Khamis, Oktober 05, 2023

Realisme Mahasiswa Fizik #II: Kelicikan sebagai puncha kejayaan

———

Oleh hh (Khamis, Oktober 05, 2023)

Beberapa minggu telah berlalu semenjak hari pertamanya menjejak kaki di universiti. Seperti rata-rata pelajar, hidupnya memasuki kuliah, mendengar pensyarah bersyarah, masuk perpustakaan, keluar perpustakaan, lepak kafeteria dengan kawan sekuliah, bersukan, menyertai program yang engkau sendiri tidak memahami apa perhubungannya dengan ilmu yang dituntut, dan pelbagai lagi sebagai rutin seorang pelajar. Bahkan, ada pelajar yang minimalis rutin hariannya, yakni sekadar belajar. Hidup macam tiada warna-warni, keseronokkannya hanya untuk diri sendiri. Orang-orang seperti Aziq tidak nampak apa yang menariknya hidup sekadar menghadap buku. Jiwanya lebih praktikal. Namun dia lupa bahawa membaca buku adalah salah satu sayap ilmu. Apatah lagi dengan bidang yang sedang dituntutnya, iaitu fizik.

Tidak semua prasiswazah berupaya pelajari "fizik" dengan keperluannya untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam fizik abad-21 sekarang ini kecuali mereka yang menjaga dua disiplin ilmu iaitu ketepatan dan kecekapan. Berbeza dengan orang awam, mereka mampu memahami apa yang berlaku dalam fizik masa kini melalui pop sains (baca: popular sains) yang sudah dipermudahkan kefahamannya. Sebaliknya, sebagai pelajar fizik ia perlu memahami daripada akar (baca: asas) suatu ilmu fizik itu sehingga ke ranting-rantingnya agar ia mendapat gambaran pokok ilmu yang lebih jelas. Mahupun Aziq, seorang prasiswazah tidak meletakkan dirinya sebagai seorang "pelajar" mutlak, tetapi hanya sekadar seorang "peminat" sains fizik.

"Aduh apa benda ni? tak faham langsung." ujar Aziq sambil membaca nota ringkas yang telah disediakan oleh pensyarahnya sebelum memasuki kuliah. Dia tidaklah seorang yang terlalu jahil, memahami bahawa salah satu cara untuk mencapai CGPA yang cemerlang adalah dengan mempelajari bab tertentu sebelum kuliah bermula. Hanya dengan cara ini dia boleh bersedia, itulah rata-rata orang kata. Mungkin betul, tapi ada kurangnya yang tidak terlihat si Aziq.

Aziq juga seperti kebanyakan rakan sekuliahnya yang lain, datang ke dewan kuliah hanya untuk mendengar pensyarah menyampaikan kuliah sambil memancarkan slide nota kuliahnya di papan pembentang. Mungkin ada di kalangan pelajar yang lebih rajin, mereka mencatat seberapa rangkap atau kata yang diucapkan pensyarah ke dalam nota mereka. Macam Sya?

Setelah kuliah berakhir, nuansa dingin sejuk mula bertukar suam panas. Beruntung Aziq kerana dia memakai jaket sweater, jadi badannya tidak terlalu sejuk. Kurang peralihan haba di antara badannya dengan suhu persekitaran. Keseimbangan terma menjadi lebih mudah tercapai.

"Weh, jom lepak makan. Lepas ni tak ada kelas kan?" ujar sahabatnya Farhan.

"Haa, ok jugak. Tempat biasa." balas Aniq tanpa berfikir panjang. Barangkali ia adalah balas dari pemikiran automatik. Sebab, apa yang hendak di makan lepas kuliah adalah perkara yang selalu difikirkannya sepanjang kuliah pensyarah tersebut berlangsung.

"So, kau dah sedia belum test optik ni?" tanya Farhan sambil mengunyah makanan yang masih ada di dalam mulutnya.

"Bila eh Dr cakap tadi?"

"Jumaat minggu ni rasanya," Farhan pun teragak-agak nak menjawab kerana terlalu banyak tarikh yang perlu diingatinya. Terutamanya sejarah kronologi fizik klasik itu lagi. Tahun-tahun kuantum fizik ditubuhkan. Dari tahun 1900, oleh Max Plank dengan huruf "h"nya, kemudian tahun 1905 oleh Einstein dengan persamaan "E=hf" dia. Tetapi mengapa perlu ingat? Kenapa tidak dicatatkan sahaja? Yep, selalunya sebarang maklumat penting yang disampaikan oleh pensyarah semasa kuliah tadi akan dimaklumkan semula dalam group Whatsapp.

"Haa, tak apa nanti aku semak balik. Tapi macam biasa aku tak faham sangat pun, kena catch up balik." balas Aziq.

"Nanti boleh tengok fon (phone) tak masa test?" persoalan yang tidak sepatutnya timbul daripada pelajar prasiswazah itu sendiri.

"Test mana boleh tengok fon, kau ni pun"

"Satgi kita sorok sikit celah kangkang. Pastu kongsi-kongsi lah jawapan"

Aziq tidak membalas, sebaliknya merenung jauh sambil menghirup teh tarik yang dipesannya tadi. Dia dan rakan sekuliahnya tahu betapa tidak ketatnya ujian yang dijalankan oleh pensyarah Optiknya itu. Pensyarah letak kepercayaan kepada pelajar. Tetapi pelajar memungkiri kepercayaan itu. Disebalik tubuh, ada tangan dengan jari bersilang. Pensyarahnya juga tidak berkata apa-apa berkenaan larangan untuk melihat telefon bimbit ketika ujian nanti. Itulah fikirnya untuk menghalalkan cara.
.
.
.
Sya, nama panjangnya Syahira. Rakan sekuliah Aziq juga dalam kursus optik. Hendak dikatakan rapat dengan Aziq tidak juga. Setiap kali waktu kuliah, dia dan beberapa sahabatnya sahajalah yang sentiasa duduk pada kerusi barisan hadapan. Aziq sentiasa memerhatikannya.

Sya adalah seorang yang fokus semasa kuliah. Walaupun dia tidak berani hendak menghadap pensyarah, cukup sekadar mesej pensyarah berkenaan pelajaran itu sudah ralit buatnya. Beza Aziq dengan Sya ini adalah Sya memegang teguh disiplin ilmu tadi. Nak dikatakan seorang yang cerdas tidak juga, macam pelajar biasa yang lain. Boleh kata dia seorang yang rajin, tetapi malang sekali dia tidak licik.

Tiada rubah yang hendak mengajarnya.

"Macam mana aku nak study ni, malas juga aku nak siar ulang rakaman syarahan Dr sebelum-sebelum ni. Satu rakaman sahaja 40 minit puratanya.. nak baca nota pesyarah pun bersih ni" keluhan biasa yang selalu keluar daripada hati Aziq. Gelap gelita langit ditemani dengan cahaya rembulan. Terangnya sehingga mencemar nir bintang. Kata-kata sahabatnya tadi tergiang-giang dalam ingatan. Konfabulasi cerita mula merangkap pelan-pelan berani mati. Dia cuba sedar akal semula, membuka nota-nota ringkas yang dipelajarinya dengan latihan-latihan yang diberi pensyarah melalui group Whatsapp kuliahnya itu. Rakan sebiliknya seperti biasa menghadap permainan video yang berada dalam telefonnya itu. Pada keadaan ini, rakan biliknya itu melihat Aziq sebagai orang rajin dan Aziq melihat rakan biliknya sebagai orang pandai. Walhal, dua-dua rosak dalam sudut dimensi yang berbeza.

Ujian kebiasaannya menjadi indikasi kefahaman kepada pelajar-pelajar yang berada dalam kursus tersebut. Ia juga adalah medan saingan bagi pelajar-pelajar tersebut. Dengan ego, tiada siapa mahu kelihatan bodoh dalam kelas selepas markah ujian mula diberikan semula. Setiap seteru akan dinilai dengan markah. Juara menang atas kertas akan mendapat sanjungan "sahabat"nya yang lain.

Namun, orang licik macam Aziq sudah tahu. Manusia akan sentiasa ambil kesempatan terhadap manusia yang bijak. Manusia yang bijak tetapi tidak cerdik, sentiasa menganggap itu sebagai kuasa yang ia ada untuk mempengaruhi orang lain. Sebaliknya ia tidak lain bezanya dengan alat, sebagaimana LLM juga. Digunakan jika perlu atau terdesak. Sejak dari kecil, memang sudah tertanam lensa meritokrasi. Kata orang, itu sahajalah penilaian terbaik manusia. Selicik Aziq pun, dia pun terpaksa mengikut arus merit ini juga.

Dr hanya menggunakan dewan kuliah yang kecil, tiada penjarakan yang diberikan antara pelajar-pelajar semasa ujian optik tersebut dijalankan. Namun, di sudut yang baiknya, pensyarah lebih mudah untuk memerhati pelajar dengan dewan yang kecil ini. Seperti biasa, pelajar sentiasa datang awal semasa ujian. Supaya dapat "cop" tempat duduk di bahagian paling belakang.

"Semua boleh mula menjawab sekarang dan tolong jangan bercakap." kata pensyarah sebelum pelajar-pelajar nerd mula membuka kertas dengan gelabahnya. Ada juga yang baca doa terlebih dahulu. Harapnya di waktu lain juga mereka membaca doa. Aziq?

"Cggreeeiikk.." bunyi pintu dibuka. Muka Aziq yang tidak berapa semenggahnya. Apa tidaknya, tidur lewat. 2 minit telah terlalu sewaktu kehadirannya. Sahabatnya lain gelak mengekek apabila Aziq melalui sebelah mereka kerana si Aziq ini terpaksa duduk kerusi barisan depan. Susah dia nak berlaku licik.

Demi meritokrasi, telah mengajar pelajar untuk berlaku licik.

Sepanjang ujian berlangsung, sahabat-sahabat Aziq mula membuka telefon secara nada senyap untuk mendapatkan jawapan ujian. Dr yang berada di hadapan kadangkala membuat kerjanya sendiri. Ada masanya juga dia berdiri, memerhati dengan senyap. Disangka pensyarahnya itu bahawa pelajar tunduk kerana menjawab kertas, hakikatnya ada yang berbuat kerja lain.

Sebelah Aziq, duduknya seorang pelajar cina. Tekun menjawab soalan. Tiada masalah jika Aziq membuka telefonnya ketika ujian kerana pelajar sebelahnya juga tahu kelicikkan ini. Norma biasa. Namun, jika dia membukanya, maruahnya akan jatuh. Oleh demikian, Aziq menjawab soalan sekadar dia mampu. Hanya pada saat-saat akhir sahaja ia cuba membuka telefon dengan harapan membantunya satu dua soalan kerana pada waktu itu ada sebahagian pelajar sudah mula bangun untuk serahkan kertas ujian kepada pensyarah. Hal ini termasuk pelajar cina sebelah Aziq juga.

"Aduh, soalan hantu. Langsung tak ada dalam latihan Dr bagi, apa lagi dalam internet," monolog dalaman si Aziq.

"Ok semua, berhenti menjawab sekarang! Boleh serahkan kertas ujian pada saya kemudian ambil kertas ujian pertama kamu yang sudah bertanda. Terima kasih semua." seru seorang pensyarah pada kesemua pelajarnya.

Reda sahajalah jawapan akhir yang ada pada Aziq waktu itu. Mungkin merupakan jawapan yang ada pada pelajar lainnya juga pada waktu itu. Tidak seperti Sya, beliau menjawab soalan tanpa berlaku licik. Hanya menggunakan kefahaman yang ia ada. Separuh kelas riuh, etika ujian mula dilanggar. Seakan ada hukum yang mula meruntuhkan suatu fungsi yang tetap. Itulah yang berlaku apabila ujian mula tamat. Ada juga pelajar yang mengambil kesempatan untuk bertanya kawan lainnya.

Seperti kebiasaan, rata-rata pelajar akan bercakap soal markah ujian pertama yang sudah diperolehi mereka. Aziq tahu keadaan ini, dan dia mahu keluar daripada medan ini agar ia tidak tertarik juga. Ceh, macam konsep fizik. Atau konsep alam? Sama sahaja. Aziq mengabaikan kawan-kawannya, dan terus keluar daripada dewan. Terserempak pula dengan Sya. Ah..

Sya menuju terus pada Aziq "Weh Aziq, berapa kau dapat ujian pertama ni?"

Aziq tidak berkata apa. Sekadar menunjukkan kertas yang sudah bertanda, "46/50".

"Pergh, hebat. Aku punya nak hampir dengan kau.. 45 je." balas Sya.


Aziq tidak merasa bangga, malah reaksinya hanya sekadar senyuman sinis. Perasaannya rumit kerana kesedihan yang baru dia alami semasa ujian kedua tadi, seolah-olah seperti hentaman elektron dan positron yang menghasilkan annihilasi. Terhapus. Namun, senyumnya ada makna. Bukan kerana memandang rendah akan kawannya itu, sebaliknya, pandangan sinisnya itu terhadap sistem. Sistem yang berjaya ia godam. Melalui kecerdikannya, kini darjatnya setaraf dengan kawannya, dan inilah cara dia menjaga keunggulannya di hadapan semua orang. Namun, jahilnya tetap sama.
(Akan bersambung...)

- hh

--------oooooOOOOOooooo--------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan