Khamis, September 07, 2023

3 Masalah Utama Remaja

"Jika hanya dia sedar akan hidupnya ini perihal mainan dunia semata, pasti ia merasakan semuanya tidaklah bermakna lagi berguna tanpa keredhaan Tuhannya." – hh

Wang (Duit)
Remaja pada zaman kini (2021) kebanyakannya datang daripada Generasi Z. Menurut Tapscott (2008), generasi Z adalah golongan yang dilahirkan pada tahun 1998 hingga 2009. Generasi Z dikatakan generasi yang suka berjimat dalam perbelanjaan. Meskipun mereka jenis yang berjimat tetapi mereka juga lebih banyak melabur berbanding generasi yang lainnya. Orang dahulu cenderung untuk menyimpan tanah harta mereka untuk kegunaan masa depan cucu cicit mereka. Tidaklah hanya berbentuk wang semata-mata. Sebaliknya seperti kebun, sawah, atau sebarang tanah liar yang jarang sekali kita perlihatkan akan anak muda sekarang untuk memiliki kebun kerana harga tanah yang semakin mencanang naik. Kalau ada pun mesti diperturunkan dari keturunan sendiri. Kebun ini jika diusahakan ia dapat memberi manfaat kepada orang lain (anak-anak dan cucu-cicitnya). Ia umpama pelaburan yang memberi keuntungan pada masa akhirat. Kerna, wujud  kebun. Berbagai pokok tumbuhan boleh hidup lamanya dari umur manusia. Hasil-hasil itu pula menjadi saham akhirat mereka.

Bahkan, orang dahulu mereka suka menabung untuk menunaikan haji. Kos menunaikan haji dahulu tidak sama seperti sekarang. Zaman dahulu tiadalah perbadanan seperti Tabung Haji maka banyak kos yang digunakan. Orang dahulu apabila mereka habis mengerjakan haji, mereka balik Malaysia sudah tiada lagi duit kerana semua harta mereka telah dijual untuk kegunaan di sana. Cuma apa yang saya hendak tumpukan adalah sifat menabung orang-orang dahulu yang generasi sekarang tiada akibat perubahan gaya hidup dalam keadaan ekonomi mencabar kini.

Zaman sekarang sudah banyak syarikat e-dagang seperti Shopee, Lazada, GoShop, dll. Pembelian semua dibuat dalam talian. Maka kecederungan remaja sekarang untuk berbelanja meningkat, lagi-lagi apabila ada kempen jualan besar-besaran iaitu dengan membuat potongan harga. Lagi sakan mereka berbelanja. Mereka gemar dengan budaya materialisme agar selalu disanjung orang. Ini dapat dilihat apabila mereka banyak menggunakan Instagram, Snapchat, dan TikTok sebagai media sosial utama mereka yang mana lebih kepada algoritma memaparkan gambar dan video sebagai tontonan. Apa yang berlaku akhirnya? Dengan amalan sebegini, maka muflis muda seseorang anak muda itu. Ada kajian mengatakan bahawa generasi kini adalah lebih cepat muflis kerana tiada duit dalam simpanan untuk jangka masa panjang.

Cinta
Belayar sahajalah di media sosial. Penuh sahaja artikel atau kandungan berkenaan cinta yang tidak berpenghujung. Cara mengenali ciri-ciri wanita atau lelaki idaman mereka juga tidak larinya. Remaja memang sudah terbiasa dengan perasaan jiwang. Jiwang itu adalah suasana orang tengah bercinta. Jiwang itu gabungan daripada jiwa & angau. Jiwanya angau bercinta. Sehingga mengabaikan tuntutan yang wajib dipikulnya dahulu.

Remaja sangat suka soal cinta sehingga mereka hanyut dengan cinta. Cinta adalah lumrah manusia, cinta kepada tumbuhan, haiwan, persahabatan, barangan atau kepada Tuhannya. Cinta yang murni itu adalah cinta yang diikat dengan tanggungjawab dan amanah. Bak kian lama tentu kian berpilin, bagai aur dengan tebing dan hanya tembilang penggali kubur yang memisahkan nanti. Namun jika cinta diikat dengan nafsu amarah itu akan terlunturlah hatinya dan hatinya akan mati tidak bertahan lama kerana tidak menjumpai apa makna sebenar cinta. Habislah separuh hayatnya mencari makna cinta. Kerana itu alamat cintanya tidak kekal lama. Jika cinta sekadar suka, maka bila-bila masa sahajalah cintanya akan pundar.

Amat penting bagi remaja sekarang menetapkan matlamatnya. Bukanlah umur yang sepatutnya menjadi persoalan sekiranya jodohnya diawal usia. Namun, pemikirannya yang seharusnya benar terhadap makna cinta itu. Sebaliknya, pasti itu semua dusta belaka. Akalnya terlalu muda dan mudah dipermainkan. Jikalau hidup sebagai seorang pelajar, maka belajarlah untuk mematangkan jiwa. Jika hidup sebagai seorang anak, maka taatilah ibu bapa yang masih ada. Cinta manusia itu sungguh suci, tidak layak jika tujuannya ke lembah kekotoran. Jadi siramilah dengan keindahan agama dan warna kehidupan. Rugilah jika anak muda kini leka dalam cinta palsu, sedangkan ada perkara yang lebih besar tanggungannya kepada dunia. Oleh itu, harus besar jiwa dan fikirnya walau dalam muda usia itu. Maka, akan kau temulah cinta yang murni itu.

Kebahagiaan
Remaja ada masalah dalam mencari makna kebahagiaan. Media sosial adalah jalan paling mudah untuk mereka dibasuhi makna kebahagiaan. Disebabkan amalan narsisistik yang melampau, banyak orang-orang yang berpengaruh memperlihatkan harta-harta mereka, sifat keterbukaan mereka, pasangan mereka atau apa sahaja yang menjadikan kebebasan juga keseronokkan sebagai matlamat hidup. Maka mereka menjadikan ia sebagai paras ukur kebahagiaan dalam kehidupan. Jadi banyaknya remaja sekarang menyangka, jika mereka ada apa yang 'pempengaruh' itu ada maka mereka akan bahagia.

Percayalah, akan daku! Kebahagiaan hanya engkau peroleh dengan hati yang tenang dan sentiasa bersyukur dengan apa yang engkau ada. Kebahagiaan adalah tanda keadilan Tuhan. Miskin atau kaya boleh merasai kebahagiaan. Andai kita perhatikan, manusia yang selalunya meletakkan diri mereka di dalam kategori kurang berbahagia ini sebenarnya adalah seorang manusia yang tidak bersyukur. Mereka ini terlalu banyak mempersoalkan tentang hakikat hidup ini. Maka, belajarlah untuk bersyukur kerana dengan bersyukur itu pasti hidup akan merasai kebahagian. Berhentilah melihat kaca-kaca media yang zahir palsunya; tiada faedahnya dan mulalah melihat alam dengan kanta mata kesyukuran. InsyaAllah, akan engkau sedar apa itu hakikat kebahagiaan.

- hh (6:16 PM, 16/8/2021)

Share:

0 Komen:

Catat Ulasan