Isnin, Julai 31, 2023

Merangka matlamat hidup seawal usia muda

Setiap anak muda perlu ada matlamat dan visi yang jelas dalam hidup. Ibu bapa perlu terapkan ini pada anak² mereka lebih awal lagi, supaya mereka dapat merancang perjalanan hidup dengan lebih baik. Terlalu awal untuk mempersoalkan pada mereka apa yang hendak mereka capai, maka demikian tawarkan kepada mereka jurusan pengetahuan yang lebih luas dan pantau minat mereka. Jadilah penunjuk arah (bukan tukang arah) kepada minat mereka itu yang menjurus pada bidang pekerjaan yang ada. Pada hikmat ini, ibu bapa sendirilah yang menjadi pendorong utama minat anak mereka; merangka pelan dalam hidup.

Bila saya bertanya pada kawan² berkenaan apa cita-cita mereka atau apa yang mereka nak capai dalam hidup (lingkungan umur pada masa itu 18-20 tahun), kebanyakannya masih samar-samar hendak menjurus kepada apa. Ada juga diantara mereka, hanya menggunakan konsep "follow the flow". Saya kurang berkenan dengan konsep ini kerana hanya ikan mati mengikut alir sungai (bergantung pada nasib). Matlamat mereka hanya lebih jelas apabila menyambung pelajaran pada peringkat pengajian tinggi. Jika kena untung badan, mungkin mereka berpuas hati dengan apa yang mereka capai (walau tidak terancang). Namun percayalah, memiliki pelan hidup itu lebih baik, lebih banyak risiko dan kebarangkalian buruk yang dapat diatasi serta diurus dengan baik.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.'' (Surah Ar-Rad: 11)

– hh (31/7/2023)
Share:

0 Komen:

Catat Ulasan