Ahad, September 17, 2023

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya


Setiap kali saya memasuki sidang akademik baharu di universiti. Saya akan monolog sendiri dengan berkata,

"Ujian yang mendatang ini akan lebih teruk.."

Persimis terhadap kehidupan? Tidak juga jika hendak saya katakan. Lebih selesa menganggap bahawa ia adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan. Bahawa kita sememangnya akan berhadapan dengan cabaran, dugaan, dan ujian dalam hidup.

Bukankah "lebih teruk" itu gambaran yang buruk? Entah mengapa, tetapi ujian yang saya hadapi sekarang meskipun berat sekali hendak ditanggung saya, saya rasa cukup dipermudahkan dan tenang apabila berhadapannya. Syukur saya kepada Allah ke atas segala pemberian-Nya. Hanya sabar sahajalah  penyelesaian yang dapat saya lakukan sekarang ini. Meskipun tiada cahaya di hujung terowong. Dan ini memisalkan bahawa hanya keajaiban pertolongan Allah sahajalah yang dapat membantu saya ketika ini. Sebaliknya, hanya kesabaran. Apabila tiba waktunya, saya akan dihukum dengan ujian tersebut. Oleh kekuatan (walaupun tiada daya upaya saya sebenarnya melainkan pertolongan Allah) yang saya ada ini, tidak mustahil bahawa Allah akan memberi ujian yang lebih besar daripada apa yang saya hadapi sekarang. Sehinggalah saya mencapai satu tahap limitasi, bahawa diri saya tidak berdaya lagi menanggung. Dan yang ada hanyalah kebergantungan secara menyeluruh kepada Allah. Mungkin pada saat inilah terpapar wajah sebenar keimanan dalam diri saya.

Ujian-ujian ini sering dilihat sangat besar bagi diri kita apabila ia melibatkan masa depan kita. Hidup ini adalah kesan dan akibat daripada perbuatan kita sendiri. Tetapi kita lupa, bahawa masa lalu, masa sekarang bahkan masa depan adalah dalam kekuasaan Allah. Sebaik mana pun perancangan kita akan datang, apabila datang ujian-ujian yang mampu mengubah perancangan kita menyeluruhnya, maka tiada apa yang mampu mengubah atau menghalangnya. Oleh sebab itu, sentiasa bersangka baik dengan apa yang berlaku. Boleh jadi ujian yang kita hadapi sekarang ini adalah asbab jalan lembaran kehidupan yang lebih baik Allah beri. Yakinlah bahawa ada pertolongan daripada Allah SWT. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

- hh (17/9/2023)
Share:

0 Komen:

Catat Ulasan