Jumaat, September 29, 2023

Keperluan membaca dan menulis

———

Oleh hh (Jumaat, September 29, 2023)

Pascamembaca (Setelah 8 Hari)
Rasanya sudah seminggu lebih saya tidak menulis apa-apa dalam blog ini hinggalah bersarang catatan penanya. Namun, saya tidak melihatnya sebagai suatu terkurang tetapi hanya sebuah neraca timbang yang ada berat sebelahnya. Kebelakangan ini beberapa buku telah saya khatamkan terutamanya dalam pengajian yang berkaitan dengan geopolitik, psikologi, dan kepimpinan. Hal yang berat bagi saya memerlukan pembacaan yang lebih lama. Ya, seminggu itu hakikatnya tidak ada cukupnya. Saya pun memikirkan, bagaimana hendak saya megimbangkan pula di antara tugasan untuk membaca dan menulis? Supaya satu tidak mengatasi dengan yang lain. Lebih dengan yang lain.

Adapun keperluan membaca itu perlu ada wajibnya. La Iqra'. Begitu jugalah tujuan menulis dalam mengikat ilmunya. Tidak lengkaplah sebuah disiplin ilmu tanpa sebarang penulisan. Ia seakan mengurung minda untuk merembas apa yang telah dibaca. Tidak ada yang baik dalam menerima sesuatu yang tiada rencananya. Oleh demikian, dalam setiap buku yang telah saya baca, sekurangnya ada satu kepilan catatan yang diselit pada buku sebagai tanda resensinya.

Namun, suatu neraca keseimbangan yang perlu saya ada juga adalah bagaimana pembacaan saya itu juga tidak bersifat bias semasa mengarang dalam blog ini. Demikianlah yang menjadi tujuan matlamat yang besar.

Manusia yang banyak membaca adalah manusia yang berbahaya
Pada seorang yang saya pautkan, saya katakan bahawa mereka yang banyak membaca itulah orang yang berbahaya. Berseloroh dengan kenyataan yang saya berikan. Ini adalah lanjutan penerangan yang mungkin lebih memenangkan hatinya. Adapun orang yang membaca itu orang-orang yang berbahaya, tidak semestinya ia pula adalah orang-orang yang akan berlaku jahat. Sebaliknya, berbahaya itu dari segi tajam fikirannya. Manusia yang membaca lebih bijak dalam menilai apa yang berlaku dengan sekelilingnya. Apa yang dibaca itulah mempengaruhi sebahagian besar gaya ia melihat dunia ini.

Hidup pemuda yang membaca
Jika seorang pemuda pada awalnya sekadar membaca buku. Ia akan bersikap sangat naif terhadap apa yang ia baca. Menerimanya bulat-bulat. Sehinggalah suatu ketika fikirannya sangsi terhadap apa yang dibacanya itu; Tidak memuaskan hatinya. Satu buku seakan tidak sealiran dengan yang lain. Apa memang ada kurangnya suatu buku itu? Jika minta pendapat saya, kekurangan itulah suatu punca jalan mencari kebenaran. Apabila pemuda itu mula berdiri dengan pedomannya sendiri setelah apa yang telah ia bacakan seluruhnya. Ia berpijak dengan kebenarannya sendiri. Beserta pendirian yang teguh dan beraninya itu. Namun, dirinya tidak lama akan bergoyah. Oleh sebab itu, apabila seorang pemuda sudah lama menyelami, terlalu dalam akar ilmunya itu. Perlu ada seberapa orang guru yang menegakkan kebenaran setelah apa yang celaru dalam pemikirannya itu. Apa yang sudah bengkok. Supaya yang didirikannya itu adalah suatu yang ada betulnya. Berani menegakkan pendirian itu ada alatannya pula. Sehendaknya bijak, licik, serta kritis pemikirannya itu. Demikianlah orang bagi pengamatan saya, orang yang berbahaya.

Berhadapan orang yang sedemikian, memandang rendah adalah suatu kesilapan besar. Bukan kerana selayaknya ia terima, sebaliknya kerana ia tahu apa yang kita tidak tahu pula. Boleh jadi apa yang diludah berbalik pada muka sendiri.

- hh (29/9/2023)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan