Demikianlah pemuda-pemudi yang membaca. Dirinya sungguh muda, namun pemikirannya jauh lebih mematangkan. Lensa fikirnya jauh tampaknya –sering tenggelam di dalam dasar laut, lalu sesat. Jika fikirnya di langit, terbentang pula bintang-bintang larut malam, akalnya pula melayang. Hidup orang-orang membaca adalah hidup yang ditentang, kerana sudut pandangnya lebih luas berbanding sempitnya para pemikir kuno lain. Ia tampak pula apa yang lain tidak. Demikianlah pemuda-pemudi yang membaca! Setelah ini adalah pesan-pesan suci buat pemuda-pemudi ini.
Bacalah dengan terpimpin. Sungguh pembacaan itu ada dua hasil jalannya. Satu, bahawa ia akan membawa engkau menjumpai para hikmah (yang mampu memimpin). Kedua, bahawa ia akan membawa engkau berdiri bersendirian dengan kaki sendiri. Boleh jadi langkahnya sesat, boleh jadi kerana semaknya banyak atau akalnya begitu panjang sehinggalah tidak terurus. Maka, kau akan tenggelam dengan pendapat sendiri. Tiada indikasi yang membantu engkau akan benar-silapnya. Kerana membaca belum tentu cerdik, namun orang cerdik sudah tentu membaca! Hendak membaca, perlu merunduk akan dirinya –begitu juga nafsnya. Terbit akan kesedaran bahawa ia tidak tahu apa-apa. Ketidaktahuan itulah yang mendorong dirinya untuk mempelajari dari orang-orang yang terpimpin akan panduan akalnya. Jika terpimpin akan akalnya itu, adab juga akan menyusul.
Jadilah pemuda/i membaca yang hebat –membawa perubahan terhadap orang lain. Kerana membaca itu wadah ilmu yang dituntut. Sekiranya tidak diamalkan (praktik) terhadap apa yang dipelajari, tergolong pulalah dirinya sebagai orang yang rugi. Jangan pernah menyimpan apa pendapat yang terkandung dalam fikirmu. Ada masa ia perlu ditulis dalam catatan-catatan pena, atau bicara-bicara sulit, atau segala ruang merembaskan fikirnya itu. Kerana idea tanpa penggerak, hanyalah kekal sebagai idea.
Tidak malu saya katakan bahawa jadilah seperti mata lalat. Sering tampak akan kepincangan (buruk/kurangnya) apabila ia melihat terhadap sesuatu. Namun, jadilah pula dirinya umpama lebah, memberi manfaat pula pada sekelilingnya itu. Tidaklah ia menghukum, sebaliknya ia membetulkan apa yang jelas zalimnya. Dan sekurang-kurangnya pemberi adalah terhadap dirinya sendiri sebagai pengajaran. Janganlah pula ia culas. Malas itu adalah barah akal yang membawa kemuduran terhadap diri dan sekelilingnya. Hendaklah terbit akan jiwa-jiwa pengorbanan, sama ada pada tindakannya, masanya, atau tenaganya. Bahawa ia ingin membawa perubahan terhadap orang lain. Demikianlah, pedoman hidup yang perlu ada dalam pemuda/i yang membaca. Hidup yang tidak sekadar membaca!
–hh (6:50 pagi, 6/9/2023)
0 Komen:
Catat Ulasan