Isnin, Julai 11, 2022

Berbaloi ke beli buku rujukan yang dicadangkan oleh pensyarah?

———

Oleh hh (Isnin, Julai 11, 2022)

Sahabat saya pernah meminta pendapat saya berkenaan berbaloi atau tidak jika dia beli buku rujukan yang disyorkan oleh pensyarahnya. Sebenarnya, keperluan membeli buku ini bergantung kepada individu. Kita perlu lihat apa keperluan jangka masa pendek dan jangka masa panjang buku tersebut pada diri kita jika kita ingin membeli buku tersebut. Adakah kita akan gunakan buku tersebut hanya untuk semester ini sahaja ataupun masa yang akan datang? Jika keperluan kita untuk menggunakan buku tersebut adalah sementara sahaja, cadangan saya adalah untuk tidak melaburkan duit pada buku tersebut. Bahkan ada alternatif lain iaitu dengan pergi sahaja cari buku rujukan tersebut di perpustakaan ataupun muat turun buku tersebut dalam ebook jika ada. Namun jika kau merasakan buku itu berguna untuk masa hadapan, misalnya kau nak rujuk kembali apa yang dipelajari maka aku nasihatkan untuk beli sahaja tanpa berfikir panjang. Lagipun buku rujukan memang kebanyakannya mahal. Dalam industri buku, itulah harga piawaiannya. Namun, ramai sahaja alumni yang menjual buku rujukan dengan harga yang lebih murah. Bahkan kalau mereka tawarkan pada aku buku yang aku nak itu dengan harga murah, semestinya aku beli (Walaupun 2nd hand).

Aku selalu nasihatkan pada diri sendiri untuk tidak berkira dalam membeli buku. Jika ada duit belilah, jika tiada duit kita kumpul dan buat sampai jadi. Namun situasi ini terpakai jika kau betul-betul nak buku tu. Kalau tiada keperluan seperti aku katakan sebelum ini maka tidak perlu pun. Bahkan daripada kita laburkan duit PTPTN untuk berjoli, adalah lebih baik kita gunakan duit tersebut untuk membeli buku. Sikap tidak berkira duit dalam membeli buku ini juga perlulah berpada jika mampu. Sewaktu aku belajar di matrikulasi, aku lebih memilih buku dari isi perut sendiri. Pernah duit dalam bank aku tak sampai RM50 lebih kurang RM30-RM40 menyebabkan aku tidak mampu mengeluarkan duit daripada mesin ATM. Jadi makanan aku adalah berberaskan maggi yang cukup-cukup bertahan sehingga elaun masuk. Jangan jadi macam aku ya.

Jika aku sendiri, kebanyakan buku rujukan yang aku beli adalah kegunaan jangka masa panjang. Mungkin habis belajar pun aku masih rujuk buku tersebut. Sebab memang sifatnya manusia ini pelupa dan pembacaan (bukan hafalan) dalam ilmu sains itu perlu diulangi untuk memahami konsep dengan lebih jelas. Jarang juga untuk aku menjual buku-buku yang aku beli. Tuntasnya, bergantung kepada diri kau sendiri. Namun ini adalah cara aku menentukan buku tersebut berguna ataupun tidak untuk aku beli. Melihat isi kandungan buku juga adalah satu cara lain, jika isi kandungan dan penerangannya adalah lebih baik dan mudah difahami oleh kau, mengapa tidak kita laburkannya?

Buku umpama pokok dan buah fikirnya adalah ilmu. Pemikiran yang diperam pasti akan kehabisan isinya. Maka dengan membaca buku bermanfaat itu maka bercambah jugalah pemikirannya.

- hh







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan