Rabu, Ogos 17, 2022

Harga sebuah Hijrah


Assalamualaikum wbt, buat pembaca. Jarang benar saya berkongsikan perihal kerohanian di dalam blog ini. Bukanlah niatnya hendak mengabaikan apa yang perlu tetapi jahilnya saya dalam menyampaikan ilmu agamanya. Maka saya fikir hal kerohanian ini saya serahkan pada yang haknya. Mereka yang benar mendalami ilmu agama dengan landasan disiplinnya. Saya pula tidak lainnya seorang penuntut yang lemah akalnya didorong oleh guru-guru yang hebat-hebat benar. Bermulanya bulan Muharram 1444 hijr ini, telahpun saya bernekad untuk berhijrah (menjadi seorang hamba Allah SWT yang mengejar redha-Nya). Moga Allah benar menerima hijrah saya kerana kadangkala saya takut andai penghijrahan saya ini tidak lain adalah tipu daya saya sendiri dan takut andai hati saya ini berpaut pada tidak sepatutnya, yakni selain Allah SWT. Kadangkala demikianlah hati, perlu sentiasa dimuhasabahkan agar sentiasalah ia kekal dalam landasannya (yang benar).

Oleh itu, saya siarkan entri ini buat pembaca dan lebihnya kepada muhasabah diri saya sendiri yang baru sahaja ingin berhijrah. Berdasarkan pengalaman saya, suasana hijrah sungguhlah berbeza dengan suasana biasa yang saya jalani sebelum ini. Jika sebelum ini saya benar merasa seakan bebas dalam melakukan apa sahaja, demikianlah nikmat kepalsuan yang ralit menarik saya ke lubang kemaksiatan semula. Namun, terbitnya hijrah sebuah perjalanan demi mencapai redha Allah dalam hidup. Sukar dan sesak benar penghidupan selepas itu. Cabaran dan dugaan semakin kuat mencengkam diri. Semakin lama kita mendakap hijrah dalam diri, semakin kuatlah cabaran yang akan kita hadapi. Lebih mudah jugalah kita terjatuh dalam lubang kehinaan semula. Demikianlah sebenar-benar kerugiaan buat diri kita. Hal ini saya membangkitkan tajuk "Harga sebuah Hijrah" agar kita mengenal nilai sebuah hijrah. Moga selepas ini kita tidaklah memperdagangkannya lagi penghijrahan ini untuk kali yang terakhir. Sungguh saya percaya bahawa penghijrahan pada awalnya adalah mudah, namun hari demi hari kita akan mula merasai peritnya dalam menjaganya apatah lagi apabila kita perlu meredahi dunia yang penuh pancaroba akhir zaman ini.

Sebenarnya bukanlah agama Islam yang membuatkan hidup kita sungguh sesak, tetapi atas kerana kerapnya hidup kita melampaui batas syariatnya. Oleh itu, kesesakan diri adalah bekas daripada lapangnya dada melakukan maksiat pada waktu-waktu lalu. Demikianlah, cabaran hijrah yang perlu kita hadapi oleh setiap hamba Allah yang lemah seperti saya. Namun di sebalik peritnya ini, sungguh Allah membuka mata saya bahawa banyaknya hal-hal yang mungkar saya lakukan sebelum ini (dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar). Bahkan perbuatan keruntuhan akhlak dalam hidup yang seringkali kita normalisasikan menjadikan kita rasa perkara tersebut adalah suatu hal yang tiada larangannya walhal yang sebenar ada sedikit sebanyaknya melepasi sempadan syiar Islam.

Penghijrahan ini umpama permata. Jika digilap dan dijaga, semakin tinggi nilai harganya di sisi Allah SWT. Maka janganlah digadaikan penghijrahan yang telah kita laksanakan pada sekecil-kecil kehinaan yakni kemaksiatan. Jika tidak, permata kita pasti akan kembali kotor dan tercalar akibatnya yang kecil itu. Maka takutlah andai selepas runtuhnya penghijaran itu, Allah tidak lagi membuka hati kita untuk bertaubat semula. Nauzubillahuminzalik. Memang benar, ada turun dan naiknya keimanan ini. Bahkan penghijrahan saya bukan yang pertama, sebelum ini saya mengalami penghijarah namun tersungkur jatuh di jerangkap kemungkaran. Sungguhlah setiap manusia itu benar Allah SWT beri hidayah untuk kembali kepada-Nya, namun kadangkala tidak nampak (baca: mengabaikan) dek nikmat bermaksiat yang sering melitup mata kita.

Saya memikirkan apalah caranya agar saya kekal istiqamah dalam jalan hijrah ini. Satu hal sebabnya adalah saya penat jatuh bangunnya saya; takut benar andai penghijarahan ini menjadi sia-sia dan tiada ikhlasnya di hati ini. Oleh itu Allah tunjukkan saya jalan, iaitu berdampinglah dengan orang yang baik akhlaknya, agamanya serta kearifannya dalam pengetahuan agama. Namun, anda tidak akan menemui orang-orang ini selagi anda tidak berganjak dari lubang kemungkaran. Maka pergilah ke tempat-tempat atau kumpulan-kumpulan yang baik di mana anda boleh temui orang ini.

Dalam satu hal situasi, kita kadang merasa sukar benar untuk melakukan solat, maka Allah temukan penyelesaian iaitu laksanakanlah solat berjemaah di masjid. Berdampingnya dengan mereka (ahli jemaah masjid), maka kuranglah lelah untuk melakukan solat bersendirian setelah itu bahkan anda akan lebih memihak untuk solat berjemaah berbanding bersendirian. Itulah yang saya rasakan mengapa Rasulullah SAW menyeru kita untuk solat berjemaah di masjid berbanding bersendirian di ruang bilik. Satu hal lain, apabila nafsu mendorong kita untuk melakukan hal-hal kemaksiatan, kadangkala perlunya kita memesan diri agar  tidak menggadaikan hijrah ini untuk sekecil-kecil perbuatan hina tersebut. Setelah begitu sukar saya menjaganya apakah mudah untuk saya menjualnya? Maka tidak berbaloilah andai saya menukarkan batu permata dengan kayu. Demikianlah perlu dipelihara hijrahnya agar iman kita tidaklah rebah andaipun hampir tersungkur.

Mungkin itu sahaja sedikit perkongsiaan saya dalam menjalani hijrah ini Namun, saya benar berharap agar Allah SWT menerima hijrah dan taubat saya, begitu juga pembaca-pembaca dan tidak membaca di luar sana yang mungkin samalah tujuan kita dalam mencapai redha-Nya. Semoga pembaca mendapat manfaatnya dalam entri ini dan semoga membantu pembaca untuk kekal istiqamah dalam jalan Allah SWT. Tiada lain lah saya ingin hidup di dunia ini melainkan mencapai redha Allah SWT. Semoga Allah SWT mengampuni perbuatan-perbuatan kita pada masa lalu. Assalamualaikum wbt.

- hh (Sepang, Selangor)

Sumber Rujukan:
1. Bangkitlah remaja Islam

Share:

0 Komen:

Catat Ulasan