Khamis, Disember 08, 2022

Muhasabah Diri: Mengehalkan perbuatan kita

———

Oleh hh (Khamis, Disember 08, 2022)

Adalah keperluan kita untuk senantiasa muhasabah diri kita semula atas setiap perilaku yang telah kita lakukan. Muhasabah diri ini tidak lain adalah merenung diri kita semula. Bila kita katakan merenung itu adalah kita tenung dengan mata yang menilai kekurangan yang ada dalam diri kita. Sebagaimana kita menghadap cermin, semakin kita menghampiri diri kita pada cermin, semakin jelas kita tampak akan kezahiran diri kita. Dalam kezahiran itu adanya kelemahan dan kekurangan. Kadangkala kita tidak menyedari bahawa ada sisihan kecil daripada perbuatan kita itu adanya kekurangan atau memberi mudarat kepada orang lain. Atas hal itu adalah berkeperluan untuk kita muhasabah diri semula walaupun ia pahit untuk ditelan kerana kebanyakan manusia itu sendiri tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri. Atas sebab itu andai tidaklah memakan ubat, maka timbullah penyakit hati yang terdiri daripada sifat buruk ataupun mazmumah seperti riya’, al-ghadhab (marah), lalai dan lupa (al-ghaflah wan nisyah), was-was (al-was-wasah), tama’(tamak), al-ghurur(terpedaya), al-ujub(sombong), dengki dan iri hati (al-hasd wal hiqd), dll. Daripada Syadad bin Aus RA, Rasulullah SAW bersabda,

“Orang yang bijak adalah mereka yang bermuhasabah dirinya sendiri dan beramal untuk kehidupan selepas kematian”.

(Hadis diriwayatkan oleh Imam Termizi).

Selanjutnya pula adalah seruan hijrah yakni kita memperbaiki, melakukan perubahan dan berpindah dari kekurangan dalam diri kita itu kepada kebaikan. Melalui pendekatan ini, kita akan sentiasa terdorong untuk memperbaiki segala kekurangan, kelemahan dan keburukan diri sendiri dalam berhijrah.

Persoalkan dalam diri beberapa soalan sebelum bertindak,

1.Apakah perbuatan kita itu akan membawa mudarat atau maslahat pada orang sekeliling atau diri kita?
Dalam kata mudarat ini adalah zahir mahupun batin. Boleh jadi perbuatan kita itu melukakan hati orang lain ataupun asbab perbuatan kita itu telah membawa ancaman atau menyusahkan orang lain. Setiap perbuatan yang kita lakukan ada kesan dan impaknya tersendiri. Kecil atau besar. Jauh atau dekat. Lama atau singkat. Kesan-kesan ini termasuklah dalam persoalan yang lain.

2. Mampukah kita menerima atas apa yang kita lakukan jika dilakukan ke atas diri kita?
Biarlah apa yang kita tindak berkadar mampu dengan apa yang sanggup kita terima.

3. Apakah pandangan orang lain terhadap kita setelah itu? 
Dilihat pula dari segi thiqah(kepercayaan) orang lain terhadap kita pula. Adapun tindakan kita itu kadangkala membawa kepada tindakan yang tidak baik, tidak bijak, tidak matang, keanak-anakan malah boleh mencapai tidak siuman. Demikian itulah yang merosakkan thiqah kita terhadap orang lain. Oleh hal itu adalah penting untuk kita bertindak secara berhikmah dan baik. Namun, harus dipertimbangkan pembawakannya. Adapun sebahagian orang lain bertindak secara agresif dan tegas. Ada juga tindakannya lembut dan sopan. Kedua hal ini harus dipertimbangkan, dan ada caranya dalam menjaga thiqah terhadap orang lain.

4. Apa niat kita?
Persoalan yang mudah namun perlu dijawab dengan hati yang suci dan bersih. Apa yang kita buat sebenarnya atau ke atas apa kita sandarkan. Dengan mudah kita dapat menentukan andai tindakan kita itu baik mahupun buruk adalah dengan menyandarkan redha Allah dalam perbuatan kita. Mustahil untuk hal yang buruk berpaut kepada Allah. Oleh itu, perlulah redha Allah semata-mata dalam setiap amal perbuatan kita.

Mungkin pembaca ada persoalan lain yang lebih baik untuk difikirkan bolehlah berkongsi di ruangan komen. Demikian perlu kita hadirkan persoalan-persoalan ini adalah agar setiap tindakan kita itu adalah sentiasa memberi kesan atau maslahat baik terhadap orang sekeliling.

- hh (8/12/2022)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan