Ahad, September 10, 2023

Teras perniagaan untuk menjadi ahli fizik

———

Oleh hh (Ahad, September 10, 2023)

Papan putih Dr yang memadam hasil kerjanya berkenaan
anggaran ketumpatan kNN demi mengajar anak
muridnya berkenaan kompleks analisis. Tqvm Dr.

Apabila saya hendak memasuki wilayah sains fizik pada suatu ketika dahulu, saya akan melihat bidang fizik ini dalam konteks perniagaan. Apakah pelaburannya? Bagaimana pula prosesnya? Apakah produknya? Kemudian membawa kepada persoalan-persoalan yang lebih spesifik dan tertumpu. Jika kita tahu apa yang sedang diperdagangkan, sudah tentu kita akan ada penanda aras ataupun KPI yang hendak dicapai. Berlanjut pula visi dan misi yang hendak dicapai dalam hidup kita pula. Saya memikirkan bahawa setiap pelajar perlu mempersoalkan apakah teras perniagaan bagi bidang yang ia ambil. Begitu jugalah apabila saya melihat fizik ini sebagai teras perniagaan, agar tahu dan faham apa yang perlu dibuat dan dicapai.

Secara umumnya, teras perniagaan dalam menjadi ahli fizik adalah memahami dan serta menjelaskan hukum asas yang mengawal tingkah laku alam semulajadi, dari zarah terkecil hingga struktur terbesar di alam semesta. Ahli fizik menggunakan model matematik, eksperimen, dan pengamatan untuk mengkaji sifat jirim dan tenaga, dan untuk membangunkan teori dan hipotesis yang boleh diuji dan disahkan. Inilah yang saya kira sebagai proses-proses umum yang dilakukan oleh ahli fizik.

Sebagaimana ahli perniagaan, perlu ada kilang atau tempat prosesnya. Kebanyakan ahli fizik bekerja di pelbagai tempat termasuk universiti, institusi penyelidikan, agensi kerajaan, dan industri swasta. Ia di antara akademia juga industri. Sesetengah ahli fizik menjalankan penyelidikan asas untuk meneroka fenomena baru dan menolak batas-batas pengetahuan, manakala yang lain menggunakan kepakaran mereka untuk menyelesaikan masalah praktikal dalam bidang seperti kejuruteraan, perubatan, dan tenaga.

Selain daripada menjalankan penyelidikan, ahli fizik juga bekerjasama dengan saintis dan jurutera lain, mempersembahkan dapatan mereka di persidangan atau dalam jurnal sains, serta mengajar dan membimbing pelajar di semua peringkat (di universiti khususnya). Dari segi penerimaan dan pemberian ini berlakunya pertukaran inovasi dan teknologi agar dapat melaksanakan kajian dengan lebih baik.

Dan saya kira produk perniagaan bagi ahli fizik adalah sumbangan mereka terhadap pemahaman kita berkenaan alam semesta ini dan menggunakan pengetahuan itu untuk memajukan sains dan teknologi, serta meningkatkan kehidupan kita, dan mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua orang. Namun, tidak boleh kita nafikan bahawa, kemajuan sains juga membawa kepada kita kepada lembah kemusnahan sekiranya buruk tujuannya.

Dengan mengetahui teras perniagaan ini sebagai ahli fizik, kita akan lebih tertumpu ke mana hendak kita tuju. Ini penting dalam perancangan hidup kita. Semoga penulisan yang tidak seberapa berat ini akan menjadi panduan buat adik-adik yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Agar masuknya nanti tidaklah seperti rusa masuk ke kampung. Mengetahui teras perniagaan sesuatu bidang adalah umpama melihat akan peta. Tempatnya belum tentu dituju namun legendra peta menyatakan segalanya.

- hh (1:42 PM, 10/9/2023)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan