Tidak ada pendering jam. Tidak ada ketetapan waktu. Bangunnya rela mengikut jam biologi dirinya sendiri. Tidak seperti pelajar lain, Aziq mampu bangun lebih awal daripada sepatutnya walaupun dia kerapkali tidur lewat sehinggakan dia menghidap hyper insomnia. Ya, masalah sukar tidur. Jika hendak katakan beliau belajar, kerapkali dia tidak memahami apa yang dipelajari pun. Jadi, apa yang dia laburkan masanya pada lewat malam waktu itu? Dia sendiri tidak tahu. Kau tahu?
Jadual waktunya setiap hari dipenuhi dengan pelbagai subjek kursus. Satu subjek itu sehingga mengambil sebanyak 2 jam secara terus. Bayangkan mempelajari sesuatu yang baru selama 2 jam namun tidak memahami satu konsep atau teori pun. Pada sudut optimisnya, semuanya adalah sesuatu yang baru bagi Aziq dan mempelajari sesuatu yang baru adalah perkara yang menarik dalam hidupnya itu. Namun, apabila sesuatu yang baru itu tidak dapat difahami dengan mengikut ketetapan masa yang ditetapkan, semakin berkuranglah depomine dalam dirinya itu. Lewatnya waktu tidur telah memakan diri Aziq sendiri. Kebosanan dalam kelas tidak memahami sesuatu yang diajar oleh pensyarah di hadapan dan suhu sejuk sebuah dewan kuliah itu telah mengizinkan dirinya untuk tidur dengan lenannya.
Walaupun jam kredit yang diambil oleh Aziq adalah banyak pada semester ini, namun tiada satu harinya itu perlu bangun seawal 8 pagi. Malah, pensyarahnya juga mengerti rasanya menjadi pelajar. Tidak ada kemampuan bagi pelajar untuk bangun seawal 8 pagi untuk bergerak ke kelas! Ah, semestinya ada. Tapi apa kau tahu dengan mahasiswa sekarang. Demikianlah, realisme mahasiswa fizik.
Aziq, bangkitnya hanya sekadar menunaikan amanahnya sebagai seorang muslim.
"Kalau aku sambung tidur balik ni rasanya sempat lagi. Kelas pukul 10." bisik hatinya sendiri. Akibat tidur lewatnya tadi, bekalan tenaga untuk ia berjaga pada pagi ini tidak mencukupi.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Minatnya terhadap subjek Kuantum Mekanik semakin pudar. Sikap telah menghakis adabnya, menjahanamkan ilmunya. Hilanglah sebuah disiplin ilmu dalam dirinya itu. Tidak menghadiri kelas pada waktunya bukan suatu dosa, namun suatu disiplin ilmu yang telah ia tinggalkan sebagai seorang pelajar.
"Kalau aku masuk kelas lewat sedikit tak apa kot. Bukannya aku faham pun Dr ajar."
Sebagaimana hiburan itu menghidupkan jiwa yang layu, jika kita terlampau melayaninya, hilanglah pula pedoman hidupnya itu, kemudian pudarlah jiwanya. Apabila seseorang terlalu mengikut kehendak nafs dan tidak bermujahadah kerana itulah ia seringkali tertewas dalam menahani kebodohan yang ada dalam dirinya itu.
Dalam satu persekitaran yang baru, mengambil kehadiran tidak seperti dahulu lagi, zaman sekarang semuanya berlaku secara dalam talian. Kata kunci kehadiran biasanya diberikan sewaktu awal kelas atau akhir kelas. Bergantung kepada pensyarah tersebut. Namun, bagi kelas Aziq. Pensyarahnya kerap memberikan kata kunci pada awal waktu kuliah. Asbab itu, Aziq yang selalu lewat ke kelas sentiasa menggunakan kelicikannya dalam mengambil kehadiran.
Aziq mengeluarkan telefonnya sebelum memulakan perjalanan dari desa lantas segera menghubungi Shaman yang merupakan salah seorang rakan sekuliahnya.
"Weh, share password harini. Aku mai lambat sikit, ada kekangan."
"BarrierPenetration"
"Alright beb, thanks."
Dengan deras Aziq mengisi laman kehadiran.
"Your attendance has been recorded", paparan yang keluar daripada laman tersebut. Lega.
Walhal Aziq masih berada di perkarangan motor di desanya. Sekarang, Aziq boleh bawa motor dengan tenang. Bagi Aziq, lambat hadir ke kelas itu tidak mengapa, lebih baik hadir ke kelas daripada ponteng ke kelas. Namun, matlamatnya yang lemah ini juga pada akhirnya akan memakan dirinya sendiri. Cumanya ia mengambil masa untuk merasa gema perbuatannya sendiri.
Jam 10:07 pagi.
Aziq bergerak masuk ke dalam dewan kuliah A3, kehadirannya menjadi tumpuan utama rakan sekuliahnya yang lain. Ya, beliaulah orang yang terlewat apabila yang lain sudah duduk tekun mendengar kuliah. Pensyarah juga tidak mengedahkan pelajar-pelajarnya yang lewat. Hiduplah dengan semahunya yang engkau mahu. Sudah besar panjang, kata orang.
Jabatan fizik di universitinya tidaklah tegar dengan undang-undang serta etika universiti jika hendak dibandingkan dengan jabatan lain. Tiada fenomena yang signifikan berlaku pada alam sekiranya kita tidak memakai stokin, kecuali jika kita mengandaikan analogi stokin-laci dalam menerangkan konsep kekusutan kuantum. Atau sebaliknya memang berlaku? Entah, sememangnya ahli fizik itu perlu sangsi.
Kursus Mekanik Kuantum adalah subjek wajib diambil pada tahun ketiga di universiti ini. Boleh dikatakan satu batch akan hadap subjek ini pada semester ini. Jadi, pelajar dalam satu kelas agak ramai. Hal ini diambil kesempatan oleh Aziq untuk melakukan perkara yang tidak diingini iaitu ponteng.
Dia adalah orang yang terawal akan beredar daripada kelas itu apabila kehadiran telah diambil. Semuanya ada sebab. Tidak faham. Ya.
Aziq tidak lagi faham dengan apa yang diajarkan oleh pensyarahnya, menyebabkan dia kehilangan minat untuk mendengar kuliah lagi. Sekiranya dia duduk kuliah itu juga, duduknya ia melakukan tugasan lain. Akalnya sendiri sudah melayang terbang. Semakin hari, semakin ia tersesat dengan dalam kekaburan matlamatnya sendiri.
(Akan bersambung...)
- hh
--------oooooOOOOOooooo--------
Realisme Mahasiswa Fizik I
Realisme Mahasiswa Fizik II
0 Komen:
Catat Ulasan