Isnin, Mei 13, 2024

Apabila engkau kembali

———

Oleh hh (Isnin, Mei 13, 2024)

Ia menanti setiap ceruk waktu, menjenguk hadir, mencerap keadaan dan berlalu pergi. Merindui akan basi-basan penulisanku yang dilemparkan pergi sudah sekian lama. Hampir di semua keadaan itu, aku temui bahawa tempat aku berdiri adalah tempat aku menulis kembali sesuatu yang dapat aku fikirkan dengan tenang dan jauh daripada persoalan lain.

Bagaimana agaknya hidup dalam keadaan yang tidak terlalu pantas bergerak? Tidak bingit berbunyi, hanya berlandaskan relatif sunnatullah alam. Gelombang bunyi tatkala burung berkicauan, kelajuan daun-daun berguguran jatuh, interferens di sisir pantai dan itu yang dapat aku fikirkan. Seluruhnya, kerawakan berlaku dengan terancang. Terancang.

Alam, sentiasa menyedarkan kita kembali kepada siapa diri kita sebenarnya. Membawa aku kembali ke mana aku mulakan semua ini. Apabila diri ini sudah terlalu berkelana jauh, maka jatuh serpihan identiti diri itu sehingga hampir aku lupakan tempurungku sendiri.

Ibu abah yang membesarkan kita, atau siapa sahaja yang berjaya membesarkan kita dengan makanan dan tempat tinggal itu. Satu titik engkau berjaya membuah fikir sendiri, bawa diri. Tidak lagi berdamping pada sesiapa yang membesarkan engkau itu, jangan dilupakan di mana engkau mula. Dunia ini terlalu luas untuk diteroka, namun jiwa kita lebih besar dari itu. Jangan engkau himpitkan segalanya dalam jiwa, ada isi yang lebih berharga dari engkau fikirkan.

Yang menuntut jalan kembali.
- hh (13/5/2024)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan