Menormalisasikan budaya negatif kalangan masyarakat
Apabila kita memasuki suatu tempat yang dipenuhi budaya negatif, pada mulanya kita merasakan ia suatu yang 'asing' bagi kita, kita berasa jijik dan malu akan perbuatan liar mereka, lama kelamaan kita merasakan ia suatu yang 'normal' kerana ia menjadi kebiasaan di tempat itu. Hanya kerana ia tidak menganggu kita atau membawa kemudaratan kepada kita, kita tidak boleh menganggap bahawa ia sesuatu yang boleh diterima.
Percayalah, jika kita telah membiarkannya tanpa sebarang perasaan sebenarnya kita telah redha dengan dosa tersebut. Syaitan itu sungguh licik, perkara kemungkaran yang sepatutnya dicegah, kita biarkan ia menjalar ke ruang hati kita. Lalu ia membutakan hati kita. Normalisasi dosa menyebabkan kita tidak lagi bertindak. Maka fikirkanlah apa yang akan berlaku jika kita ada anak kecil, yang jahil pemikirannya. Bagaimana mungkin kita boleh jamin bahawa ia tidak akan dipengaruhi oleh budaya negatif itu? Jika tiada siapa yang mencegahnya?
Oleh sebab itu, kesedaran adalah kunci utama untuk berubah. Bila kita sedar bahawa selama ini kita telah melakukan kemungkaran dan redha akan kemungkaran tersebut. Keluarlah dari kitaran dan suasana itu. Kalau kita berubah sekalipun kerana hijrah, jika kita masih tidak lagi sedar akan normalisasi dosa yang telah membutakan kita. Sebenarnya ia masih berpaut pada diri kita. Bila-bila masa sahaja ia dapat meruntuhkan kita semula.
Gurauan yang membawa normalisasi dosa
Normalisasi dosa boleh bermula hanya dengan sekadar gurauan. Pada mulanya kita gurau ringan, apabila gurauan ringan itu mula diselitkan dengan perkara maksiat ia menjadi gurauan yang melampaui batas. Jika perkara ini tidak dibendung atau disedari, ia akan membawa kepada normalisasi dosa.
Sebagai contoh yang pernah viral sebelum ini berkenaan suatu group di facebook iaitu "Riak apa hari ini". Dalam group tersebut hampir setiap hari akan post tentang barang kemas yang mereka ada, barang-barang yang mereka miliki. Kebanyakkan mereka menganggap bahawa ia hanyalah suatu gurauan biasa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Hantaran-hantaran yang mendedahkan aurat dan perbualan antara lelaki dengan wanita yang tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang sama sekali. Islam mengajarkan umatnya untuk tidak terlibat dalam perlakuan dosa apatah lagi menzahirkannya.
Netflix penstriman hiburan yang menormalisasi agenda LGBT
Netflix adalah alat yang kuat untuk mengawal dan mempengaruhi. Mereka adalah salah satu syarikat yang menjalankan dunia sekarang. Jika agenda ini terus berlaku di Malaysia, maka tidak mustahil bahawa masyarakat kita mula menormalisasikan budaya LGBT ini.
Mencarut, budaya normalisasi yang tak terhapus
Memang sukar untuk kita membuang secara menyeluruh budaya mencarut ini. Kerana budaya ini telah pun berlaku sejak zaman dahulu lagi. Seseorang tidak akan menggunakan bahasa yang kurang sopan atau tidak beradab jika diajar sejak kecil lagi. Namun, apabila ia terlalu bebas dalam bersosial. Dia menyangkakan bahawa mencarut adalah sesuatu yang biasa, dan apabila budaya ini terlalu normalisasi dia juga akan turut berpaut. Mencarut sudah menjadi trend komunikasi masa kini. Pasti ia suatu kejutan budaya bagi guru praktikal yang mengajar kanak-kanak di sekolah. Apabila mereka berkomunikasi semasa rakan sebaya mereka pasti akan ada perkataan, seperti bodoh, sial, babi, mampus, anjing, dan sebagainya tanpa menghiraukan orang sekelilingnya termasuk guru yang berada di dalam kelas mahupun luar waktu kelas.
Dari mana punca ini berlaku? Sebelum kau menyalahkan rakan mereka. Tanyalah keluarga mereka dahulu. Terlalu banyak keluarga toksik di Malaysia ini, ibu bapa menggunakan perkataan kotor dan carutan tanpa segan silu terhadap anak mereka mahupun orang lain. Kanak-kanak itu sifatnya meniru. Ia meniru perbuatan kita, percakapan kita dan aturcara kita. Kitalah sebenarnya orang yang bertanggungjawab atas budaya mencarut ini.
Budaya ini sudah dinormalisasikan dalam masyarakat kita. Di mana-mana sahaja kita dapat menjumpai makian dan carutan ini. Misalnya di media sosial.
Aku bangga ada ibu bapa zaman kini mula mengambil serius akan budaya ini. Tetapi percayalah, kalau mereka sekadar tidak menggunakan perkataan kurang sopan terhadap anak mereka sendiri tidak bermakna mereka tidak akan mencarut suatu masa nanti. Maka, adalah baiknya jika ibu bapa sendirilah yang mendidik anak mereka dalam pembentukan akhlak yang mulia agar mereka dapat membezakan baik buruk dalam sebuah komunikasi tersebut. Ubahlah diri kita sebelum mengubah orang lain.
- hh
Ya benar sekali, ia dah menjadi seperti suatu perkara yang normal,
BalasPadamMoga mereka yang membaca dapat menyedari akan perkara ini,
Wallahualam