Assalamualaikum wbt, inginlah saya berkongsi beberapa untaian perenggan buah fikiran saya berkenaan suasana di masjid Al-Malik Khalid, USM ini yang lain benar saya alami di rumah-rumah Allah lainnya. Jarang benarlah saya berasa asing sedangkan asalnya saya di sini. Dalam kebanyakan solat fardu mahupun solat jumaat, tampaklah saya lihat minoritinya jemaah terdiri daripada warga antarabangsa. Kadangkala ada yang sudah punyai anak kecil benar, alunan bacaan al-quran di anjung masjid juga asing orangnya bahkan imam berdarah benua lain juga ada di sini. Ketika saya melihat warna kulit dan slanga percakapan mereka, saya boleh katakan majoritinya pelajar antarabangsa beragama muslim yang asalnya dari negara-negara Benua Afrika. Maka banyaknya yang memegang mazhab Maliki seperti diperkatakan banyaknya. Lapang benar mata dan fikiran saya melihat cara mereka beribadah. Namun, tidaklah begitu jahilnya saya menyalahkan apa yang tidak sealiran mazhab saya amalkan yakni mazhab Syafi'i. Saya benar raihkan perbezaan itu dan demikianlah juga mereka yang meraih perbezaan kami di sini. Sungguh Islam itu menyatukan kaum dan bangsa yang terasing-asing menjadi satu umat yang asalnya juga dari tanah, tiada lainnya.
Sebenarnya suasana di masjid ini agak kejutan mazhab buat saya. Demikian saya meletakkan tajuk "Tahiyat diantara bangsa". Dalam siri hidup saya bukanlah saya tidak pernah melakukan ibadah dengan mereka yang berbeza mazhabnya. Namun, berdepan dengan masa kini. Tertarik dan terpanar benar saya melihatnya. Saya berada diantara dua bangsa asing demi menyambungkan saf dan saya pun laksana solat seperti biasa bersama jemaah. Sejurus habisnya solat, mereka bergegas meninggalkan saf. Saya pun tertanya, di mana wirid, doa dan aamiin-nya dari mereka? Ada pun diantara mereka yang berganjak ke belakang/hadapan melakukan solat sunat, saya sangka. Itulah kejutan yang benar membatalkan kekusyukkan doa saya awalnya. Namun saya berlapang dada dengan tindaknya itu. Mungkin jahilnya saya untuk menerima perlakuan mereka itu. Satu sudut baik yang lain, mereka tekun benar membaca Al-Quran.
Masa saya di masjid selain waktu kewajipan Tuhan memanggil kita untuk bersolat fardhu, ada sahaja pelajar asing ini duduk di sudut terpencil membaca bait-bait Al-Quran. Lancar dan tartil benar bacaannya. Kagum saya akan beliau. Adapun di waktu petang selepasnya waktu solat asar, sekumpulan kanak-kanak kecil bergegas mengambil Al-Quran. Sedangkan saya di waktu itu berada di sudut dinding juga bersandar, sahaja saya untuk melaksanakan sedikit tugasan yang pensyarah beri. Mereka berkumpulan di hadapan saya. Hebat benar dik. Jujur suci hati saya mengatakan, tidak pernahlah saya lihat akan anak bangsa saya bertindak seperti mereka ini, mungkin ada tetapi tidaklah saya membesarkan lensanya. Mungkin ada tetapi jarang benar dilihatnya. Dibukanya kitab Al-Quran itu dan dilafaznya ta'awuz dan bismillah. Hadar benar lajunya. Saya fikir mereka hanyalah membaca Al-Quran tetapi mereka adalah para Hafiz! Bergegas mereka duduk bermuraja'ah hafazan. Beberapa anjakan waktu, guru mereka pun datang. Duduknya syeikh itu di atas kerusi dan anak-anak itu tadi duduk bersila. Asing juga gurunya itu, namun saya benar hormati beliau. Manakan saya tidak hormati jikalau beliau juga seorang Hafiz Al-Quran? Memperbetulkan juga bacaan anak muridnya itu. Terbatal jugalah kerja saya melihat perbuatan mereka itu, takjub benar saya. Maka timbulah soalan di benak pemikiran saya, apa yang sudah saya laksanakan pada bangsa saya sendiri?
Di waktu siang, petang atau malam. Sajalah saya ingin duduk di anjung masjid yang terletak di pintu utama masjid juga. Pasti ada juga seorang syeikh asing yang saya fikir ralit sudah dikenali ramai orang dengan bacaan Al-Quran nya yang lunak benar. Segan benar saya hendak bertanyakan nama dan berkenalan dengannya itu. Bimbang andai tiadalah etika ketika saya menyegah beliau. Apa saya benar kagum dengan beliau adalah kezuhudannya. Kerapkali tuan, beliau berada di masjid. Berulang-alik berjalan kaki dari desanya yang beratus meter pun ada saya fikirkan. Andai saya laksana perkara sama, getar dan rapuh benar hati ini berbanding kaki yang ingin berganjak. Banyak hal kekaguman saya berkenaan beliau, tetapi tidaklah mampu saya ceritakan di sini. Saya masih ada beberapa tahun di sini, dan berharap beliau ada untuk seluruhnya itu. Paling kurang saya ingin menyapanya.
Banyaklah pun peristiwa yang menarik hati saya. Demikianlah salah satu sebab berpautnya hati saya di rumah Allah ini. Rugilah andai saya menggunakan mata tanpa mengambil sebarang hikmah dan ibrah seluruhnya. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Allah SWT turut menegaskan di dalam Surah Ar-Rum, ayat ke-22, yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang mengetahui.”
Maka jelaslah bahawa Allah SWT menjadikan kita berbagai bangsa untuk saling mengenal antara satu sama lain. Demikianlah, lebih banyak saya belajar dari bangsa luar yang terdiri daripada orang islam sendiri berbanding bangsa saya sendiri. Itulah yang sepatutnya menjadi asbab kita untuk mengembara jauh dari tempat sendiri, seperti yang dilakukan oleh pelajar antarabangsa di USM ini. Namun kehadiran mereka di bumi minden ini, membawa rahmat Allah juga kepada kita untuk mengambil apa yang baik. Moga-moga sedikit perkongsiaan pengalaman saya ini dapat diambil pengajaran dan iktibar buat kita, tidak lain untuk kita saling memperbaiki diri kita juga untuk ke arah lebih baik.
- hh (Sepang, Selangor)
0 Komen:
Catat Ulasan