Mubarak ialah ayah kepada Abdullah bin Mubarak, ulama yang terkenal. Beliau pernah bekerja di sebuah kebun pokok delima milik seorang saudagar dari negeri Hamdzan. Pada suatu hari majikannya datang kepadanya dan berkata: "Wahai Mubarak, aku ingin rasa buah delima yang manis." Mubarak lantas bergegas menghampiri sebatang pohon delima dan memetik buahnya. Majikannya pun membelah dan memakan buah delima itu, tetapi memarahinya kerana rasa buah tersebut sangat masam. "Aku meminta yang manis, tetapi kamu ambil yang masam. Ambilkan aku yang manis!" bentaknya.
Mubarak pun segera berlari memetik buah delima dari pohon yang lain. Setelah dimakan ternyata rasanya sama, masam juga. Majikannya semakin marah. Dengan rasa takut, beliau lantas memetik lagi buah delima untuk kali ketiga.
Setelah itu majikannya bertanya: "Apakah engkau tidak tahu membezakan mana yang manis dan mana yang masam?"
Mubarak menjawab: "Tidak."
"Mengapa?" majikannya bertanya hairan.
"Aku tidak pernah memakan buah dari kebun ini sehingga aku benar-benar pasti ia halal untukku," jawabnya.
"Mengapa begitu?" tanya majikannya lagi.
Jawab Mubarak: "Kerana aku hanya disuruh menjaganya, bukan disuruh memakannya."
Pemilik kebun itu terkesima mendengar jawapan Mubarak itu. Dia hanya seorang penjaga kebun tetapi sangat jujur dan amanah. Diri Mubarak begitu mulia di matanya, sehingga anak perempuannya yang sering dilamar orang ditawarkan untuk berkahwin dengan Mubarak.
Majikannya berkata: "Wahai Mubarak, pada pandanganmu siapakah yang layak untuk memperisterikan puteriku ini?"
Mubarak menjawab: "Orang jahiliah dahulu menikahkan puteri-puteri mereka mengikut keturunan. Orang Yahudi pula berkahwin kerana harta, orang Nasrani kerana kecantikan rupa parasnya Dan umat ini berkahwin kerana agama."
Majikan semakin takjub dengan jawapan Mubarak. Lalu dia berbincang dengan isterinya dan berkata: "Pada pandanganku tiada yang lebih layak untuk dijodohkan dengan puteri kita ini selain daripada Mubarak."
Mubarak pun dinikahkan dengan puterinya. Dahulu majikan, kini menjadi mertuanya dan mewarisi harta yang melimpah ruah. Daripada perkahwinan ini, lahirlah Abdullah bin Mubarak, seorang alim dan ahli hadis yang zuhud.
Renungan kita
Pada marcapada ini, banyak benar penipuan dan perbohongan yang berleluasa dalam kehidupan kita. Kadangkala sukar bagi kita mencari orang yang benar-benar jujur dan amanah. Demikianlah dugaan kita akhir ini, kebatilan serupa benar akan kebenaran, berbaliknya jugalah. Banyaknya orang yang tahu akan perlakuan jujur, namun tidaklah ramai daripadanya yang mahu bersifat jujur. Pudarnya sifat jujur dan amanah boleh jadi sama ada kerana kepentingan diri atau demi mencari keuntungan sendiri. Jika tidak ditanamnya sifat jujur ini dalam benak seseorang, sebab hal itu berlakunya sifat mazmumah mendorong kepada perilaku penyelewengan, rasuah, zalim, curi tulang dan sebagainya.
Tidaklah lari akan sifat jujur dan amanah jika dunia hanya ditelapak tangannya dan akhirat sebagai ikutannya. Segala hal yang dipertanggungjawabkan itu jugalah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Semoga kita menjadi orang yang jujur dan amanah dalam menggalaskan tugas. Assalamualaikum wbt.
- hh (Sepang, Selangor)
Sumber Rujukan:
1. The Garden of the Hadith Scholars oleh Imam Abd al-Aziz ad-Dihlawi.
2. Gen-Q (Jujurlah kerana kita orang beriman) oleh Mahfuzah Omar.
0 Komen:
Catat Ulasan