Pelaburan yang paling berbaloi bagi diri kita adalah ketika kita melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mungkin kita sudah pernah mendengar istilah sukarelawan. Mereka ialah orang yang dengan rela hati, ikhlas, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dalam melakukan apa-apa tugas/aktiviti. Kalau kau tak rela, kau akan dipanggil sukawan. Tetapi jarang sekali ada orang yang benar-benar melakukan suatu perkara itu dengan percuma hakikatnya. Masa dan tenaga yang digunakan juga merupakan bayaran yang sangat berharga, meskipun sering kali kita tidak sedar akan perkara ini. Namun, aku tidak ingin membahas dalam konteks tersebut. Yang ingin aku suluhkan adalah peranan sukarelawan dalam pelaburan diri.
Pernahkah terlintas dalam fikiran kita mengapa sebahagian orang menyukai kerja sukarelawan? Ada banyak hal lain yang mampu mereka laburkan dalam kehidupan mereka, tetapi mengapa mereka memilih untuk bekerja tanpa sebarang balasan? Apa signifikansi sukarelawan dalam kehidupan kita?
Persoalan ini pernah dibangkitkan kepada aku semasa aku terlibat dengan kerja sukarelawan. Melalui pengamatan aku sendiri, kerja sukarelawan ini memberikan peluang kepada kita untuk mengembangkan pelbagai kemahiran dan memperoleh pengalaman baru. Sebagai contoh, sukarelawan dalam organisasi kesihatan boleh memperoleh pengetahuan perubatan dan kemahiran penjagaan yang berguna untuk kerjaya masa depan (jika kau nak jadi ahli farmasi). Namun sukarelawan juga dapat meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan kerjasama dalam pasukan. Ini adalah perkara yang umum bila melakukan kesukarelawan, sebab kau perlu bersosial dengan orang lain.
Di sini kau perlu pertimbangkan bagaimana hendak melaburkan masa dan tenaga kau dalam sukarelawan agar semua itu menguntungkan masa depan kau juga. Sukarelawan tidak semestinya membantu masyarakat yang dalam kesusahan. Merujuk kepada definisi asal sahaja, itulah kita panggil sebagai sukarelawan. Ramai diantara kita sebenarnya tidak begitu nampak apa keperluannya kerja sukarelawan ini. Sekadar suka-suka sahajakah? Kalau sekadar suka-suka sahaja, pergilah cari hiburan. Namun dalam satu aspeknya adalah menghargai kerja sukarelawan itu sendiri.
Kita perlu pertimbangkan juga bagaimana sukarelawan ini dapat mengisi lohong kekurangan yang sepatutnya boleh kita isi dalam diri kita. Ada masa, kemahiran dan pengalaman yang kita peroleh dalam menjalankan aktiviti sukarelawan akan dapat membantu kita dalam menjalani hidup yang lebih berkesan. Misalnya, andai kita menyertai aktiviti sukarelawan banjir kita tahu apa yang perlu kita lakukan. Tidak hanya semasa, namun sebelum dan selepas. Perkara-perkara inilah yang memberi manfaat besar terhadap diri kita.
Bahkan anda boleh nampak perbezaannya mereka yang sudah banyak kerja sukarelawan dengan mereka yang hidup di atas kepentingan sesuatu. Mereka yang melapangkan akan lebih dipermudahkan satu masa nanti. Inilah aku kira perlaburan yang penting kita jana dalam kehidupan kita. Orang tidak perlu tahu siapa diri kita, apa kita buat. Hanya dengan memberi bantuan, kepada Allah sahajalah kita berharap balasan ke atas apa yang telah kita lakukan.
- hh
0 Komen:
Catat Ulasan