Khamis, Januari 11, 2024

Relativiti Ketika Sahabatku Mengajak Berlari

Aku percaya setiap insan memiliki keistimewaan tersendiri yang mampu menyampaikan manfaat dengan cara uniknya. Namun, tidak dinafikan ada cara yang lebih unggul atau kurang berbanding yang lain. Oleh itu, keperluan kita untuk menuntut ilmu adalah demi mendapatkan kaedah terbaik dalam menyebarkan dakwah atau manfaat kepada orang sekeliling.

Ada seorang sahabatku, yang perilakunya kadangkala kurang disenangi oleh orang lain. Guraunya sering tidak diterima, tindakannya kadang-kadang mengguris hati. Namun, yang tidak termasuk dalam kategori "orang lain" adalah sahabat-sahabat yang benar-benar memahami dirinya. Orang seperti ini, perlu didekati untuk mengenali isi hatinya yang sebenar. Apa yang disangka buruk itu, akhirnya menjernihkan sangkaan buruk kita. Begitulah sepatutnya kita berpendirian, sentiasa mencari kebaikan dalam diri orang lain meskipun keburukan mereka sering terlihat di mata kita.

Pada suatu petang, kami berlari di trek universiti.

Kita mula dengan jalan perlahan dulu. Sampai 'sana' kita laju sikit,” ujar sahabatku sambil menunjuk arah trek.

Sebagai orang biasa, berlari sedikit laju pada permulaan diperlukan untuk mendapatkan pace yang tinggi ketika direkod ke dalam aplikasi. Namun, lebih baik jika kita mengambil kira selang jarak. Di mana pace pada permulaan itu tidak dikira tetapi mula diambil kira pada selang jarak tertentu.

Selalunya mereka yang berlari laju pada permulaan, akan pancit awal dan tidak dapat berjalan jauh,” ujar sahabatku sambil kami berjalan.

Aku tidak berkata apa-apa, kerana sudah maklum tentang fakta itu. Aku menambah, “Jadi, kalau kita tingkatkan pace perlahan-lahan, kita dapat bertahan lebih lama.”

Hal ini secara keseluruhan mengubah pandanganku terhadap pengurusan hidup jangka panjang. Jika aku melakukan semua perubahan dalam jangka masa terdekat, aku akan menjadi seperti pelari yang mula memecut awal dan pancit seketika dalam jarak yang dekat. Tekanan emosi akan meningkat dan motivasi diri akan merudum.

Sahabatku ini pernah berkata dia tidak pandai dalam akademik, tidak menjangka dapat memasuki universiti ternama ini. Namun, aku tidak melihatnya sebagai seorang yang berkekurangan. Dia hanya memiliki kelebihan yang tidak disedari oleh orang lain, dan mungkin juga oleh dirinya sendiri. Aku sentiasa mencari kelebihan dalam diri seseorang yang menjadi asbab dia memasuki universiti ini, meskipun keputusan akademiknya tidak cemerlang. Kerana itu, aku yakin bahawa setiap manusia memiliki kelebihan dan cara pemikiran tersendiri.

Ini hanyalah sudut pandangku, relatif kepadaku. Asbab dia, aku dapat menambahbaik pengurusan hidupku untuk tahun ini dengan lebih baik. Dia tidak mengetahui itu, namun ia adalah aplikasi atau sudut pandang terbaik yang aku pegang buat masa sekarang.

Terima kasih sahabat!

- hh

Share:

0 Komen:

Catat Ulasan