Khamis, Mei 05, 2022

3 Pesanan ringkas abah ketika di alam kampus

———

Oleh hh (Khamis, Mei 05, 2022)

Mendapat nasihat dan pesanan sebelum pergi merantau atau belajar adalah perkara biasa yang akan dialami oleh seorang penuntut. Termasuklah diri saya sendiri. Sebelum saya pulang ke institusi pengajian, abah saya akan memberi beberapa pesanan yang mana saya ingat sampai sekarang (walaupun sudah beberapa bulan berlalu). Kebimbangan seorang ayah pada anaknya jelaslah terpampang di wajahnya, kerana hidup di kampus ini kita akan berdepan dengan banyak ideologi-ideologi pemikiran yang menyonsangkan iman dan akidah kita. Tidak kisah lah kita ini anak yang nakal ataupun baik sekalipun, mereka tetaplah memberi nasihat sejitunya. Walaupun saya secara zahirnya tidak nampak lagi anasir-anasir liar itu, tetapi syukur benar.. Allah temukan saya dengan orang-orang yang baik. Bila kita berusaha untuk menjadi baik, InsyaAllah kita juga akan dikelilingi dengan orang yang baik-baik. Tidak lari juga akan lahirnya suasana biah solehah yang sentiasa akan membendung kita daripada melakukan kemungkaran.

Sebenarnya saya ini dahulunya seorang yang mengambil ringan akan pesanan orang tua (yang muda itu saya), tetapi pesanan mereka yang saya anggap remeh itulah yang seringkali menyelamatkan saya dalam membuat keputusan dan tindakan. Pesanan dan nasihat dari seseorang itu tidak akan berbuah tanpa pengajaran dan pengalaman yang dilaluinya itu. Bak kata Jack Ma lebih kurang berbunyi, "jalan yang terbaik untuk berjaya dalam perniagaan adalah dengan belajar daripada kesilapan orang lama". Pesanan orang berpengalaman ini penting sebab tatkala anda rasa benda itu tidak berguna ingatlah bahawa mereka sudah hidup hampir seabad tahun. Banyak pengalaman yang sudah mereka lalui berbanding anak muda mentah seperti kita. Maka sudah pasti pesanan-pesanan yang mereka beri itu adalah yang keutamaan atau kepentingan dalam sepanjang hidup mereka. Kini saya mula nampak hikmahnya, pesanan mereka adalah ringkas tetapi amat berharga dan padat yang kadangkala ia berupa tersirat. Maka ini antara pesanan abah saya sewaktu saya ingin pulang ke universiti.

Pesanan pertamanya adalah abah meminta saya untuk fokus dalam pelajaran. Mungkin apa yang kita faham adalah untuk tidak bermain-main apabila pensyarah mengajar, ataupun sentiasa ingat tentang matlamat asal saya duduk di universiti ini iaitu untuk menimba ilmu pengetahuan dan membuah pengalaman yang bermanfaat. Apa yang harus diperhalusi adalah makna "fokus", manusia yang kehilangan fokus akan kehilangan sasarannya. Bila sasaran kita mula jauh dari tujuan asal maka peratusan percanggahan kita akan mula meningkat! dan eksperimen kehidupan menjadi tidak "valid"! Eh. Sepanjang saya duduk di universiti ini, gangguan terbesar saya adalah bebasnya hidup di sini dan bertengung-tenging. Kalau boleh saya nak merantau seluruh tempat di kawasan Pulau Pinang ini. Saya tahu, merantau itu ada sahaja baiknya. Namun jika dihabiskan masa berjam-jam banyaknya dan duit beringgit-ringgit untuk berjoli sahaja. Bukankah kita sudah jauh daripada tujuan kita merantau ke sini? Carilah hikmah dalam setiap jejak langkah kita, jangan hanya sekadar membawa diri tenggelam dalam fatamorgana dunia yang penuh lagha ini. Demikian adalah rungkaian pesanan abah yang pertama.

Abah juga pesan kat saya supaya bijak dalam memilih kawan. Mungkin kerana dulu dia pernah salah pilih kawan? Haha. Ok tidak baik, sebab dia masih ada nombor telefon kawan sekolah dia lagi. Mungkin kawan lama sayalah asbab dia memesan untuk bijak memilih kawan. Memilih kawan adalah bab yang sangat sensitif dan seringkali kita terlepas pandang. Ada orang yang lebih memilih kuantitatif berbanding kualitatif. Adakah anda orangnya? Jika ya, saya boleh jamin anda seorang yang extrovert. Mudah berkawan dengan semua orang. Kalau anda lihat dari sudut pro dan kontra, mungkin anda akan lebih ramai kenalan yang akan memudahkan kerja anda. Sebaliknya adalah diri anda yang membawa kontra iaitu mudah mengikut orang yang salah. Apabila ada kawan ajak buat kemungkaran, anda pun pergi ikut sekali atas dasar "kawan" tersebut. Ingat, sahabat adalah cerminan diri kita. Andai kita berkawan dengan orang-orang yang baik, maka dengan kita sekali lah akan tergolong diantaranya dan vice versa. Banyaknya hal yang saya nampak bahawa ramainya kawan namun tidak berguna, seringkali mengambil kesempatan dan hilangnya waktu kita susah. Namun, jika hendak berkawan dengan seseorang pun perlu memilih juga, utamakan kualitatif. Kita hidup perlu ada "give and take" dengan kepentingan diri kita sendiri dan kepentingan orang lain. Jadilah seliciknya rubah untuk anda berubah lebih baik. Bagi pendapat saya, berkawan dengan orang jahat tidak akan membuatkan anda jahat jika anda ada prinsip dan pegangan. Walaupun anda seorang yang introvert sekalipun mampu merangkul pengaruh daripada orang sekeliling maka itu adalah lebih baik. Andai anda belum berdaya untuk mempengaruhi atau mengajak seseorang, tidak perlulah mengambil risiko dengan orang yang kuat pengaruh buruknya. Bimbang suatu masa nanti bukanlah anda yang diikuti teman, tetapi anda yang menjadi pengikut yang salah.

Pesanan ayah saya yang terakhir (mungkin? itu yang saya ingat). Bahasa agak kasar semasa beri pesanan kepada saya tetapi saya lembutkan buat pembaca, iaitu menjaga ikhtilat. Dari segi bahasa, ikhtilat bermaksud menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi syariat, percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian. Ramai juga sebenarnya terlepas pandang termasuk saya sendiri. Saya hampir terbabas sehingga diingatkan kembali oleh geng usrah saya. Ia adalah pesanan yang berat bagi saya. Ramai diantara kita akan terbabas dalam bab ikhtilat ini atas dasar pembelajaran. Benarkah itu? Awalnya begitulah, kemudian apabila dah melarat dia akan pergi melencong bab lain pula yang tidak faedah pun. Inilah kebanyakannya. Saya pun sedang usaha untuk menjaga pesanan yang berat ni. Bukan atas dasar abah, tetapi atas dasar yang utamanya sebagai perintah Allah SWT. Kadang saya mempersoalkan, mengapa saya jarang ada kawan muslimat? mungkin sebab saya tidak tahu bergaul? atau saya memang seorang introvert (sememangnya)? Nak kata ada kebimbangan sosial (social anxiety) tidak juga, sebab saya mudah bergaul dengan lelaki. Jika mahu beri senang hati adalah Allah pelihara saya dari melakukan perkara mungkar. Heh, padahal memang tidak reti bersosial kan? Menjaga perbatasan pergaulan terutamanya dengan muslimat ini penting, kerana daripada pergaulan itu anda akan berpandangan mata, saling mendengari, saling berkomunikasi, saling bergerak syarat (supaya pergaulan anda nampak menarik seperti ahli politik). Daripada "saling" ini risikonya jatuh pada hati (estetikanya jatuh cinta). Ya, mulut anda kata tidak, akal pula menafikannya tapi perasaannya itu tetap ada. Anda tidak akan dapat menidakkan perasaan fitrah ini kecuali jika anda kecelaruan identiti. Sebab itu perlu ada batas, kerana apabila ia melampaui batas tahulah jerat perangkapnya itu. Salah satu gangguan juga bila anda tidak jaga batas agama, matlamat asal anda akan mula kabur dan zahir jalan kesesatan yang anda tidak tahu pun kesudahannya bagaimana. Soal jodoh ini kita tidak tahu bagaimana, tetapi bila kita sudah mencintai seseorang dalam diamnya itu, doa adalah jalan yang terbaik dan pada masa yang sama adalah kita berserah pada Allah. Bila kita meletakan semuanya pada ketentuan Allah, maka lebih lapanglah dan mudahlah perjalanan hidup kita. Demikianlah hanya terpakai jika anda masih bergelar pelajar dan masih menuntut matlamat yang belum selesai. Jika anda sudah ada capai matlamatnya di universiti maka seterusnya capailah seseorang untuk dihalalkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan