Selasa, September 12, 2023

Uinaa, sudah bersenam bah engkau..?

———

Oleh hh (Selasa, September 12, 2023)

Jambatan yang tidak siap di Putrajaya,
nak jadi lain, jogging la atas tu.
Seringkali, kita menekankan pentingnya mengasah akal dalam membentuk akal yang cerdas. Seperti tubuh badan kita memerlukan permakanan yang sihat, akal juga ada kriteria permakananya tersendiri. Analoginya, kita boleh merujuk kepada sebuah pokok, ia hanya tumbuh dengan baik apabila mempunyai tanah yang subur, keperluan yang mencukupi serta bermanfaat baginya. Demikianlah juga dengan akal kita yang memerlukan 'makanan' yang berkualiti. Makanan bagi akal adalah ilmu yang bermanfaat. Jika ilmu yang dituntut tersebut perkara yang merosakkan, maka terjejas jugalah akal fikirannya itu. Oleh sebab itu akal perlu sering dipandu dengan menetapan (mindset) yang baik. Melalui pengasahan akal membolehkan kita berkognitif sewajarnya dengan baik.

Namun, seringkali kita terlupa bahawa penjagaan kesihatan tubuh badan juga penting. Seperti akal, tubuh badan juga memerlukan perhatian dan penjagaan yang berterusan. Sebagaimana akal pun perlu ada penetapannya, begitu jugalah tubuh badan kita yang memerlukan ketetapannya sendiri (healthset). Dengan cara ini, kita dapat memastikan bahawa tubuh kita sentiasa dalam keadaan sihat dan terjaga.

Terdapat satu kata-kata daripada Edward Stanley yang menarik perhatian saya,

"Mereka yang tidak meluangkan masa untuk bersenam akhirnya akan meluangkan masa untuk sakit."

Kata-kata ini mengingatkan kita tentang kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan kita. Aktiviti-aktiviti yang menyihatkan diri ini tidak seharusnya dilakukan ketika waktu kita lapang sahaja. Sebaliknya, perlu menjadi sebahagian daripada rutin harian kita. Apabila diri kita sudah terbiasa dengan aktiviti fizikal yang mengeluarkan penuh, kita sebenarnya sedang menjana tubuh badan yang cergas. Justeru menjadi pendorong kepada aspek-aspek lain dalam kehidupan kita. Akal yang cerdas tidak akan hidup dalam tubuh yang malas.

Melaksanakan aktiviti yang sedikit tetapi konsisten adalah lebih baik daripada melakukan aktiviti yang besar tetapi jarang dilakukan. Walau bagaimanapun, berhati-hatilah dalam melaksanakan sebarang pekerjaan ataupun aktiviti. Oleh kerana kita hidup hanya sekali, berbuatlah sesuatu dengan baik dan penuh hikmah. Buat diri saya yang juga malas bersukan, ini adalah sebuah seruan.

- hh (12/9/2023)

Sumber boleh dirujuk:
[1] "Tentang Pilihan" karya Dr. Nor Aisyah Zainordin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan