Sabtu, Februari 10, 2024

Kritikan terhadap sistem merit pelajar USM - Kepincangan objektif pembangunan pelajar

———

Oleh hh (Sabtu, Februari 10, 2024)

Sistem meritokrasi atau lebih dikenali sebagai sistem penilaian suatu individu berdasarkan prestasi, kebolehan dan usaha yang mereka tunjukkan. Bagaimanakah kita melihat suatu sistem ini dapat memberi pembangunan yang baik bagi seorang pelajar? Misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM), pelajar menyertai pelbagai program-program di universiti tidak lain adalah tujuannya untuk mendapatkan mata merit. Cara paling mudah untuk memperolehi mata merit adalah dengan menyertai program "talk" yang dianjurkan secara percuma oleh persatuan pelajar di universiti. Namun, ada juga persatuan pelajar yang melakukan program secara berbayar, sekurang-kurangnya RM1. Timbul pula satu naratif, jika hendak mendapatkan mata merit, perlu ia berduit; Hendak membeli merit, perlu ada duit. Persoalan penting yang perlu dibangkitkan dalam hal ini adalah seberapa berkesan sistem ini terhadap pembangunan pelajar?

Saya melihat sendiri sahabat saya, ia menyertai sekurang-kurangnya lima program dalam satu malam secara serentak. Kesemuanya program "talk" dijalankan dalam talian. Adakah sahabat saya fokus terhadap kelima-lima program? Tidak. Adakah objektif dan atribut HEBAT yang ditulis dalam kertas kerja program tercapai? Tepuk dada, tanya penganjur sendiri.

Sebahagian mahasiswa ada matlamat utama sendiri dalam menyertai suatu program iaitu demi mendapatkan merit semata-mata. Mereka ini seringkali digelar sebagai "Pemburu MyCSD (MyCSD Hunter)". Persetankan objektif lain yang ada. Anda boleh menafikan apa yang saya tuliskan ini, namun hati tidak menipu. Jika mata merit tidak dijadikan matlamat, maka tidak ada keperluan untuk anda mengisi borang penyertaan atau borang mata myCSD. Namun untuk apa mahasiswa ini berebut untuk mendapatkan merit ini? Dalam kes universiti ini, tanya mana-mana pelajar sekalipun. Mereka ingin mendapatkan merit demi memperolehi penempatan desasiswa agar mereka dapat tinggal di dalam universiti. Sepatutnya ini perkara yang sangat biasa di mana-mana universiti. Pelajar merebut mata merit. Namun, dalam kebiasaan inilah lambat laun akan berlaku kepincangan dalam mencapai objektif asalan sistem merit ini diperkenalkan kepada pelajar universiti.

Pelajar boleh memilih untuk memiliki rumah sewa diluar USM, namun ia lebih memberi kesan kepada pelajar-pelajar ini. Hidup di dalam sebuah pulau, harga sebuah rumah sewa yang agak mahal serta terhad. Bahkan ada juga yang jauh daripada kawasan universiti. Mahasiswa perlu berebut untuk mendapatkan rumah sewa daripada luar kerana penempatan desasiswa yang terhad. Menjadi buah persoalan saya, mengapa kuota yang diberikan oleh universiti ini melebihi daripada jumlah yang mampu ditanggungi oleh desasiswa-desasiswa ini? Baik, jika ini tidak sepatutnya menjadi sebuah isu. Bagaimana dengan mahasiswa yang menyertai sesebuah program tanpa memaknai hakikat objektif program itu dibuat?

Adakah silapnya pada sistem atau sikap manusia?

Sekiranya masalah penempatan pelajar ini dapat diselesaikan (misalnya, kesemua pelajar mendapat desa), maka ia akan menjadi butang set semula bagi mahasiswa ini. Kerana mereka akan mulai mempersoalkan untuk apa mereka mengejar merit ini lagi? Desa sudah dapat, apa lagi yang hendak dikejar? Bahkan pelajar sendiri tidak memahami falsafah penting dalam pembangunan merit pelajar ini kerana telah jauh terpincang daripada tujuan utama ia dibangunkan. Sebahagian pelajar mungkin sedar, namun rata-rata tidak. Ini yang saya lihat seberapa objektif yang gagal dicapai serta kepincangan matlamat dalam sistem yang ingin dibawa oleh universiti ini. Ini jugalah apa yang dihadapi oleh pendidikan negara kita sekarang, hilang UPSR dan PT3 telah memberi kesan yang besar pada motivasi pelajar-pelajar. Silapnya bukan pada pemansuhannya tetapi pada pola fikir masyarakat kita sendiri. Bahkan ada sahaja negara luar yang tidak mempunyai peperiksaan seawal umur 13 tahun, namun masih mampu melahirkan masyarakat yang membangun serta intelektual. Oleh demikian, saya melihat bahawa menyelesaikan masalah penempatan mahasiswa tidak akan membetulkan nilai falsafah yang telah hilang dalam objektif pembangunan mahasiswa secara menyeluruh dan terus. Sebaliknya ia memerlukan pelan yang komprehensif. Ia masih boleh dibetulkan dan diluruskan semula dengan seberapa langkah yang betul.

Apa yang sudah diperkenalkan oleh USM sebenarnya sudah cukup baik namun masih terdapat beberapa kelompongan yang menyahnilaikan objektif pembangunan pelajar ini sendiri. Sebuah persatuan mampu melakukan beberapa puluh program bodoh (kurang nilai intelek) dengan penulisan yang indah atas kertas kerja demi menjadi ladang merit pelajar mahasiswa.

Sungguh universiti ini telah berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya di atas kertas dengan atribut "HEBAT"nya serta nombor-nombor kuantitatif merit yang mereka peroleh.

- hh (10:44 PM, 10/2/2024)

1 ulasan:

  1. Saya ingin berbagi dengan Anda semua di sini bahwa ada peluang besar bagi individu atau perusahaan untuk mengakses pinjaman dari Tuan Pedro, petugas bagian pinjaman yang memberi saya pinjaman sebesar $800,000 untuk membiayai proyek bisnis saya dengan tingkat pengembalian tahunan 2%, Tuan Pedro adalah pria baik hati yang bekerja dengan investor dan mereka juga menawarkan program pinjaman investasi untuk membiayai bisnis bonafide di seluruh dunia.
    Hubungi Tuan Pedro
    Di Email:pedroloanss@gmail.com
    Nomor Whatsappwhatsapp: +393510140339.

    BalasPadam

Pengikut langganan