Rabu, Ogos 17, 2022

Salam Perkenalan Fizik Moden

———

Oleh hh (Rabu, Ogos 17, 2022)


Fizik moden dikaji sejak zaman Max Planck (1858-1947), Ernest Rutherford (1871-1937), Albert Einstein (1879-1955), N. Bohr (1885-1962), E. Schrodinger (1887-1961), W. Heisenberg (1901-1976), E. Fermi (1901-1954) dan lain-lain. Fizik moden juga menjadi asas kajian dalam Mekanik Statistik, Mekanik Kuantum, Elektrodinamik Kuantum, dan Mekanik Kuantum Statistik.

Perkataan moden dalam fizik moden dan klasik dalam fizik klasik sering benar dikelirukan. Moden dalam hal ini bukan bererti sesuatu yang baru. Begitu juga klasik, bukan membawa erti sesuatu yang lama, kuno dan tidak boleh digunakan lagi. Fizik moden menggambarkan kewujudan konsep fizik yang begitu cepat pada abad ke-20. Konsep-konsep ini perlu dikemukakan untuk menjelaskan beberapa fenomena fizik yang berkaitan dengan atau yang tidak dapat diselesaikan oleh fizik klasik.

Pandangan Newton tentang keadaan ruang yang mutlak tidak sesuai lagi dengan adanya teori Einstein tentang kerelatifan. Begitu juga sifat keselanjaran dan diskrit, sifat kedualan zarah malah hukum keabadian tenaga yang merupakan konsep yang unggul dalam mekanik perlu diubahsuai dalam fizik moden.

Fizik moden membuka mata ahli-ahli sains pada abad ke-20 untuk meninjau kembali teori dan hipotesis yang telah digarap begitu lama sebelumnya. Fizik klasik berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh manusia hari-hari. Cabang ilmu seperti mekanik, elektrik, magnet, haba, bunyi, dan optik dapat dihubungkait dengan pembinaan bangunan, jambatan, kenderaan, tenaga elektrik, dll. Fizik moden meliputi kajian mekanik kerelatifan dan teori kuantum.

Pada masa kini, ahli fizik zarah sedang berusaha untuk menyelidik proses subatom atau mencari zarah yang paling asas. Ahli astrofizik juga menyelidik gejala fizik di ruang cakerawala. Semua ini memungkinkan wujudnya teori baru di alam ini. Inilah yang membuat kajian fizik begitu menarik.

Kajian teori kerelatifan dan mekanik kuantum masih bersandar pada mekanik klasik. Teori mekanik dan elektromagnet sekarang ini dianggap sebagai satu teori penghampiran. Kedua-dua bidang ini yang menerangkan beberapa gejala fizik di dunia "saiz manusia" dianggap sebagai teori penghampiran yang terkandung dalam teori yang lebih umum yakni teori kuantum dan kerelatifan.

Teori klasik sesuai digunakan pada halaju rendah walaupun teori ini bersifat penghampiran sahaja. Teori kerelatifan pula menyatukan ruang dan masa, jirim dan tenaga, elektrik dan magnet yang mana merupakan pautan yang penting bagi pemahaman kita mengenali alam ini. Teori klasik dan kuantum mahupun kerelatifan ini tidak benar-benar mutlak. Siapa tahu andai satu masa nanti mungkin muncul yang lebih umum lagi yang mencakupi fizik klasik dan fizik moden?

Jika anda melihat kebanyakan "persamaan" dalam fizik moden, anda akan mendapati pemalar Planck, \(h\). Ini adalah tanda dagangan "fizik moden." Kegagalan fizik klasik untuk menerangkan sinaran jasad hitam, kesan fotoelektrik, dan atom hidrogen akhirnya meruntuhkan asas fizik klasik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan