Rabu, September 06, 2023

Hidup di antara dua peluang

———

Oleh hh (Rabu, September 06, 2023)

Orang yang mencipta peluang 
Hidup kita berada di antara penciptaan peluang dan pencapaian peluang. Adapun sebilangan orang berpendapat bahawa individu yang mencapai peluang adalah mereka yang berjaya hendaknya. Benar itu, tetapi jangan lupa bahawa peluang-peluang yang hadir dalam hidup kita tidak akan wujud tanpa individu yang mencipta peluang tersebut. Adakah bermakna individu yang mencipta peluang ini tidak berjaya? Tidak. Kejayaan adalah relatif dan bergantung kepada matlamat hidup seseorang itu. Jika matlamatnya adalah untuk mencipta peluang bagi orang lain, demikian jugalah merupakan kejayaan buat dirinya kerana orang lain dapat mengambil peluang yang telah diciptanya.

Usah mempersempitkan hidup sekadar dengan mencapai peluang dalam hidup. Keupayaan kita di dunia ini, kita bukan sahaja mampu membuat pilihan, tetapi juga berupaya mencipta jalan kehidupan yang lain. Orang yang berjaya mencipta suatu laluan kehidupan yang baru; membuka peluang kepada orang lain untuk mencapai kejayaan adalah definisi kehebatan dalam pandangan saya. Manusia hebat adalah mereka yang mampu membawa perubahan baik terhadap persekitaran mereka.

Apabila kita berasa kecewa suatu peluang itu tidak dapat diperoleh dalam hidup kita, adalah tanggungjawab kita untuk mencipta peluang itu untuk generasi akan datang. Demikianlah perbuatan yang murni baiknya boleh dibuat dan sangat memberi manfaat terhadap orang lain. Mencipta peluang bagi orang lain bukan sahaja membuka perspektif baru dalam hidup tetapi juga cara bagaimana kita mampu mengurangkan keangkuhan kita hidup bersendiri di dunia ini. Sekurang-kurangnya, kita akan meninggalkan warisan yang berharga apabila kita tiada. Orang lain boleh mencapai kejayaan berkat peluang yang kita cipta.

Orang yang mencapai peluang
Individu yang mencapai peluang adalah mereka yang mampu mencipta peluang bagi orang lain, dan ini bermula dengan sentiasa mencuba untuk mencapai peluang yang hadir dalam hidup mereka. Untuk mencapai kejayaan, kita perlu mencapai peluang. Ia adalah benar bahawa peluang adalah kebarangkalian kejayaan dalam kehidupan kita yang belum pasti tetapi peluang ini memberikan harapan. Individu yang sentiasa berusaha mencapai sesuatu yang diharapkan pada akhirnya pasti akan bergerak menuju ke arah kejayaan yang diinginkan. Mencapai itu sendiri adalah satu bentuk usaha, dan setiap usaha itu berbayar meskipun matlamat akhir mungkin belum tercapai.

Setiap individu mempunyai susur hidupnya yang tersendiri. Sampai satu ketika ia harus membuat pilihan dalam hidupnya. Tetapi jika sesetengah pilihan tidak menjamin keberjayaan, itulah yang kita panggil jalan peluang. Jangan hanya menumpukan matlamat terhadap satu peluang tersebut sahaja atau kita sebenarnya hanya menempah kekecewaan dalam hidup. Kita tidak harus menyempitkan hidup kita dengan hanya memfokuskan matlamat pada satu pengharapan. Sebaliknya, kita harus merancang kehidupan kita dengan perspektif yang membenarkan kita untuk mencapai matlamat melalui pelbagai jalan. Sekiranya apa yang dirancang dalam pelan A tidak berjaya, maka kita terus pula ke pelan B. Dengan perspektif sebegini maka kuranglah kekecewaan dalam kehidupan kita. Tidaklah pula kita akan berfikiran bahawa hidupnya telah gagal akan tetapi ia hanya mengikut jalan yang berkeupayaan bagi dirinya. Dan jalan itu akhirnya juga akan membawa kepada matlamat hidup yang sejati.

Jadi, bagaimanakah diri pembaca? Ingin menjadi sebagai pencipta atau pencapai -peluang? Atau kedua-duanya?

- hh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan