Ahad, Februari 06, 2022

Boys, don't forget your Friday prayer ya.

Ungkapan yang menolak keraguaan
"Boys, don't forget your Friday prayer ya.", adalah ungkapan yang sentiasa bermain fikiran saya apabila menjelang hari Jumaat. Ungkapan yang sangat ringkas inilah yang telah menolak keraguan saya bahawa hari ini adalah hari Jumaat. Ungkapan ini jugalah yang keluar daripada mulut pensyarah Bahasa Inggeris saya setiap kali mengakhiri kelasnya pada hari Jumaat, semoga Allah merahmati beliau.

Bagi saya ia bukan sekadar ungkapan biasa, tetapi ia suatu ungkapan yang sangat phenomenon. Beliau seorang yang suka bercerita akan pelbagai perkara, bahkan menghasilkan buah fikiran yang sentiasa dipersetujui oleh saya juga. Dalam banyak hal, saya memang seorang yang sukar untuk menerima pendapat orang lain atau kata lain jenis yang kritis dalam suatu kenyataan. Bila perselisihan pendapat, sukar untuk saya terima tetapi saya menghormati pendapat seseorang itu. Namun beliau ini, dalam kebanyakkan syarahannya, banyak buah fikiran yang sependapat dengan saya. Saya suka mendengar beliau bersyarah namun saya seorang yang pendiam di dalam kelas beliau, maaf benar atas kekurangan ini. Tetapi percayalah, kebanyakkannya memang saya akan mendengar dan kadangkala saya bermonolog, "Betul juga apa miss cakap ni" kadang juga saya menganggukkan kepala tanda setuju dengan pendapat beliau.

Keraguan saya pada hari Jumaat adalah "Betul ke harini hari Jumaat?". Nampak seperti persoalan mudah, tetapi perkara ini juga mainan syaitan. Apabila hendak solat Jumaat, saya selalu bergerak 10-20 minit sebelum pukul 1 petang tepat. Pada waktu itu banyak kenderaan yang baru pulang dari bekerja (kebanyakkannya golongan guru sekolah), kadang terserempak juga dengan cikgu sekolah begitulah lumrahnya bertaman perumahan dengan guru, semoga umur mereka diberkati Allah. Ada masanya, langsung tiada kereta atau motor yang bergegas ke masjid/surau, mudahnya dengan melihat pakaian yang disarung. Kebanyakkannya baju melayu ataupun memakai kopiah. Apabila tiada orang, saya menjadi ragu-ragu. Risau apabila saya sampai surau/masjid rupanya ia bukan hari Jumaat malah bukan solat Jumaat tetapi solat Zohor. "Rajin sungguh hang pakai baju melayu solat Zohor, susah nak jumpa remaja macam ni zaman sekarang". Fuh. Namun, disebabkan ungkapan pensyarah saya itu, ia mengingatkan saya bahawa betullah harini hari Jummat.

Kita hanyalah kepingan hidup kecil pada orang lain
4 Februari 2022 adalah tarikh kelas terakhir beliau bersama kami. Beliau katakan mungkin beliau hanyalah kepingan kecil daripada hidup kami, mungkin suatu hari para pelajar akan melupai kursus ini, dan detik-detik kronologi sepanjang sesi kelas. Ini juga kenyataan yang saya setuju. Saya melihat orang sekeliling hanyalah kepingan kecil daripada hidup kita. Suatu masa, semua orang dalam hidup kita akan berlalu pergi dan yang tinggal hanyalah kenangan. Kita tak boleh memaksa semua orang untuk tetap bersama kita, kita harus terima bahawa hidup di dunia ini ada datang dan perginya. Bila kita berfikiran begini, maka kuranglah sendunya dan mudahlah kita untuk menerima orang baru dalam hidup kita.

Ingatlah, pada akhirnya diri kita sendirilah yang akan bersama kita. Dengan diri kita ini kita beramal di dunia ini untuk melakukan kebaikkan dan melaksanakan suruhan-Nya. Hakikatnya kita hanya ada diri sendiri, kerana itu jadilah orang yang membawa manfaat kepada orang lain selagi mereka ada di sisi kita. Semoga bila kita di akhirat nanti, mereka-mereka inilah yang akan menyelamatkan kita daripada azab Allah.

Maka, sudah tentu saya tidak melupakan nasihat-nasihat beliau meskipun beliau tidak merakam sesi kelas dalam talian kami sepanjang kursus ini (mungkin ada?). Walaupun saya juga hanyalah kepingan kecil dalam hidup beliau, sangat kecil kerana saya jaranglah untuk bercakap mahupun memberi pendapat saat beliau bertanyakan soalan. Bukanlah saya tidak mahu ataupun tidak meminati "two way conversation", mungkin saya agak bermasalah dalam kelas beliau. Bahkan tidak pula saya merasa sebersalah terhadap beliau. Bila hendak peringkat dewasa perkara inilah yang akan menjadi renungan. Saya kagum bagaimana beliau memaafkan waktu lalu, dan hidup pada hari ini. Saya sebagai pelajar bermasalah semestinya akan cuba membaiki diri ini dengan lebih baik. Insya-Allah.

- hh

Share:

0 Komen:

Catat Ulasan