Bagaimanakah khabar kebun aku di hati engkau? Sudahkah engkau semai biji benihnya? Apakah ia kini subur dan sedang mencambah? Atau engkau masih menyimpannya dalam simpuhan? Persoalan-persoalan ini hanya akan meremukkan rinduku, seperti mana penulisanku kali ini mencerminkan hasratku. Ia akan menguji kesetiaan kita terhadap hasil yang bakal menjelma. Pengharapan bahawa ia akan membuahkan hasil adalah sebuah perjudian yang telah banyak mengkhianati jiwa manusia dan sesetengahnya memenangkan hati. Jika engkau berkehendak hasil yang baik itu memerlukan kesabaran; yang dirinya tidak menuntut balasan lain, hanya keikhlasan menjadi pegangan.
Nasihat dan pesanan telah daku kirimkan dahulu, semoga cukuplah baja untuk engkau terus memelihara kebun itu. Bukanlah aku tidak berkehendak memilih taman bunga yang megah, namun bukan juga untuk membandingkan dengan yang lain. Sungguh, wangi dan cantik itu hanya akan menjadi sia-sia jika tiada manfaatnya. Sebaliknya, andai engkau memiliki kebun lalu dijaga dengan amanah, hasilnya akan membawa manfaat dan faedah pada orang sekeliling juga pada nasab keturunan engkaj juga; akhlak dan pekertinya juga akan diperturunkan.
0 Komen:
Catat Ulasan