Khamis, Jun 15, 2023

Krisis kandungan pendek dalam media sosial

———

Oleh hh (Khamis, Jun 15, 2023)

Aku seorang yang mudah ketagih dalam melayari lautan media sosial. Kalau orang suruh aku berlayar di pesisiran pantai, aku boleh berada di tengah lautan hingga hilang pandangan pantai daratnya. Sesat dalam beberapa minit. Menimba sesuatu yang tiada dasarnya.

Sekalipun kau mengikuti artikel-artikel yang menarik di media sosial atau kita panggil sebagai kandungan pendek (short content). Semuanya bersifat "surface knowledge". Dari segi analogi lautan itu, kau hanya nampak permukaannya, dan pada permukaan itu sahaja kita mampu timba. Apa yang berada pada lautan dalam, tidak mampu kita capai melainkan kita belajar untuk tenggelam. Dan untuk belajar tenggelam adalah lebih sukar berbanding kau timba ilmu yang ada pada permukaannya.

Namun, apa kesannya bila kau terlalu bergantung kepada lapangan pengetahuan ringkas ini? Pertama, kau akan mudah untuk keliru sekiranya kau ingin mengaplikasikan apa yang kau faham. Disebabkan pemahaman kau terhadap suatu kandungan yang ringkas itu adalah terhad, kau susah untuk bercambah. Sekalipun kau cuba untuk bercambah, kau mudah untuk tersilap tafsir. Mudahnya, seperti kau baca nota pensyarah tanpa mengambil sumber rujukan daripada rujukan utama dia, iaitu buku-buku. Sukar untuk kau memahami suatu topik sebenarnya jika kau hanya bergantung pada kandungan yang diringkaskan. Begitu jugalah ketika kau melayari media sosial. Kebanyakkan penulis tidak berkehendak untuk menulis kandungan panjang-panjang. Kebanyakkannya adalah ringkasan daripada pembacaan dan penyelidikan mereka. Dan untuk menarik minat pembaca, dia guna pula dengan bahasa yang mudah difahami kita. Aku sebenarnya bukan ingin mengkritik kandungan pendek ini kerana ia suatu hal yang baik. Kau dapat pengetahuan am berkenaan sesuatu perkara yang kau tidak mahir pun. Ia tidak menjadi hal yang serius sekiranya kau pandai mengimbangi pengetahuan am yang terkandung dalam media sosial dan ilmu pengetahuan yang kau tuntut di pengajian. Aku beri lagi satu analogi. Bayangkan kau diberi satu lapangan tanah di halaman rumah. Kandungan ringkas itu umpama kau mengali tanah-tanah di halaman rumah kau itu pada merata tempat dan tidak begitu dalam. Dan ilmu pengetahuan yang kau tuntut di pengajian itu umpama kau mengali pada satu tempat yang kelak kau akan sampai satu titik pengalian yang orang lain tidak lagi capai. Sekiranya kau dapat mengimbangi antara dua hal ini, ia akan menjadi hal yang bermanfaat untuk diri kau dan ummat manusia.

Kedua, sukar sebenarnya untuk kita memanifestasikan apa yang kita faham melalui pengetahuan umum yang kita peroleh. Bagaimanakah kedudukan kita yang tidak mahir atau mendalami akan suatu bidang dalam memberi pendapat atau buah fikiran? Orang yang bukan ahlinya, sebaiknya tidak membuta tuli untuk berkongsi sesuatu yang ia sendiri belum pasti bahkan bukan kepakarannya. Diam itu adalah lebih baik, ataupun "La Adri" adalah juga satu jawapan. Kita seharusnya mengutamakan atau memfokuskan pada ilmu pengetahuan yang kita dalami sekarang (yang ada gurunya). Bukannya meletakkan media-sosial sebagai pusat rujukan utama dalam sangkaran pemikiran kita. Hal ini akan jelas kedudukannya jika kita menilai manfaatnya pada diri kita. Tidaklah saya menghalang akan seseorang itu berbicara akan perihal yang luar dari bidangnya, namun pada dasarnya perlulah ia memahami dan fahami apa yang benar ia cuba sampaikan serta kefahamannya ke atas apa yang ia hendak sandarkan.

Atas keperluan ini sebenarnya adalah teguran kepada diri saya juga. Meskipun ia sesuatu hal yang baik sebenarnya untuk melayari media sosial untuk membaca kandungan pendek yang bermanfaat, namun hendaklah tidak menjadikan keutaman bagi dirinya. Perlu ada had yang perlu ia jaga. Kita lupa bahawa tenaga dan masa juga adalah satu bayaran yang perlu kita laburkan ketika melakukan satu-satu hal dalam hidup maka gunakkanlah ia pada perkara yang benar-benar membawa keutamaan kepada diri kita sendiri.


- hh


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan