SPM ini nak masuk course apa kat universiti dan course itu adalah sains komputer. Syarat minimum pun semua subjek sains kena dapat "credit". Disebabkan matlamat inilah membuatkan aku sentiasa bangun tatkala aku jatuh rebah. Saat aku putus asa juga. Aku sudah tinggalkan ketagihan bermain permainan video, sememangnya itu memang bukan untuk aku. Aku fikir tiada guna kalau aku main permainan video tapi aku tak dapat nak peroleh manfaat buat diri ini atau masa hadapan. Aku tak pandang rendah pada mereka yang sungguh main permainan video, cuma dalam konteks aku. Kalau betul kau nak bermain permainan video dan kau ada matlamat untuk jadi e-sport gamer. Maka teruskan usaha kau. Kalau kau setakat main untuk suka-suka sehingga kau lupa matlamat sebenar kau, mohonlah kau sedar. Aku ada juga saudara yang bermain game, beliau berjaya je aku tengok. Jadi, aku tak larang untuk korang main game tetapi perancangan masa itu perlu ada.

Kembali kepada cerita, kekadang aku terfikir macam manalah aku boleh survive aliran sains ni. Mana datang semangat untuk aku terus berjuang walau aku gagal. Aku pasti semua itu daripada ibu bapa dan guru-guru yang memberi harapan kepada aku dan mendoakan aku. Semuanya atas pertolongan Allah! Semakin aku menimba ilmu, semakin tunduk aku mempelajarinya. Aku sedar, selama ini aku hanya mensia-siakan umur hidupku dengan perkara yang lalai dan sia-sia. Kawan-kawan aku sentiasa ada di hadapan, melebihi akal fikiran dan darjatku. Setelah aku memerah otak, dan bertungkus lumus usaha. Akhirnya aku dapat keputusannya. Walaupun tidak sehebat yang lain, namun ini hanyalah titik permulaan buat aku. Aku mendapat 4A4B1C. Subjek yang aku peroleh A adalah Fizik, Sains Komputer, Matematik dan Bahasa Melayu. Andai aku sedar betapa pentingnya ilmu, saat aku dilahirkan. Mungkin aku lebih hebat dari ini. Namun aku tahu inilah jalan yang Allah beri dan inilah sebaik-baik perancangan. Lihatlah sahabat, aku tidak sebijak kalian. Sentiasa berada di bahagian belakang. Namun aku memilih untuk mengejar bukan dikejar, oleh itu aku sentiasa berada di belakang kalian. Mengejar kalian untuk menjadi aku yang lebih baik.

Pandangan aku terhadap ilmu berubah, ilmu yang aku belajar selama ini seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan bukan sekadar menjadikannya cemerlang dalam ujian. Inilah hadiah paling berharga yang Allah beri pada aku. Mengubah aku melihat dunia dan ilmu.

Sekian daripada aku, seorang pelajar biasa yang sentiasa menjadi pelajar. Aku bukanlah manusia yang terbaik boleh dicari, malah tidak menempa nama. Terlalu biasa untuk tatapan manusia. Aku datang dan pergi.. menimba ilmu yang ada.. menuju pangkuan Tuhan.

-Sang Meruton-