Isnin, Oktober 24, 2022

Pembelajaran Berasaskan Inkuiri: Menjana soalan bagi meningkatkan kefahaman

———

Oleh hh (Isnin, Oktober 24, 2022)

Memahami suatu konsep dengan membangkitkan persoalan-persoalan boleh menjadi kaedah pembelajaran yang baik bagi sesetengah individu. Hal ini menjadi satu kaedah efisien yang boleh digunapakai untuk pembelajaran secara lebih tertumpu. Adapun sebilangan pelajar yang sanggup meredah keseluruhan topik silibus kursusnya hanya untuk menjawab beberapa topik yang bersifat elektif. Menjadi persoalan, apakah kaedah ini lebih baik? Bagaimana kita ingin menjawab soalan jika kita tiada pemahaman konsep/ilmu yang jitu?

Albert Einstein pernah mengungkapkan, "The important thing is not to stop questioning. Curiosity has its own reason for existing. One cannot help but be in awe when one contemplates the mysteries of eternity, of life, of the marvelous structure of reality. It is enough if one tries to comprehend only a little of this mystery every day."

Tuan Albert menyatakan berkenaan kepentingan untuk memunculkan persoalan dalam kehidupan. Inilah asas pembangunan ilmu yang telah dibina sejak zaman dahulu kala. Misalnya contoh umumnya, Kaedah Socratic telah diilhamkan oleh falsafah Socrates, di mana persoalan baru dilahirkan daripada suatu persoalan. Keintelektualan diperkembangkan melalui proses membangunkan persoalan-persoalan baru, yang kemudiannya akan dicari jawapannya. Ini membawa kepada permulaan Kaedah Saintifik, di mana prosedur utama adalah untuk menamakan permasalahan dalam bentuk soalan. Dengan mengemukakan soalan yang tepat, kita dapat mencari jawapan melalui kaedah saintifik bagi mencapai kefahaman yang lebih baik.

Tidak dinafikan bahawa sesetengah manusia mampu menghasilkan persoalan sendiri setelah memahami dapatan ilmu tertentu. Namun, terdapat juga mereka yang memerlukan persoalan atau renungan terlebih dahulu sebelum dapat menghasilkan persoalan-persoalan lain. Bagi saya, mereka yang mampu menghasilkan persoalan sendiri dengan idea baru ialah individu yang genius. Proses ini membuka jalan kepada kefahaman manusia melalui persoalan baru yang belum pernah dipikirkan atau dipersoalkan sebelumnya. Hal ini juga boleh datang daripada bentuk ilham. Ini adalah satu kelebihan yang perlu dihargai, tetapi jika tidak digunakan dengan baik, ia akan menjadi kerugian besar bukan sahaja kepada individu itu tetapi juga kepada orang sekelilingnya.

Dalam konteks pelajar universiti, kebanyakkan nota yang disediakan oleh pensyarah dalam bentuk slaid iaitu bersifat ringkasan daripada buku-buku rujukan. Untuk membentuk kefahaman yang jitu ia haruslah melalui sumber yang jitu. Setelah kefahaman dibina dengan teguh, lantas itu pula menjadi keperluan merujuk nota ringkas yang disediakan pensyarah sebagai mengisi apa yang kurang. Melalui kaedah ini, pelajar dapat membuahkan  persoalan-persoalan yang berbangkit setelah mendalaminya. Adapun keperluan membaca ini berupaya menambahkan ilmu pengetahuan namun ia tidaklah begitu memberi impak sebagai kaedah bagi mengembangkan ilmu.

Pengembangan ilmu melalui pembacaan sahaja bermula apabila kita mula membaca bacaan lain lalu mengaitkan antara satu dari pembacaan dengan yang lain. Boleh jadi perkaitan itu membuahkan pertembungan diantara dua pandangan atau wujud perspektif yang berbeza. Oleh hal demikian, ia menjadi keperluan pembaca untuk menilai dan menganalisis dengan kritis. Hal ini menjadi medium utama penyelidik dalam membuahkan persoalan daripada bahan-bahan yang telah dibaca. Kefahaman ilmu adalah penting supaya ia dapat dibuktikan melalui amalan secara praktikal.

Richard Feynman ialah seorang ahli fizik teori yang terkenal dan berjaya secara meluas, malah berjaya memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1965. Dia seorang lelaki yang cemerlang dan Feynman membangunkan kaedah peribadinya sendiri untuk mempelajari secara mendalam dan menghayati topik. Kini dikenali sebagai teknik Feynman, ia adalah satu proses yang mudah, mengandungi 4 langkah yang boleh diulang iaitu Belajar, Ajar, Mengisi lohong Kejahilan, dan Permudahkan.

Bagaimana pula kita ingin membentuk persoalan yang konkrit melalui teknik Feynman ini? Seperti langkah pertama adalah belajar. Bermakna individu tersebut berkeperluan untuk belajar dengan apa yang ia faham/sekadar yang ia faham. Bagaimana hendak tahu andai kita sudah faham? Langkah kedua, kita mengajar. Kita mengajar orang dengan kefahaman yang kita ada melalui pembelajaran kita di langkah satu. Di sini percambahan ilmu akan berlaku, dalam sesi mengajar orang yang cuba hendak memahami apa yang kita ingin sampaikan akan membuahkan pelbagai persoalan. Kita akan diuji dengan persoalan-persoalan dengan kefahaman yang kita ada. Antara objektif yang kita perlu cari dalam langkah ini adalah sebuah/beberapa persoalan yang kita tidak dapat lagi menjawab. Setelah ini, kita menuju pula kepada langkah ketiga, iaitu mengisi lohong kejahilan. Langkah ketiga melibatkan aktiviti mengulangkaji, tetapi dengan tumpuan yang mendalam pada jurang ini. Matlamat langkah ketiga ini adalah untuk mengisi pula lohong-lohong kejahilan terhadap kefahaman kita dan mengubahnya menjadi sebuah kefahaman kuat dan jitu. Setelah kita mempunyai kefahaman yang jitu, langkah terakhir adalah permudahkannya. Iaitu permudahkan pemahaman kompleks yang kita pelajari dengan penyampaian yang lebih mudah untuk disampaikan. Misalnya kepada orang awam yang tiada latar belakang berkenaan bidang yang kita belajar.

- hh (3:31 PM, 24/10/2022)
Kemaskini, 4/3/2023


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan