Sabtu, Januari 04, 2025

Jurnal Prasiswazah: Seni menyelesaikan masalah dalam bermu'amalah (English Include)

 Dalam hidup ini, kita tidak dapat mengelak daripada pelbagai permasalahan dunia. Cabaran yang menduga kehidupan kita sebenarnya memainkan peranan besar dalam pembangunan diri dan jiwa insan. Cara kita berfikir dan bertindak dibentuk oleh pengalaman-pengalaman yang telah kita tempuh, dan proses ini berlangsung sepanjang hayat. Sebagai seorang insan, permasalahan yang lebih besar adalah apabila tidak menghadapi masalah sendiri. Ya, menjalani kehidupan yang sempurna. Tidak menjalaninya sebagai fungsi seorang manusia, iaitu sering terdedah dengan ralat. Seperti banyaknya ungkapan bahawa seseorang itu tidak berupaya untuk belajar jika ia tidak melakukan kesilapan. Maka, melakukan kesilapan itu (tanpa disengajakan) adalah fitrah manusia. Kesilapan inilah yang akan membawa kepada permasalahan.

Telah lama aku merenung akan permasalahan yang acap kali melanda sekeliling dan hidup aku. Jika para pembaca teliti bersama, banyak permasalahan dalam hidup memberi kesan yang lebih besar pada aspek emosi seorang. Namun, jika tidak dibendung dengan baik, ia akan memberi kesan pada fizikal seseorang pula. Maka, aku melihat pentingnya untuk kita memiliki keupayaan mengurus permasalahan dalam hidup atau seni menyelesaikan masalah. Malang sekali, kebanyakan manusia menghadapi masalah dalam masalah. Mereka cenderung untuk melakukan kesilapan dalam menguruskan permasalahan mereka sendiri. Boleh jadi keluarannya hanya dua. Satu, masalah tidak selesai dan permasalahan itu akan menghantui orang tersebut sehingga ia lupa. Kedua, hanya berubah kepada permasalahan yang baru dan mereka menyelesaikan masalah tersebut (tanpa mereka sedar).

Sesetengah orang membahagikan dua bahagian apabila berhadapan dengan permasalahan. Iaitu perkara yang ia dapat kawal ataupun tidak. Ini adalah jalan ringkas yang cenderung diambil dan lebih sistematik dalam menguruskan masalah tersebut. Mengapa perlu selesaikan masalah yang kita sendiri tidak mampu kawal, kan? Namun, kaedah ini aku memikirkan bahawa ia tidak cukup. Sebarang permasalahan yang memberi kesan pada diri kita adalah tetap masalah kita. Jika ia adalah sebahagian masalah kita, maka kita ada keupayaan walau sedikit untuk menyelesaikan masalah tersebut. Seandainya tidak ada sifat tanggungjawab dalam diri kita untuk menguruskan permasalahan tersebut, ia tetap akan meninggalkan kesan yang besar terhadap diri kita. Peninggalan inilah rupanya yang aku fikirkan menjadi masalah terbesar umat manusia.

Sehingga aku menyedari bahawa banyaknya masalah datang kerana tidak ada yang berani untuk bercakap (cegah) secara terus! Sebaliknya, kita lebih cenderung untuk menghabiskan masa memendam perasaan dan merembeskannya pada tempat yang kita rasa selesa dan senang dengan harapan bahawa ia dapat melegakan seketika masalah itu. Namun, ini hanya ilusi kita semata-mata. Tidaklah ia menyelesaikan masalah pun, tetapi hanya menambah masalah. Aku akan memberikan contoh yang jelas terutama sebagai seorang siswazah. Mungkin engkau juga menjadi medan meluah perasaan dari sahabat-sahabat. Antara yang banyak aku terima adalah masalah terhadap sikap seseorang. Misalnya, masalah di bilik desa, masalah di kuliah pengajian, dan sebagainya. Manusia rupanya lebih cenderung berhadap dengan masalah sikap. Sikap ini mungkin kerana ia sensitif hingga keupayaan untuk menegur itu mengambil semangat yang besar.


Namun, percayalah. Kebanyakan masalah hanya akan selesai jika kita bercakap secara terus dan jelas (tidak berkias). Walaupun secara keras, kasar, lebut mahupun sopan. Namun, pendekatan yang baik dan kaedah yang betul akan cenderung menyelesaikan banyak masalah kita. Aku tahu, engkau seperti aku juga, bimbang bahawa ia akan menyakitkan seseorang pula terutamanya golongan yang sensitif. Oleh sebab itu, aku memikirkan bahawa belajarlah untuk menegur secara bijaksana. Kebijaksanaan adalah suatu aspek yang mampu dibentuk oleh semua orang. Bahkan dalam Islam, sudah sekian lama menerapkan konsep ini. Dipanggil sebagai,

amar makruf, nahi mungkar.

Jika melihat dari sudut lain, bukan kemungkaran sahaja yang dapat dicegah namun kemaslahatan juga sifatnya begitu. Aku mendoakan para pembaca, sahabat-sahabatku juga, dipermudah urusan dalam menjalani hidup yang penuh masalah ini.

- hh (9:19 AM, 6/11/2024)