Khamis, September 07, 2023

Realisme Mahasiswa Fizik #I: Ada minat yang tidak mampu bawa

Mai melihat status WhatsApp Aziq yang berkaitan dengan pop fizik seperti kebanyakan rutinnya. Namun kali ini, Mai merasa terpanggil untuk membalas status tersebut.

"kalau fizik tulen apa yang menarik utk hang?", balas Mai melalui status sahabatnya.

Dalam beberapa minit, Aziq membalas semula, "Pada soalan ni, sebenarnya saudara aku baru tanya masa raya haritu. Kalau ikut peluang pekerjaan, pure fizik mmg aq setuju tak berbaloi. Baik ambil business, kau boleh kaya takpun scomp sbb zaman skrg dah IR 4.0. Kalau ikut belajar, memang fizik menyusahkan sebab kau kena perah otak nak faham konsep dan matematik. baik aku ambil sains komputer kan? yg memang aku dah ada pengalaman banyak. Kalau ikut grad, fizik adalah killing course.

tapi apa yg menarik aku dalam pure fizik ni sebenarnya, aku kagum and nak tahu bagaimana alam ni berfungsi, dalam tu aku cari bukti kehebatan & kuasa Tuhan, sampai aku betul² saksi yang menyaksikan Dia. Ok dah."

Balasnya panjang tetapi tidak terus. Seperti masih ada maksud yang terselindung. Mengapa dia perlu libatkan kursus lain? Mengapa perlu dia bangkitkan peluang kerja? Mungkin sebab Aziq hendak menyenangkan hati bahawa mengambil fizik adalah tindakan yang betul. Walhal baginya, mengambil subjek fizik adalah kesilapan terbesar dalam hidupnya. Begitulah apa yang kadangkala terbit dalam sudut kecil hatinya itu. Sedangkan ia minat subjek fizik, godaannya besar sekali mengatasi minatnya dalam sains komputer sebelum itu. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam godaan ini? Adakah kesilapan ini benar-benar diciptakan atau sudah bertetapan? Neither or not, Aziq mendapat kesan dan akibat daripada tindakannya kerana meneruskan bidang sains fizik.

Aziq seringkali mendapat soalan-soalan yang serupa seperti sahabatnya Mai ini. Soalan ini bukan sahaja ditanya oleh sahabat handai malah keluarga sendiri serta saudara mara. Mungkin kerana kecederungan Aziq terhadap bidang lain iaitu sains komputer sebelum ini lebih menyerlah, dibawa pula dorongan keluarga dan cikgu-cikgunya dahulu. Tiba-tiba sahaja masuk universiti ia ingin mengambil fizik? Buang tabiatlah jika orang tidak mempersoalkan.

Mai sedang menaip. . .

"ah fahamm, tapi beza minat yg boleh go dengan minat yg takboleh go ni. aku minat juga benda benda gitu tapi dari dulu mmg science tak perform haha. selalu kena marah sebab tanya family banyak benda."

"Minat yang tidak boleh go?", monolognya. Aziq tersembam berfikir. Sebagaimana bayi yang baru menjejakkan kaki di dunia, demikian jugalah akal Aziq yang membuka lapangan baru dalam semak-samun kepalanya itu. Lapangan yang muda, baru, dan bengai? Mungkin. Baginya minat adalah keadaan psikologi yang memotivasikan kita secara intrinsik untuk melibatkan diri dalam subjek atau aktiviti tertentu. Jadi pada umum fikirannya itu, tidak ada minat yang kita tidak boleh pergi (go), sebab dalam minat ada "willingness" keupayaan untuk kita teruskan walaupun apa yang kita minat itu sangat sukar. Minat membuatkan kita "unstoppable". Namun, di sini Aziq jumpa sudut barunya.

"first time aq dengar term ni. Go xleh go. Bagi aq minat xkan dpt memudahkan kau faham suatu benda tu pun, tetapi dia dapat buat kau utk terus bergerak(baca:usaha).", Aziq menjelaskan pemahamannya tentang minat.

"faham. tapi mungkin minat hang mendalam, aku pulak dari sekolah rendah sains tak pernah A. jadi maksud aku, aku minat gitu gitu jalah. nak terang pun tak reti. haha minat nak tahu tapi susah nak faham. tahla nak", balas Mai yang ingin menyenangkan hati Aziq. Walhal dalam hakikatnya itu, Aziq juga tidaklah begitu hebat pencapaiannya ketika sekolah. Tidak pula ada memasang azam bahawa ia akan mengambil kursus sains suatu hari nanti.

"Hg betul Mai, ada minat yang kita tak boleh bawa. Should just take degree in science comp instead." balas Aziq dengan kecewa. Aziq lupa untuk melihat pro dan kontra dengan lebih meluas ketika mengambil suatu subjek itu. Seperti sahabat lainnya, tidak tahu apa hendak jadi bila besar nanti. Jadi fikir kebanyakan pelajar, kita ikut sahajalah minat. Sebab dari minat timbul cita-cita, bukan begitu? Betul, tetapi ada minat yang tidak mampu dibawa. Q.E.D.

"nak kata mcm mana eh, dulu dengan sekarang mmg lain. mula dari kecik nak jadi angkasawan la apa semua haha astu mmg dulu berkenan nak jadi ahli astronomi la kononnya. belajar sains, belajar agama. aku nak terang pun tak reti sebab dah lama. tetiba masuk multimedia haha jadi sekarang ni setakat baca gitu gitu jala, video ajar sikit."

Tidak seperti pelajar Mai. Dia mengambil faktor luar dalamnya. Seperti industri multimedia memang menjadi keperluan pada zaman sekarang. Relevan dahulu hingga sekarang. Dari segi keluasan industri. Ini adalah seberapa minat yang boleh dibawa, sekalipun ia tiada minat, namun ia boleh berbuah.

Kebanyakan pelajar fizik di Malaysia, meneruskan pengajian fizik atas dasar minat semata-mata tanpa meletakkan faktor lain seperti peluang pekerjaan yang ada, keperluan revolusi industri yang mendatang, serta kesan jangka panjang kepada perkembangan teknologi negara. Ini mungkin disebabkan oleh kurangnya kesedaran mengenai hubungan erat antara pengajian fizik dengan kemajuan industri dan inovasi teknologi negara Malaysia. Kesannya adalah wujud lambakan graduan yang menganggur ataupun lari daripada bidang (sekiranya sudah bekerja). Adalah kebimbangan besar sekiranya graduan ini tidak memanfaatkan kemahiran atau pengetahuan yang ada pada pekerjaan yang sepatutnya. Kadangkala kita perlu mengambil faktor bahawa ada minat yang tidak mampu dibawa, bukan hanya pada konteks diri kita sahaja namun keadaan persekitaran kita juga. Sekiranya sudut pandang ini menjadi teras kebanyakan mahasiswa, ada berpotensi bahawa keperluan mahasiswa untuk bekerja dalam bidang yang diambil akan dipenuhi. Justeru membawa kepada pembangunan negara ini.

Aziq menghela nafas panjang ketika membaca semua perkongsian Mai. Walaupun dia sangat mencintai fizik, namun kebenarannya ini harus ditelan. Dia juga tahu bahawa dia perlu meneruskan apa yang sudah ditakdirkan ini. Adapun yang tidak diketahui Aziq akan mehnah dan tribulasi yang bakal dihadapinya dalam pengajian fizik ini. Alam ini memang unik, namun lebih merumitkan adalah kebenaran fizik bahawa sains fizik belum lagi mampu menerangkan bagaimana alam ini berfungsi seluruhnya. Mati akal, kecuali pengharapan yang belum terbukti. Itulah kebergantungan kebanyakan ahli fizik. Demikianlah lembah yang memuramkan yang tidak diketahui oleh Aziq lagi. Ini adalah kisah perjalanan hidup Muhammad Aziq, pelajar tahun 1 dalam pengajian fizik di salah sebuah universiti tempatan di Malaysia.
(Akan bersambung...)

- hh
-------oooooOOOOOooooo--------
Share:

0 Komen:

Catat Ulasan