Isnin, Mei 18, 2020

Pemprosesan : Pemproses Linear & Pemproses Semasa

Permprosesan Linear :

- Juga dikenali sebagai pemprosesan bersiri.
- Pemproses (CPU) memproses data dan arahan secara berjujukan.
- Mengikut Kitaran Mesin : Capai(IF) - Nyahkod(ID) - Laksana(EX).
- Hanya sesuai untuk melaksanakan arah yang ringkas.

Perlaksanaan arahan secara linear

 Pemprosesan Semasa :

- Juga dikenali sebagai pemprosesan tidak linear atau pemprosesan selari.
- Boleh dikonfigurasikan bagi melaksanakan pelbagai tugas dalam satu masa (multitasking).
- Mampu melaksanakan beberapa arahan secara serentak dengan menggunakan teknik talian paip (pipelining).
- Teknik ini digunakan untuk mempertingkatkan prestasi pemproses semasa.
- Teknik ini membenarkan pemprosesan arahan-arahan secara bertindih (overlapping).

Pelaksanaan Arahan Menggunakan
Teknik Talian Paip (Pipelining).
Kalau kita lihat, jumlah masa yang diperlukan untuk menyelesaikan tiga arahan hanyalah lima milisaat. Berbanding pula dengan pemprosesan linear yang memerlukan sembilan milisaat untuk menyelesaikan tiga arahan.

Teknik ini masih digunakan dalam pemproses masa kini seperti dalam pemproses Intel Core dan digunakan dalam mikrokomputer atau superkomputer.

Perbezaan Pemprosesan linear & Pemprosesan semasa :

Pemprosesan Linear Pemprosesan semasa

- Kurang efektif dalam pemprosesan data dan arahan yang panjang dan kompleks.
- Hanya boleh melakukan satu tugas pada satu masa.

- Efektif dalam pemprosesan data dan arahan yang panjang dan kompleks.
- Arahan-arahan dibahagikan kepada beberapa bahagian dan dilaksanakan secara berasingan.
- Melaksanakan pelbagai tugas dalam 1 masa.
- Proses lebih cepat.

Khamis, Mei 14, 2020

Kenapa aku berhenti gaming?


Aku dahulu seorang yang amat ketagihan dalam permainan video sehingga aku mengabaikan pendidikan aku di sekolah. Boleh dikatakan aku menjadi tertinggal dengan sahabat-sahabat aku yang lain. Sibuk mereka mengejar ilmu untuk menjadi lebih baik, aku pula sibuk menghabiskan waktu emasku dengan permainan video. Sehingga ayahku mencadangkan supaya aku masuk sahaja dalam gaming courses sebab aku waktu itu langsung tiada minat untuk belajar malah lebih mendalami permainan video. Namun, takdir aku bukanlah terletak pada permainan video. Selama ini aku bermain hanya untuk bergembira dan lagha. Kerja rumah yang diberi cikgu pun aku tidak menyiapkannya, kalau terpaksa pun aku akan membuatnya pada waktu tengah malam, lalu aku sendiri yang tidur lewat.

Aku tidak mahu bersangka buruk akan permainan video kerana ia juga adalah suatu hobi yang sangat diminati ramai golongan sekarang, tidak kira muda atau tua. Malah ada kanak-kanak yang sudah mahir dalam bermain permainan video. Dalam Islam, tak pernah melarang kita untuk berhibur. Tetapi yang menjadi masalah apabila hiburan itu membuatkan kita jauh daripada Allah malah mengabaikan tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Sama juga seperti mendengar lagu, jangan kita leka Dengar lagu tersebut sehingga seruan azan pun kita buat tak dengar. Berpada-padalah.. Zaman sekarang sudah ada e-sport iaitu ‘permainan kompetitif pada tahap profesional’ yang hanya melibatkan permainan video, ataupun sebarang permainan video dengan konsep kalah dan menang boleh dikategorikan sebagai esport, Semakin besar jumlah pemainnya, semakin sengit pula persaingan.

Aku dahulu memang nak kearah e-sport tetapi Allah takdirkan aku bukan itu kelebihan yang aku ada. Dahulu aku pernah bermain CS:GO iaitu "Counter Strick : Global Offensive", jumlah masa yang aku main game itu adalah 1.1k jam. Ya 1100jam. Lebih kurang 46 hari aku bermain tanpa henti. Itu baru game CS:GO. Belum tambah lagi game2 lain aku main. Aku dahulu main permainan video dekat Steam. Dalam tu ada banyak game, lebih kepada games store lah. Aku bukanlah seorang mobile gamer. Sebab aku baru dapat fon  sendiri ketika umur aku tingkatan 5. Itu pun sebab galakan cikgu aku untuk buat group kelas menggunakan whatsapp. Sebelum ni aku hanya menggunakan komputer sahaja. Bermulanya aku dalam bidang permainan video ini ketika aku berumur 11 tahun. Waktu itu, aku bermain permainan video yang ringan-ringan sahaja. Sehinggalah aku tingkatan 3, aku telah bermain game yang berat-berat. Sebagai contoh game paladins,csgo,gta,rocket league, l4d, unturned,COD dan mcm-mcm lagi. Menyebabkan markah peperiksaan aku menjadi rendah.

Kemudian, aku sedar bahawa permainan video ini hanyalah menjadi tempat aku membuang masa. Aku belum cukup bijak untuk menguruskan masa aku. Aku banyak mengabaikan tanggungjawab aku sebagai seorang anak dan pelajar. Malah permainan video tersebut tidak membawa kebaikkan kepada aku untuk masa yang akan datang kerana aku bermain hanyalah kerana ingin membuang masa. Kadang-kadang menjadikan emosi aku tidak stabil, aku menjadi seorang yang agresif. Suka marah-marah. Kau tahu tentang "Toxic Player"? kau googlelah.. Aku sering juga terserempak dengan golongan tu. Senang cerita, selama aku bermain permainan video ini lebih banyak benda negatif aku dapat berbanding positif. Banyak benda bukan-bukan juga aku belajar. Benda baiknya adalah aku jumpa ramai kawan. Maklumlah ketika itu aku masih meningkat remaja, pastinya perangai entah apa-apa. Berlainan pula mereka yang betul-betul bijak dalam mengurus masa dan diri. Mereka menjadikan permainan video itu sebagai tempat lepaskan tekanan stress juga menjadi tempat mereka menimba ilmu dan pengalaman yang ada. Tambahan lagi, mereka tidaklah begitu ketagih sehingga mengabaikan solat. Sungguh beruntungnya mereka!

Kembali kepada persoalan yang terpapang besar dekat tajuk ini. Selepas sahaja aku tingkatan 3, aku mula sedar akan ketagihan aku dalam permainan video. Malah pendidikan aku mula jauh ketinggalan. Bapa aku kemudian memindahkan aku ke sekolah yang baru. Dari sinilah di mana aku mengubah diri aku. Aku dapat masuk kelas aliran sains. Tetapi kelas ini tiada subjek biologi, ditukar kepada sains komputer. Memang minat aku sudah ada terhadap komputer. Dalam kelas itu aku dikelilingi dengan orang-orang yang bijak pandai. Ada yang dapat 8A ketika PT3, malah ramai diantaranya. Menyebabkan aku berasa rendah diri. Kemudian, aku berazam untuk bangkit. Aku lakukan perubahan yang drastik. Aku tidak lagi menyentuh komputer yang aku gunakan sebelum ini. Ya, sekarang komputer itu penuh dengan habuk. Ayah aku pernah cadang untuk memasukkan komputer itu ke dalam bilik aku. Sungguh aku menolaknya. Apa sahaja kejahilan yang boleh aku buat jika komputer ada dalam bilikku. Maka, aku memberitahu bahawa komputer itu milik keluarga bukan milik aku seorang. Jadi baiknya jika komputer itu letaknya pada ruang tamu atau apa sahaja tempat yang semua orang dapat gunakannya dengan mudah.

Seterusnnya, perubahan drastik kedua. Aku mula membuang segala benda yang aku buat sebelum ini. Aku buang permainan video, files dan apa sahaja yang dapat mengimbau kenangan jahil aku itu dalam komputer. Kalau boleh nak sahaja aku format komputer itu, tapi masih ada sebahagian benda yang aku sayang dalam komputer itu.

Aku tahu dalam perubahan pasti ada cabaran, sungguhnya aku masih ada sisa baki untuk bergiat dalam permainan video tetapi sangat sedikit. Aku pernah bermain dalam tempoh yang singkat juga. Namun, segala nikmat aku bermain permainan video sudah hilang. Seperti tiada lagi keseronokkan yang aku dapat. Tetapi aku berlapang dada dan berterima kasih kepada Allah. Sudah sekian lama, ketagihan aku mula hilang. Memang agak susah untuk berubah, lagi-lagi bila kau ketagih. Ada sahaja kesempatan untuk bermain permainan video walaupun sedikit. Namun tidak salah bagiku. Cukuplah aku sudah ada kesedaran untuk mengurus masa yang bermanfaat.

Aku dahulu seorang yang sukar sangat membaca buku. Ibu ayah aku banyak juga beli buku untuk aku, tapi aku langsung tidak membaca. Kalau ada pun hanya belek-belek muka surat melihat gambar dan info menarik. Tambahan lagi minat aku hanya pada kisah-kisah nabi terdahulu dan komik-komik yang mengarut. Inilah perubahan drastik aku yang ketiga sebenarnya. Aku mula untuk tanam minat dalam membaca buku ilmiah. Aku menyertai "Reading Challenge". Tapi sayang aku lupa nk rekod semua buku yang aku baca.

Bagi aku bermain permainan video itu tidak salah yang salah itu diri kita sendiri. Kalau kita bijak mengurus masa malah menjadikkan permainan video itu sebagai suatu perkara bermanfaat jadi baguslah. Tambah lagi apabila ia dapat mengingatkan kita tentang ilmu pengetahuan dan agama.

Oh ini yang terakhir, aku ada tips untuk ibu bapa diluar sana bagaimana nak uruskan anak-anak dengan permainan video ini. Sememangnya permainan video ini boleh buat seseorang itu ketagih. Namun aku cadangkan supaya ibu ayah yang ada hanya membenarkan anak mereka bermain permainan video bila capai umur dimana dia dapat berfikir secara matang dan bijak dalam pengurusan masa. Kalau setakat budak-budak itu, ibu bapa bolehlah bagi anak bermain permainan video yang menguji minda. Jangan pula bagi permainan yang berat-berat. Banyak game sekarang sudah tetapkan umur minimum yang diperlukan untuk bermain game tersebut. Jadi apa kesannya kalau anak-anak mula bermain permainan video yang berat-berat ini? Contohnya ML,CSGO,PUBG. Sungguhnya dalam itu ada bahayanya. ia memberi kesan kepada emosi seseorang. Andai kata seseorang itu kalah, maka ia tidak dapat mengawal emosinya. Dia pun akan bertindak agresif mula menghentak-hentak benda. Kemudian mula mengeluarkan air mata tagisan apabila kalah. Tambahan lagi, bila anak-anak tersebut menjadi mangsa siber buli. Pemain dari luar menghina-hina anak anda. Menyebabkan anak anda kemurungan atau paling teruk anak-anak anda mungkin akan mencontohi sifat pemain tersebut. Bagi aku tiada masalah bila seorang anak itu mula tahu bezanya baik dan buruk. Juga, buat mereka yang dapat mengawal emosi juga perasaan. Aku ada sahaja saudara yang bermain permainan video, tetapi dapat juga skor dalam pendidikan. Malah dia bijak dalam menguruskan masa.

Itu sahajalah yang ingin aku kongsikan. Sebagai ex-gaming. Aku boleh sahaja nak main game semula, cumanya buat masa sekarang aku lebih minat mencari hiburan lain. Sudah puas bagi aku sebelum ini. Banyak pengalaman aku dapat. Banyak juga derita aku terima. Sekian terima kasih.

- Sang Meruton -

Ahad, Mei 10, 2020

Sejarah Model Sistem Suria : Geosentrik & Heliosentrik


Perkembangan Sejarah Model Sistem Suria (Berikut adalah penerangan mudah hendaknya berkenaan sejarah model sistem suria) :

Teori Model Geosentrik (Geocentric Model)
 
Dalam astronomi, model geosentrik atau dikenali sebagai geosentrism adalah istilah astronomi yang menggambarkan alam semesta dengan bumi sebagai pusatnya. Model geosentrik adalah gambaran utama alam dalam banyak peradaban kuno, seperti Aristotle di Yunani klasik dan Ptolemy di Mesir Rom.

Model awal sistem suria(Model Geosentrik) adalah berdasarkan falsafah dan agama. Ahli falsafah menghabiskan masa mereka untuk membincangkan dan membahaskan bagaimana alam semesta kelihatan. Kita mesti ingat: Ahli falsafah tidak mempunyai teknologi yang kita miliki sekarang. Asal dan penempatan Bumi sangat berakar pada agama. Model geosentrik ini diterima sehingga abad ke-16.

Claudius Ptolemy dilahirkan pada tahun 100M di Alexandria, Mesir dan meninggal pada tahun 170M di tempat kelahirannya. Ptolemy ini membuat kira-kira dalam konsep geometri untuk mengenal pasti kedudukan matahari, bulan dan planet-planet lain. Ptolemy adalah yang bertanggungjawab dalam membina model geosentriknya ("Sistem Ptolemaic") berdasarkan ajaran Aristotle iaitu bumi sebagai pusat sistem suria dan planet-planet beredar mengelilingi bumi. Beliau diadaptasi dan memperbaiki model geosentrik Hipparchus untuk menjelaskan perbezaan yang didapati oleh pemerhatian yang lebih baik.


Ciri-ciri model Geosentrik
  • "Geo" membawa maksud Bumi.
  • "Sentrik(Centric)" bermaksud pusat.
  • Bumi berada pada pusat sistem suria.
  • Susunan planet & bintang dari Bumi ke luar adalah: Bulan, Utarid, Zuhrah, Matahari, Marikh, Musytari, Zuhal, dan bintang-bintang.
  • Bumi dalam keadaan pegun dan semua objek seperti bulan, Matahari dan planet lain mengelilingi bumi dalam orbit yang membulat.
  • Berdasarkan pseudosains
Nota kaki :
Pseudosains terdiri daripada pernyataan, kepercayaan, atau amalan yang didakwa sebagai saintifik dan fakta tetapi tidak sesuai dengan kaedah saintifik.


Teori Model Heliosentrik (Heliocentric Model)

Dalam astronomi, heliosentrisme ataupun heliosentrik adalah model astronomi yang mana bumi dan planet lain mengelilingi matahari yang berada pada pusat sistem suria. Dalam sejarah, heliosentrisme bertentangan dengan geosentrisme yang menempatkan Bumi di pusat sistem suria. Ketika abad ke-16 Nicolaus Copernicus membangunkan model baru sistem suria(Heliosentrik) dalam sebuah buku, De Revolutionibus.

Nicolaus Copernicus mempunyai hubungan seumur hidup dengan gereja. Gereja tidak langsung melihat modelnya sebagai radikal. Modelnya hanyalah hipotesis. Ia lebih mudah secara matematik dan lebih mudah digunakan. Bukunya "De Revolutionibus" tidak dilarang oleh gereja sehingga 73 tahun selepas penerbitan. Ia dilarang pada tahun 1616M setelah berita Galileo semakin hampir.

Copernicus mencadangkan model heliosentrik (berpusat pada matahari) untuk alam semesta.


Ciri-ciri model Heliosentrik(Lama)
  • "Helio" membawa maksud Matahari.
  • "Sentrik(Centric)" bermaksud pusat.
  • Susunan planet-planet dari Matahari ke luar adalah: Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal dan bintang-bintang.
  • Bumi berputar pada paksinya dan beredar mengelilingi matahari dalam orbit yang membulat.
  • Terbukti menggunakan data matematik oleh Copernicus.
Pada abad berikutnya, model tersebut diperluaskan oleh Johannes Kepler. Johannes Kepler lahir pada tahun 1571M di Jerman dan meninggal dunia pada tahun 1630M. Kepler adalah orang pertama yang mengaitkan fizik dengan astronomi. Semasa zaman Kepler, mencampurkan astronomi dengan fizik merupakan sesuatu yang radikal dan dianggap bidaah. Usaha Kepler dalam menyatukan fizik dan astronomi dikritik ramai orang antaranya Johannes Praetorius dan gurunya sendiri, Michael Maestlin.Tiada prinsip dan hukum fizik yang pernah dibangunkan, semuanya dilihat berdasarkan dari sudut matematik sahaja.

Kepler mengubah suai model Heliosentrik dengan Matahari pada titik fokus sepunya pada orbit elips planet mengikut Hukum Kepler. Semasa zaman Kepler, saintis baru menjumpai enam planet.

Sedikit Info : Pada tahun 1610M, Kepler mendapat khabar tentang penciptaan teleskop Galileo. Kepler pernah merayu kepada Galileo untuk memberikannya satu teleskop tetapi Galileo tidak memberi balasan sebabnya teleskop-teleskopnya sudah diberi kepada para pembesar Itali untuk kepentingan politik. Tiada satu pun yang ditinggalkan untuk Kepler. Akhirnya Kepler menghasilkan teleskopnya sendiri pada tahun 1611M. Teleskop tersebut diberi nama "Teleskop Keplerian". Ia adalah penambahbaikan pada reka bentuk Galileo. Ia menggunakan kanta cembung sebagai cermin mata dan bukannya kanta cekung Galileo.

Model Heliosentrik yang dikemaskini menggunakan Hukum Kepler

Ciri-ciri model Heliosentrik(Semasa)
  • Susunan planet-planet dari Matahari ke luar adalah: Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan bintang-bintang.
  • Semua objek di sistem suria kita mengorbit mengelilingi matahari atau planet. Dulu, orbit-orbit ini adalah lingkaran yang sempurna(membulat). Namun, sejak itu ditunjukkan bahawa orbit objek-objek ini berbentuk elips.
  • Planet berputar mengelilingi matahari.
  • Dalam orbit jenis ini, planet-planet bergerak mengelilingi matahari dalam bentuk elips(Bentuk bulat bujur, seakan-akan bujur telur).
  • Daya graviti adalah menyebabkan planet mengelilingi matahari.
  • Bulan berputar mengelilingi planet.
  • Bulan juga bergerak mengelilingi planet dengan bentuk elips.
  • Hukum-hukum Kepler bersifat empirikal iaitu berdasarkan data eksperimen. Kemudian, Issac Newton berjaya membuktikan secara teori.

Biografi Imam al-Ghazali & Kisah Kitab Ihya' Ulumuddin

Biografi Imam Al-Ghazali

Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam al-Ghazali lahir di Tusia, Khurasan pada tahun 450 Hijrah/1058 Masihi.

Beliau yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuan islam yang terkenal pada zamannya sehingga ke hari ini. Beliau juga merupakan seorang wali Allah dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta dianggap sebagai al-mujaddid pada kurunnya.

Khamis, Mei 07, 2020

Ordinary Students: Kehidupan Aku Sebagai Pelajar Biasa


Aku masih ingat,

sewaktu umur 5 tahun. Akulah menjadi pemimpin membaca doa makan sewaktu di tadika. Kemudian, sahabatku yang lain menadah tangannya sambil mengaminkan doa. Kemudian, masuk tahun 1 aku menjadi ketua kelas. Ketika itu aku langsung tidak mengharapkannya dan tidak mengenali sesiapa kerana aku berpindah sekolah ketika itu. Entah bagaimana sahabat sekelasku mengundi aku untuk menjadi ketua kelas. Sememangnya itu perkara baik buat mereka, dan perkara malang buat aku. Aku ketika itu saat malu dan tidak berani untuk menulis nama-nama mereka yang bising. Tapi aku berterima kasih kepada mereka yang diam tatkala cikgu meminta aku menjaga kelas saat ketiadaannya. Buat mereka yang bising semasa aku menjawat jawatan ketua kelas dahulu, aku mengucapkan semoga anda jadi orang berguna pada hari nanti.

Sememangnya aku dahulu sekolah rendah jarang dikenali, aku sentiasa menjadi pelajar biasa. Kadang aku lihat seperti tiada keistimewaan yang ada pada diri aku, dan cikgu pun tidak begitu memberi perhatian kepada aku. Tidak bergiat dalam sukan apatah lagi akademik. Mungkin ia kesilapan pada diri aku kerana tidak mempunyai kesedaran terhadap pelajaran ketika itu. Tahun demi tahun, aku diturunkan kelas akibat pencapaian akademik yang kurang memuaskan. Kemudian, aku mula mendekati alam maya. Saat itu aku bermula membuat akaun sosial media iaitu facebook pada tahun 2013. Pada ketika itu, aku saat ketagih akan dunia maya ini. Permainan video sudah menjadi kewajipan untuk mengisi masa lapangku. Sehingga membuatkan aku bersifat introvert. Aku kurang untuk bermain diluar seperti kawan-kawan aku yang lain. Lebih banyak duduk di rumah.

Patutlah kawan aku dahulu cakap kulit aku putih. Sebenarnya tidak pun. Aku hanya jarang keluar rumah. Kembali kepada sekolah rendah, aku jarang memberi sumbangan kepada sekolah. Malah, aku kekurangan sijil pencapaian apatah lagi jawatan. Namun, aku sering dilantik sebagai ketua kelas dan penolong ketua kelas tapi aku tahu. Itu semua tidak berguna sangat untuk aku melanjutkan pelajaran. Disebabkan aku dahulu terlalu ketagih dengan alam maya. Keputusan UPSR aku kurang memuaskan, aku hanya dapat 1A4B sahaja. Subjek yang aku dapat gred A tersebut adalah "Matematik". Aku percaya aku dapat A ini kerana usaha aku lebih berbanding subjek lain ketika itu. Mak ayah aku juga memberikan aku tuisyen matematik. Tidak dinafikan aku mempunyai minat terhadap matematik. Sebenarnya mak ayah aku juga ada menempatkan aku kelas tuisyen lain seperti Bahasa Inggeris, Sains dan subjek lain. Tapi semua itu tidak membuahkan hasil. Orang lain tak dapat mengubah kau sehingga kau mengubah diri kau sendiri.

Sememangnya harapan mereka pada aku tidak ada lagi. Masuk sekolah menengah, aku ditempatkan sekolah kebangsaan sahaja. Aku gelar ni sebagai sekolah A. Di sekolah A, aku menjumpai kawan-kawan aku yang lama. Disebabkan sekolah menengah ini berdekatan dengan sekolah rendah aku yang lalu. Sahabat-sahabat aku yang sekolah rendah dahulu ada yang masuk asrama dan juga MRSM. Sememangnya mereka ini memang bijak, sehingga aku membandingkan diri aku dengan mereka. Ketika aku mula masuk sekolah menengah, mak ayah aku tidak lagi memberikan tuisyen kepada aku. Ia hanyalah tindakan yang sia-sia bagi aku. Lagipun aku tidak suka sangat ada kelas tuisyen, menganggu aktiviti harian aku. Semasa aku di sekolah A, aku ditempatkan dalam kelas nombor 2. Saat ini aku kehilangan kawan baik aku, katanya dia sekarang belajar di maahad tahfiz (Rasanya). Ya, semasa aku sekolah rendah aku ada sahabat baik. Bagaimana baik dia tu? Sentiasa bersama aku setiap masa. Walaupun kami berbeza kelas, waktu rehat kamilah yang akan sama berdua. Tetapi ada sahaja kawan lain yang rapat juga. Kembali kepada sekolah A, sejak aku kehilangan kawan baik itu, aku ada juga kawan lain dalam kelas yang aku kenal. Semasa ni aku ada perasaan lain, iaitu aku mula menjadi pelajar yang amat pasif. Aku kurang bergaul dengan kawan perempuan.

Budak lelaki kawan sekelas aku amatlah berlainan daripada aku. Mereka ini pelajar yang amat aktif, lagi-lagi dalam sukan. Aku pula jarang melepak dengan mereka tatkala luar daripada sekolah. Aku sekolah menengah pun tidak tahu lagi membawa motor, tidak seperti mereka. Ketika ini aku masih ada sebahagian kawan baik. Yelah, masih baru lagi tingkatan satu. Tak lama selepas tu mulalah ada pelajar yang keluar sekolah sorang per sorang apabila mendapat tawaran ke sekolah lain. Kelas aku walaupun kelas nombor dua, tapi kelas kamilah paling bermasalah dahulu ataupun dalam kata lain kelas paling banyak kes. Bukan sahaja kes dalam sekolah malah luar sekolah. Aku juga mula terjebak, cumanya tidak sehingga masuk bilik disiplin. Setakat ponteng kelas itu adalah sebab ikut kawan punya pasal. Kalau ada satu laluan kemudian bercabang dua antara laluan kanan dan kiri. Akulah yang memilih laluan tengah walau tidak tahu mana perginya memyebabkan aku jenis bergerak solo dalam kelas. Nak kata berkawan dengan budak perempuan tidak juga. Nak kata rapat dengan budak lelaki pun tidak juga. Aku banyak menghabiskan masa aku secara keseorangan. Kawan dan cikgu pun mula menyedari pada akhirnya.

Kesedaran aku terhadap pelajaran tidak ada lagi, aku masih ketagih melayari internet dan juga bermain permainan video. Namun ada baiknya juga kerana aku berpengetahuan luas dalam bidang pengkomputeran. Subjek yang aku minat dahulu hanyalah ICT, dan minat aku terhadap matematik mula hilang. Tetapi ada suatu yang pelik juga berlaku, aku mula dikenali sebahagian cikgu atas sikap aku yang agak baiklah ketika itu (Entahlah since aku pendiam). Kemudian, tingkatan 1 ke tingkatan 2 hingga tingkatan 3. Pelbagai ujian dan dugaan aku tempuhi, aku sebenarnya sudah ada kesedaran sedikit dalam pelajaran apabila aku menyedari yang aku perlu usaha untuk mengubah nasib aku yang bergerak solo ini. Namun usaha aku untuk belajar masih sedikit, maksud aku. Aku masih leka melayari internet tapi pada masa sama aku juga siapkan tugasan kerja sekolah cikgu dan juga membuat sedikit latihan. Aku buat semua ini dengan harapan ada pertukaran kelas yang akan berlaku antara tingkatan 1,2 dan 3. Namun sayang, batch kami adalah sedikit malang. Kami tidak bertukar kelas pun walau keputusan kami ada yang lebih baik daripada kelas nombor 1.

Apa yang  paling pelik adalah kawan sekelas aku nampak aku ini seorang yang selalu tidur dalam kelas bila ketiadaan cikgu. Apatah minat aku untuk belajar masih kurang. Tetapi keputusan peperiksaan aku selalu dapat nombor 2 dalam kelas. Yep, aku pun pelik. Sebenarnya kalau nak ikutkan gred subjek, aku langsung tiada A yang ada banyak hanyalah C atau 2/3 D. Sepatutnya diorang belajar, usaha diorang ada patutnya dapat lebih dari aku kan? Tetapi kedudukan dalam kelas langsung tak bermakna dan aku kurang motivasi tahun demi tahun dan tibalah pentaksiran tingkatan tiga, PT3. Aku mendapat 1A juga dan beberapa C dan D. Itu pun aku dapat A kerana lisan BM aku.

Aku pernah dicalonkan sebagai pengawas sekolah ketika ini. Namun aku tolak permohonan ini, dan aku meminta maaf. Ketika itu cikgu pernah memanggil aku untuk turun ke dewan berkenaan taklimat pengawas. Namun aku meminta kawan aku untuk memberitahu cikgu supaya tidak menjadikan aku pengawas. Ya, semasa ini aku dalam kelas dan aku tak berani untuk turun ke dewan. Aku tahu inilah peluang cerah aku untuk mendapatkan jawatan kerana ketika itu sekolah kekurangan pengawas. Namun, aku menolaknya. Mungkin aku lemah untuk menjawat jawatan itu, dan mungkin juga aku hanyalah pelajar biasa.

Bagi aku, 3 tahun di sekolah A membuatkan aku sedikit kemurungan dan stress. Walaupun banyak pengalaman aku dapat, dan cikgu yang aku sayangi. Aku tahu ayah aku nampak perubahan dalam diri aku, aku nampak lebih muram dan kurang minat untuk ke sekolah. Aku pernah dahulu mengatakan bahawa sekolah ini adalah suatu sistem penjara yang menjadikan murid sebagai tikus makmal (Ya aku sedar akan kesilapan ini). Kemudian, ayah aku mencadangkan aku untuk pindah sekolah dan aku membenarkan sahaja. Walaupun tindakan aku ini amat berat dan aku hanya mengambil ringan akan hal ini. Aku tidak memaklumkan kepada sesiapa bila aku bertindak mahu berpindah sekolah. Sehinggalah aku memberitahu seorang kawan ini. 

Apabila sekolah sudah dibuka semula, aku mendengar khabar sekolah A. Aku mendapat masuk dalam aliran sains. Iaitu ada subjek kimia, fizik dan biologi. Aku juga ditempatkan ke dalam kelas pertama ketika itu. Namun, bukan berita baik buat mereka iaitu kawan-kawan aku di sekolah A kerana mereka tidak tahu yang aku berpindah sekolah sehinggalah kawan aku yang sudah aku maklumkan itu memberitahu secara terbuka. Tetapi aku rasa tindakan aku untuk berpindah sekolah adalah betul. Di sekolah A kau dibenarkan untuk ambil subjek sains komputer, cumanya kau tiada subjek sains yang lain ataupun ada subjek yang kurang. Pakej yang lengkap adalah fizik, kimia, sains komputer dan juga matematik tambahan. Lagipun kalau aku kekal di sekolah A, aku tidak suka untuk mengambil subjek biologi. Ya, aku langsung tidak suka haha.

Ketika aku di sekolah baru, aku gelarkan sekolah B. Mencabar buat aku, disebabkan aku hanyalah pelajar biasa dan kurang dikenali ramai. Hampir semua pelajar aku tak kenal kecuali seorang kawan ini. Aku kenal dia kat masjid. Sewaktu awal-awal sekolah tu ada juga beberapa pelajar baru seperti aku. Aku lepaklah dengan diorang. Sewaktu permilihan aliran kelas tu, aku tak terfikir pun nak masuk kelas apa kat sekolah baru ni, termasuklah nak masuk aliran apa. Tiba-tiba aku nampak ada aliran sains tapi beserta dengan sains komputer cuma tiada biologi. Kemudian, aku target kelas tu. Cumanya korang rasa layak ke PT3 1A dan beberapa gred C dan D masuk aliran sains? 1A. Kalau nak difikirkan pun memang tak layak, malah ramai lagi pelajar dekat sekolah B ni yang pandai-pandai dan dapat gred tinggi semasa PT3.

Syukur, Allah beri yang terbaik. Aku dapat masuk aliran sains walaupun hanya berbekalkan 1A semasa PT3. Ya, memang tujuan PT3 tu untuk lihat kebolehan kita untuk masuk aliran apa selepas ini, tetapi ia satu kesilapan untuk aku kerana tidak fokus terhadap pelajaran sebelum ini dan Allah memberikan aku peluang kedua untuk berubah ke arah lebih baik. Disebabkan aku pelajar baru, semua pelajar kat kelas aku semua aku tak kenal. Hanya seorang kawan sekelas lama aku je yang aku kenal dan dia seorang perempuan. Sekolah B ini semua bangsa ada, melayu, cina dan india. Agak nampak patriotik sekolah sini berbanding sekolah lama yang hanya ada bangsa india dan melayu sahaja. Kelas aku hanya ada beberapa orang melayu sahaja selebihnya cina dan india. Mungkin kerana ramai tak minat dengan aliran sains. Aku pun agak terkejut apabila pelajar yang baru masuk dengan aku tu tak ambil peluang dalam aliran sains. Tetapi aku sudah tekad yang aku memang nak ambil aliran sains yang ada sains komputer juga tu. Kalau diminta untuk turun kelas atau naik kelas pun aku tak mahu dan sanggup aku mohon untuk kekal.

Disebabkan aku pelajar biasa sahaja, juga kemahiran komunikasi aku agak kurang. Aku sebenarnya dikelilingi dengan pelajar bijak pandai. Ya, hampir semua kawan sekelas aku pandai dan semestinya aku agak down bila dengan mereka. Nampak betul kebijaksanaan diorang. Namun, bila kau rasa rendah diri. Masa inilah kau sedar yang kau perlu belajar sungguh-sungguh. Setiap masa itu berharga, bagi aku 1 minit aku terlepas, 10 minit mereka di hadapan aku. Jadi, seperti biasa mak ayah aku memang tidak memberikan aku sebarang tuisyen lagi. Hanya berbekalkan guru, buku dan internet. Tetapi aku tak ambil hati, sebab memang salah aku. Oleh itu aku tekad nak tunjuk dekat mak ayah aku yang aku juga mampu berjaya dan ada cita-cita. 

Masa inilah aku cuba untuk rapat dengan semua guru di sekolah ini. Sampai ada kawan aku kata yang aku ini anak cikgu. Perkara ini agak lawak bagi aku kerana ia sudah menjadi adab dan lumrah sebagai pelajar. Itulah tujuannya guru yang mengajar kita. Kalau tak faham suatu benda, jumpalah mereka. Walau tak jumpa pun, mesej mereka pun boleh. Tapi kena ingat, mereka ini adalah guru dan ada keberkatan dalam ilmu. Jangan kita lukakan hati mereka, lagi-lagi kita cakap buruk belakang mereka. Inilah kesilapan terbesar bagi pelajar. Namun aku syukur, Allah berikan kesedaran terhadap aku untuk menghormati guru dan lebih dekat dengan ilmu. Walaupun ada juga cikgu yang aku kurang minat, namun aku tetap hormati mereka dan mendoakan mereka.

Ketika ini kelebihan aku terhadap subjek sains komputer dapat dikesan oleh guru aku. Sememangnya subjek ini adalah subjek kegemaran aku. Masa ini juga aku mengambil peluang untuk mengasah bakat. Aku amat berterima kasih kepada cikgu aku kerana memberi aku peluang untuk menyertai beberapa pertandingan dan pencapaian dalam bidang ni. Sedikit menyedihkan kerana aku tidak seperti pelajar lain yang mempunyai banyak sijil. Aku pula semasa nak dekat SPM baru nak kumpul sijil. 

Aku juga pernah dicalonkan sebagai pengawas sekolah B. Tapi aku terpaksa tolak kerana ia sudah terlambat. Aku hanya ingin fokus kepada pembelajaran. Andai hidup aku bermula pada sekolah B mungkin boleh lah. Lagipun sekolah ini kekurangan pengawas yang berbangsa melayu.

Berkenaan dengan subjek Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan. Yep, awal-awal aku masuk memang jatuh teruk. Lagi-lagi bila pelajar macam aku, PT3 pun setakat mana. Setiap subjek sains aku pernah rasa gagal. Aku dah rancang sebenarnya selepas SPM ini nak masuk course apa kat universiti dan course itu adalah sains komputer. Syarat minimum pun semua subjek sains kena dapat "credit". Disebabkan matlamat inilah membuatkan aku sentiasa bangun tatkala aku jatuh rebah. Saat aku putus asa juga. Aku sudah tinggalkan ketagihan bermain permainan video, sememangnya itu memang bukan untuk aku. Aku fikir tiada guna kalau aku main permainan video tapi aku tak dapat nak peroleh manfaat buat diri ini atau masa hadapan. Aku tak pandang rendah pada mereka yang sungguh main permainan video, cuma dalam konteks aku. Kalau betul kau nak bermain permainan video dan kau ada matlamat untuk jadi e-sport gamer. Maka teruskan usaha kau. Kalau kau setakat main untuk suka-suka sehingga kau lupa matlamat sebenar kau, mohonlah kau sedar. Aku ada juga saudara yang bermain game, beliau berjaya je aku tengok. Jadi, aku tak larang untuk korang main game tetapi perancangan masa itu perlu ada.

Kembali kepada cerita, kekadang aku terfikir macam manalah aku boleh survive aliran sains ni. Mana datang semangat untuk aku terus berjuang walau aku gagal. Aku pasti semua itu daripada ibu bapa dan guru-guru yang memberi harapan kepada aku dan mendoakan aku. Semuanya atas pertolongan Allah! Semakin aku menimba ilmu, semakin tunduk aku mempelajarinya. Aku sedar, selama ini aku hanya mensia-siakan umur hidupku dengan perkara yang lalai dan sia-sia. Kawan-kawan aku sentiasa ada di hadapan, melebihi akal fikiran dan darjatku. Setelah aku memerah otak, dan bertungkus lumus usaha. Akhirnya aku dapat keputusannya. Walaupun tidak sehebat yang lain, namun ini hanyalah titik permulaan buat aku. Aku mendapat 4A4B1C. Subjek yang aku peroleh A adalah Fizik, Sains Komputer, Matematik dan Bahasa Melayu. Andai aku sedar betapa pentingnya ilmu, saat aku dilahirkan. Mungkin aku lebih hebat dari ini. Namun aku tahu inilah jalan yang Allah beri dan inilah sebaik-baik perancangan. Lihatlah sahabat, aku tidak sebijak kalian. Sentiasa berada di bahagian belakang. Namun aku memilih untuk mengejar bukan dikejar, oleh itu aku sentiasa berada di belakang kalian. Mengejar kalian untuk menjadi aku yang lebih baik.

Pandangan aku terhadap ilmu berubah, ilmu yang aku belajar selama ini seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan bukan sekadar menjadikannya cemerlang dalam ujian. Inilah hadiah paling berharga yang Allah beri pada aku. Mengubah aku melihat dunia dan ilmu.

Sekian daripada aku, seorang pelajar biasa yang sentiasa menjadi pelajar. Aku bukanlah manusia yang terbaik boleh dicari, malah tidak menempa nama. Terlalu biasa untuk tatapan manusia. Aku datang dan pergi.. menimba ilmu yang ada.. menuju pangkuan Tuhan.

-Sang Meruton-