Ahad, Mei 10, 2020

Biografi Imam al-Ghazali & Kisah Kitab Ihya' Ulumuddin

Biografi Imam Al-Ghazali

Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali lahir di Tusia, Khurasan pada tahun 450 Hijrah/1058 Masihi.

Beliau yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuan islam yang terkenal pada zamannya sehingga ke hari ini. Beliau juga merupakan seorang wali Allah dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta dianggap sebagai al-mujaddid pada kurunnya.

Nama penuhnya Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibni Ahmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazali at-Tusi. Nama panggilannya (kunyah) pula Abu Hamid. Antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepada beliau ialah Hujjatul Islam, Siraj al-Mujtahidin dan Zain al-'Abidin.

Beliau telah mengembara ke merata-rata tempat untuk berguru dengan ulama-ulama terkenal pada zamannya. Antaranya termasuklah Imam al-Haramain. Setelah menjadi orang alim dalam Mazhab Syafie, beliau merantau ke al-Askar dan di situ beliau telah dilantik menjadi guru di Institusi Pengajian Tinggi Nizamiah.

Pada tahun 488H, Imam al-Ghazali mengerjakan Haji di Mekah. Setelah itu beliau ke Palestin mengunjungi Baitul Maqdis. Kemudian menetap di Masjid Umawi di Kota Damsyik. Di sebuah sufat (sudut belajar) masjid tersebut, beliau telah menyusun kitab Ihya' 'Ulumuddin yang terkenal itu.

Setelah lama mengembara mencari dan menimba ilmu, akhirnya Imam al-Ghazali pulang ke kampung halamannya. Selain membina rumah kediamannya, beliau turut mendirikan sebuah madrasah untuk kaum sufi. Imam al-Ghazali mengurus masa dengan bijak dan seorang yang sangat berdisiplin. Beliau berdisiplin dalam membaca al-Quran, membimbing kaum tasauf dalam kerohanian, mengajar ahli-ahli fekah, mendirikan solat, zikir dan mengarang. Beliau meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 505 Hijrah/111 Masihi di Tusia.

Keajaiban Ihya' 'Ulumuddin

Ihya' 'Ulumuddin, kitab yang dihasilkan oleh Imam al-Ghazali bermaksud menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama. Kitab ini sangat terkenal berbanding hasil karyanya yang lain. Keistimewaan kitab ini bermula sewaktu beliau menyusun hasil tulisannya lagi. Imam al-Ghazali menyusun Ihya' 'Ulumuddin di sebuah sudut di dalam Masjid Umawi kerana di dalam masjid inilah terdapat perpustakaan yang besar dalam Daulat Islam.

Sepanjang masa penyusunan , Imam al-Ghazali menjalani kehidupan yang sangat sederhana dari segi makan, minum dan berpakaian. Beliau mengunjungi masjid-masjid dan melakukan perkara-perkara yang diredhai Allah. Setelah kitab setebal empat jilid besar itu siap sepenuhnya, beliau pergi ke Baghdad. Di sana beliau telah mengadakan majlis penerangan tentang kitab Ihya' 'Ulumuddin.

Hasil tulisan beluau mendapat banyak sanjungan ketika beliau masih hidup atau sesudah ketiadaannya. Namun begitu, terdapat juga tanggapan dan kritikan. Sehingga kini, kitab tersebut masih mejadi bahan kajian dan rujukan para cendekiawan.

Ahli-ahli Fekah pada zaman pemerintahan Sultan Yusuf bin Tasyfin di negara Maghribi sangat marah kepada Imam al-Ghazali kerana tersinggung dengan kandungan Ihya' 'Ulumuddin yang banyak mengkritik ahli-ahli Fekah yang sudah jauh daripada ajaran al-Quran kerana bersikap taklid. Usul Fukaha' kepada Sultan Yusuf agar Ihya' 'Ulumuddin dibakar dan dilarang pengedarannya di negara Maghribi diterima.

Apabila Imam Ghazali mendengar berita itu, serta merta beliau berkata ;

"Tuhan akan mengoyak-ngoyakkan kerajaan mereka sebagaimana mereka telah mengoyak-ngoyakkan kitabku."

Kebetulan di dalam majlis Imam Ghazali ketika itu ada seorang pelajar yang berasal dari Maghribi bersama Muhammad Bin Taumrut. Sebaik sahaja mendengar kata-kata tuan gurunya, Muhammad bin Taumrut bingkas bangun dan berkata: "Wahai Imam! Doakanlah kepada Tuhan, semoga keruntuhan kerajaan Bani Tasyfin terjadi di tanganku."

Setelah tamat pengajian, Muhammad bin Taumrut pulang ke Maghribi. Dia mula menyusun kekuatan untuk membuktikan kata-kata gurunya. Dengan izin Allah, Muhammad berhasil merebut kekuasaan daripada Bani Tasyfin dan dia sendiri menjadi Raja Maghribi dengan nama kerajaan Muwahhidin.

Imam Ghazali mendapat khabar gembira daripada Raja baru, anak didiknya bahawa perjuangannya sudah menang serta kitab Ihya' 'Ulumuddin sudah diakui dan bebas tersebar serta digunakan semula di Maghribi. Imam Ghazali bercadang untuk berpindah ke Maghribi tetapi hasratnya tidak tercapai kerana meninggal dunia pada tahun 505 Hijrah ketika berusia 55 tahun.

Ibnu Arabi menceritakan bahawa di kota Sevella, Sepanyol ada seorang lelaki bernama Abu Abdullah bin Zain yang rajin membaca kitab Ihya' 'Ulumuddin dan karangan-karangan Imam al-Ghazali yang lain. Pada suatu hari, dia membaca buku karangan Abu Qasim bin Ahmad yang isinya membantah karangan Imam al-Ghazali. Dengan kuasa Tuhan, mata lelaki itu tiba-tiba menjadi buta. Dia menyesal, memohon ampun kepada Allah serta berjanji tidak akan membaca buku karangan Abu Qasim bin Ahmad lagi untuk selama-lamanya. Buku itu dicampakkannya. Dengan izin Allah, mata Abu Abdullah sembuh seperti biasa.

Al-Manawi pula menceritakan bahawa Ibnu Harazim termasuklah salah seorang yang tidak suka dan mencela Imam Ghazali serta kitab-kitabnya, bahkan melarang membaca Ihya' 'Ulumuddin. Suatu hari dia membawa sebuah kitab ke hadapan sahabat-sahabatnya.

"Tahukah engkau kitab apa ini?" Tanya Ibnu Harazim. "Itu kitab Ihya'," jawab yang ditanya.

Ketika itu juga mereka dibuka batas pandangannya oleh Allah. Maka dengan izin Allah, mereka melihat Ibnu Harazim diseksa dan dipukul bertubi-tubi. Ketika tidur, Ibnu Harazim bermimpi didatangi oleh Imam Ghazali dan mengajaknya berjumpa Rasulullah SAW.

"Wahai Rasulullah, inilah orang yang mengatakan bahawa aku bercakap apa yang tidak kamu cakap," kata Imam Ghazali.

Rasulullah SAW mengarahkan agar Ibnu Harazim dipukul, maka dia pun dipukul berkali-kali.

Pengiktirafan Dunia

Kehebatan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali diakui oleh seluruh dunia. Kajian dan ulasan tentang Ihya' bukan sahaja dalam kalangan tokoh Islam tetapi juga dalam kalangan kaum orentalis. Ds. Zwemmer salah seorang pakar ketimuran berbangsa British mengakui kehebatan dan memasukkan Imam al-Ghazali sebagai salah seorang daripada empat manusia hebat sejak zaman Rasulullah SAW sehingga kini.

Mereka ialah :

1. Nabi Muhammad SAW
2. Imam al-Bukhari, Ulama Hadits terbesar
3. Imam al-Asyari, Ulama Tauhid yang Termasyhur
4. Imam al-Ghazali, pengarang kitab Ihya' 'Ulumuddin yang terkenal

Menurut Ds. Zwemmer, seorang tokoh kristian, sesudah Nabi Muhammad SAW, ada dua orang yang amat besar jasanya dalam menegakkan Islam. Pertama ialah Imam Bukhari kerana jasanya mengumpulkan hadits, dan yang kedua ialah Imam al-Ghazali kerana kitab Ihya' 'Ulumuddin.

Seorang Arif billah dari Yaman bernama Ahmad al-Yamani berkata bahawa dia pernah melihat pintu-pintu langit terbuka. Segerombolan malaikat turun dengan membawa pakaian berwarna biru dan haiwan kenderaan. Kemudian mereka berhenti di sisi sebuah kubur dan mengeluarkan seseorang dari dalamnya lalu memakaikannya dengan pakaian baru dan dinaikkannya ke atas kenderaan. Setelah itu, para malaikat tersebut membawa orang yang dikeluarkan dari dalam kubur tadi naik ke angkasa sehingga menembusi beberapa langit dengam membuka sehingga tujuh puluh hijab. Keadaan ini membuat Ahmad al-Yamani hairan dan kagum, siapa gerangan orang yang dibawa naik tersebut. Tiba-tiba terdengar suara: "Dialah Imam al-Ghazali."

Kata-kata hikmah Imam al-Ghazali:

1. Ilmu agama ialah memahami jalan menuju akhirat yang dapat diketahui dengan kesempurnaan dan kebersihan akal.

2. Menempuh jalan ke akhirat adalah sukar dan banyak tipu dayanya tanpa penunjuk jalan dan teman. Adapun penunjuk jalannya adalah para ulama.

3. Orang yang tidak berilmu hatinya menjadi sakit dan kemungkinan hatinya akan menjadi mati.

4. Sebelum meninggalkan dunia yang fana ini, al-Ghazali berkata: "Aku letakkan arwahku di hadapan Allah SWT, Kamu tanamlah jasadku di lipatan bumi yang sunyi lagi sepi. Namaku akan bangkit kembali menjadi pertuturan dan buah bibir umat manusia pada kemudian hari."

Peninggalan Imam al-Ghazali

Kitab-kitab yang telah ditulis oleh beliau adalah amat banyak dan telah dianggarkan melebihi 200 buah. Namun begitu, yang masih kekal hingga ke hari ini hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja.

Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis didalam bahasa Arab, dan ada juga yang telah ditulis dalam bahasa Parsi. Antara kitab al-Imam al-Ghazali yang lebih terkenal di Malaysia ialah:

🌸 ar-Risalah al-Ladunniyyah
🌸 al-Mihqidh Min ad-Dalal
🌸 Bidayah al-Hidayah
🌸 Mizan al-'Amal
🌸 Kimiya' as-Sa'adah
🌸 Misykah al-Anwar
🌸 Ihya' 'Ulumuddin.

Sumber : Buku Ihya' 'Ulumuddin karya Imam al-Ghazali (Cetakan ke-7)
Share:

0 Komen:

Catat Ulasan