Selasa, September 12, 2023

Meninggalkan dapatan ilmu

Seperti awalnya dahulu, saya berfikiran bahawa manusia yang ideal itu adalah mereka yang berkeupayaan dalam mempelajari pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Hal ini membuatkan saya menubuhkan kumpulan secara tertutup pada tahun 2018 yang dikenali sebagai E.I.T.B atau nama panjangnya "Ensiklopedia Ilmu Tanpa Batasan". Kumpulan ini masih hidup namun tidak aktif lagi seperti dahulu. Tujuan asal bagi pertubuhan kumpulan ini adalah ingin menjadikannya sebagai platform perkongsian ilmu dari pelbagai bidang. Namun, semua ini berubah apabila saya memikirkan pro dan kontranya ilmu yang dituntut secara menyeluruh dengan ilmu yang dituntut secara tertumpu. Tanpa membahaskan lebih panjang (kerana ia lebih baik diperbincangkan dalam entri lain), saya berpandangan bahawa seseorang individu yang kemahiran serta minat yang tertumpu terhadap suatu bidang akan lebih membawa manfaat pada masyarakat jika dibandingkan seseorang yang memiliki semua ilmu namun secara permukaannya sahaja. Penting untuk kita memiliki ilmu yang tertumpu terhadap bidang yang menjadi minat kita, kerana dengan memiliki skop ilmu yang lebih kecil kita dapat memberikan lebih banyak fokus dan meneroka sudut ilmunya yang belum disentuh lagi.

Begitu jugalah pemikiran saya dahulu bahawa untuk memahami suatu ilmu itu sifatnya perlu dituntut secara menyeluruh. Misalnya, hendak mempelajari ilmu sejarah, ia perlulah menguasai suatu garis masa awal bagi suatu tempat itu terlebih dahulu. Dan bila ia menyelami, membawa pula kepada perkaitan lain yang lebih terdahulu. Atau lebih mudah saya perkatakan, ia mesti menguasai akan perkara asas dalam ilmu sejarah itu. Ada benarnya ini, namun ada seberapa perkara yang perlu dinotakan dahulu. Semua ilmu itu sifatnya sentiasa berkembang, namun setiap ilmu itu ada keperluannya yang berbeza dalam memahami pucuk asal suatu pemahaman itu ataupun tidak. Misalnya, ilmu sains mahupun teknologi adalah yang sangat pesat perkembangannya sekarang. Segala fakta atau ilmu yang dipelajari dalam pemahaman yang sering berkembang ini atau saya katakan dinamik (mudah berubah-ubah) boleh jadi tidak relevan suatu masa nanti. Contohnya dalam bidang sains komputer, tiada keperluan lagi buat mahasiswa untuk mempelajari ilmu XHTML untuk membuat laman sesawang pada masa kini. XHTML ini adalah bahasa penandaan versi awal dalam pembuatan laman sesawang. Kini tidak lagi digunakan dalam rata-rata laman sesawang kerana kehadiran HTML5. Begitu jugalah dalam bidang fizik yang diambil saya, ada seberapa jurnal-jurnal fizik lama yang tidak relevan untuk digunapakai dalam pemahaman sains fizik masa kini. Oleh sebab itu, perlu kita tahu apakah ilmu pengetahuan(terutamanya perihal asas - fundamental) yang relevan pada abad ini untuk menguasai suatu bidang tersebut. Hal ini agar pengetahuan kita sentiasa dikemaskini dengan kemajuan serta kefahaman pada zaman sekarang. Seperti beberapa ungkapan dalam buku "Tentang Pilihan" iaitu, "ada masanya kita perlu "membuang" pengetahuan yang telah dipelajari sebelum ini sebelum mempelajarinya semula melalui perspektif baru.".

Bahkan mahasiswa juga perlu menguasai beberapa perisian seperti simulasi ataupun analisis, khususnya bagi bidang sains fizik. Mempunyai kemahiran untuk menguasai suatu perisian amat diperlukan pada zaman ini. Kemahiran dalam mengendalikan perisian akan memberi banyak manfaat dan penerokaan lebih terhadap kajian kita. Inilah juga apa yang dipesan secara peribadi oleh pensyarah saya sendiri. Hakikatnya pada usia muda (baca: 20an) inilah mahasiswa perlu teroka sendiri dan mempunyai matlamat hidup yang jelas, agar ia dapat lebih tertumpu hidupnya itu dan dapatlah ia fokus terhadap beberapa perkara.

- hh (12/9/2023)
Share:

0 Komen:

Catat Ulasan