Isnin, Jun 12, 2023

Kematian akan menjemputmu suatu masa nanti

———

Oleh hh (Isnin, Jun 12, 2023)

Saya ada ikuti satu akaun bot yang mengingatkan kita kepada kematian di laman Twitter. Namanya diberi, "Daily Death Reminder". Setiap masa ia masuk notifikasi saya dengan menulis,

"You will die someday."

Ya, akan saya mati suatu masa nanti. Kenyataan yang agak memuramkan, menarik seluruh keinginan yang kita bina di dunia ini terus ke dalam lohong kegelapan. Banyak hal dunia hilang nikmatnya bila kita mengingati mati. Meskipun ada yang masih muda usia, tiadalah jaminan bahawa ia akan hidup selamanya. Setiap binaan yang dibangunkan, pasti ada masa runtuhnya juga. Setiap ikatan yang dibentuk, pasti akan terlerai juga. Demikianlah, hakikat hukum alam ini. Kita menerima hakikat bahawa penghidupan seseorang makhluk itu akhirnya (sememangnya) akan temui kematiannya. Bahawa semuanya tidak akan kekal kecuali Allah SWT yang bersifat baqa' (kekal). Wujudnya Allah kekal untuk selama-lamanya, tidak ada batasan waktu ataupun masa. Apa yang kita miliki di penghidupan dunia ini sememangnya akan pergi. Setiap insan itu akan binasa dan hancur, dan kesemuanya akan kembali kepada Allah SWT, Yang Maha Kekal.

Jadi di mana letaknya kesedihan setelah pemergian (kehilangan)?

Kesedihan kita ke atas sesuatu terikat dengan apa yang menjalinkan kita dengan suatu perkara tersebut. Jika pautannya adalah bait-bait memorabilia, kita terikat untuk rasa tersebut malar hidup. Sememamgnya kita inginkannya lagi. Namun, sayang. Apa yang kita ada, rasa dan pegang. Semuanya akan menemui titik perpisahan. Apa yang lebih menyakitkan daripada perpisahan adalah sesuatu yang telah kita lupakan. Di mana hilangnya sebuah penghargaan kita bersama? Demikian, melalui ini. Wujud satu persoalan baru, untuk apa kita pautkan jika akhirnya kita terpaksa lepaskan dengan kesakitan?

Adapun sahabat saya yang takut akan cinta, bukanlah kerana ia tidak menyayangi akan seseorang manusia yang berbudi itu. Namun ia takut untuk melepaskan, memisahkan setelah ia tiada. Inilah hakikat kepahitan kehidupan yang perlu kita tempuh. Suatu yang terjalin, kita juga harus menerima akan perpisahannya. Adapun yang benar keras hatinya, gagah. Hilang nyawa sekalipun tidak membawa kesyahduan pada jiwanya. Apa telah hilang nilai kemanusiaan dalam hatinya atau ia telah menerima hakikat kehidupan ini? Percayalah dengan kata-kataku ini, sekeras manapun hati kita, kita tidak boleh menipu diri sendiri dan pasti ada dalam kecil sudut hatinya itu perasaan sedih, syahdu dalam kerinduan untuk ia kembali kepada momen-momen yang indah ia pautkan.

Bagaimana pula kedudukan saya dalam lembaran ini? Maaf benar saya katakan. Betapa sedikitnya pautan yang kita bina. Namun yang sedikit itulah yang paling berharga dan hargai. Terpulanglah jika pembaca merasakan perkara yang sama atau tidak. Lantas itu pembaca perlu ada rasa sakitnya (pahit) perpisahan. Sementelahan itu pula, kelupaan.  Jika hanya pembaca menerima hakikat sebuah perpisahan ini, saya berdoa agar kuranglah rasa duka dalam hati pembaca.

Sejak kebelakangan ini, kesihatan saya kurang baik. Jumlah pil-pil dan ubat saya terima sudah cukup untuk saya membuka kedai farmasi sendiri. Tetapi perkara tersebut illegal. Namun ada baiknya juga, sebab ubat-ubat ini saya terima secara percuma (baca: yuran) daripada pusat sejahtera. Disebalik daripada ubat yang saya terima, perpisahan juga ada ubatnya. Pembaca rasa mengapa saya habiskan masa dengan menulis blog yang belum tentu orang baca? Sebab saya menerima bahawa saya akan pergi, dan penulisan ini akan kekal abadi (selagi mana blogger ini hidup).

Dan semoga bila saya tiada, jadikanlah penulisan ini sebagai pengubat rindu. Sekalipun penulisan ini mengarut, tetapi ia tetap menjadi penulisan tulen dari seorang manusia yang menerima hakikat sebuah pemergiaan.

- hh



(Updated 9:39 PM; 29/8/2023)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan