Ahad, Jun 09, 2024

Jurnal Prasiswazah: Pembelajaran secara bijak

———

Oleh hh (Ahad, Jun 09, 2024)

Jika kita hendak membandingkan tempoh pembelajaran semasa zaman persekolahan dengan pembelajaran di peringkat matrikulasi atau universiti, jelas bahawa tempoh pembelajaran semakin singkat. Contohnya, di universiti, satu sidang akademik berlangsung hampir setahun, di mana satu semester adalah kira-kira empat bulan. Pengurusan pembelajaran turut dipengaruhi oleh tempoh pengajian ini. Kita perlu menyesuaikan pendekatan pembelajaran agar sesuai dengan masa yang terhad untuk mengulangkaji dan mengaplikasikan konsep yang dipelajari.

Dalam kebanyakan kursus, pensyarah menyediakan nota ringkas dalam talian bagi topik yang akan dibincangkan. Kadangkala, pelajar diberikan buku akademik sebagai rujukan. Namun, persoalannya, adakah medium penyampaian ini bersesuaian dengan gaya pembelajaran pelajar?

Kelemahan yang sering berlaku adalah pelajar terlalu bergantung kepada nota ringkas dari pensyarah. Mereka tidak dapat memahami konsep dengan mendalam tanpa bimbingan langsung dari pensyarah dalam kuliah. Sebaliknya, pelajar perlu merujuk kepada buku akademik yang disyorkan, di mana pensyarah telah merangkumkan kandungannya ke dalam bentuk nota ringkas.

Adalah lebih baik bagi seorang pelajar untuk memperuntukkan masanya dalam menelaah buku-buku tersebut dengan berpandukan nota yang diberikan oleh pensyarah. Langkah ini bertujuan untuk memastikan pemahaman yang mendalam serta penguasaan yang kukuh terhadap subjek yang dipelajari. Dengan mengikuti panduan dan arahan yang diberikan melalui nota-nota tersebut, pelajar dapat mengaitkan teori yang dipelajari dengan aplikasi praktikal, sekaligus meningkatkan kemahiran analitikal dan kritikal mereka. Justeru membawa kepada persoalan-persoalan yang lebih kritikal dan bercambah.

Persoalan-persoalan khusus tidak akan timbul tanpa
terlebih dahulu mengemukakan persoalan-persoalan asas.

Dalam proses pembelajaran ini, persoalan-persoalan yang lebih mendalam dan menantang akan muncul setelah pelajar betul-betul memahami asas-asas suatu topik itu. Meskipun memerlukan waktu yang lebih lama untuk memahami buku akademik yang terperinci, pendekatan ini lebih efektif berbanding hanya bergantung kepada nota ringkas. Membuahkan persoalan itu tidak ada bezanya dengan melaksanakan latihan. Kedua-duanya membuahkan persoalan. Namun, pendekatannya yang berbeza dan mengikut kesesuaian bahawa ia lebih praktikal atau menjurus kepada teori semata-mata.

Oleh itu, pengurusan masa dan kaedah pembelajaran yang dipilih memainkan peranan penting dalam keberkesanan pembelajaran seseorang pelajar. Adalah penting untuk memilih pendekatan yang sesuai dengan keperluan diri sendiri untuk memaksimumkan pembelajaran dan pemahaman dalam pengajian yang dijalani. Apa yang penting adalah bagaimana kita memanfaatkan usaha guru dalam mengajari kita, dan semoga dengan itu, sedikit sebanyak keberkatan ilmu itu dapat kita peroleh dengan baik.

- hh (5:10 AM, 9/6/2024)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan