Rabu, Ogos 18, 2021

Pemburu Meteor Perseids 2021

Jujur aku katakan, ini adalah pengalaman pertama aku melihat meteor dengan kansa mata sendiri. Sebelum ini, aku hanya dengar dan lihat melalui media sosial sahaja. Rumah aku berdekatan dengan pantai, jadi memang sangat sesuai untuk dijadikan tempat mencerap langit. Kadang terasa rugi juga sebab tak menggunakan peluang yang ada untuk mencerap selama ini. 

Cuma aku perlukan beberapa eksperimen adakah benar pantai itu dipenuhi awan ataupun tidak(baca: kurang). Berdasarkan sumber rujukan, awan besar akan terbentuk di pantai disebabkan fenomena bayu laut dan bayu darat. Maka pembentukan awan akan sentiasa ada. Arah pantai aku menuju ke arah barat daya, mungkin lebih jelas kalau dilihat ke arah bertentangan. Malangnya, disebabkan Selangor masih berada pada Fasa 1, lebih pada pukul 10 malam tak dibenarkan untuk keluar dari rumah kecuali dengan kebenaran pihak polis. Tengoklah rezeki nanti macam mana.

Jadi, aku terpaksa cerap langit dari halaman rumah sahaja. Walaupun terdapat beberapa pencemaran cahaya datang daripada lampu jalan. Kalau lampunya biasa sahaja aku ok lagi, ini mereka gunakan lampu LED. Orang pun takut kalau nak merompak rumah kalau macam ni. Nasib ada beberapa pokok yang menghalang lampu tersebut daripada kawasan cerapan aku.

Kawasan cerapan aku, halaman rumah. Aku menggunakan tripod juga telefon.

Berdasarkan idea ini mungkin nampak bijak sebab aku boleh akses telefon melalui laptop menggunakan benda bajet. Tapi berdasarkan kemampuan, telefon aku tak cukup 'perform' untuk menangkap/merakam langit. Walaupun aku dah menggunakan tetapan kamera PRO. Semua kelihatan gelap kecuali beberapa cahaya bintang yang terang.

Aku betul-betul terkejut sebab boleh tahan tinggi juga tripod ni. 👀

Telefon samsung aku ada aplikasi yang bernama "Samsung Flow" yang membolehkan kau akses telefon menggunakan laptop. 

Tripod ini memang tak sesuai untuk fon. Tapi disebabkan aku terdesak, aku ikat sahaja telefon dengan tripod ni. Kehkeh.

Disebabkan telefon tersebut memang tak nampak apa pun waktu malam, aku terpaksa putuskan niat untuk tidak menangkap gambar atau rakam. Maka tak dapatlah aku berkongsi gambar meteor perseids pada orang lain kecuali diri aku sendiri. Tetapi aku sempat untuk merekod data meteor perseids. Waktu kemunculan dia.

Data Meteor Perseids (13 August 2021)

Bil meteor

Waktu meteor muncul

1st

4:02 pagi

2nd

4:29 pagi

3rd

4:32 pagi

4th

5:00 pagi

5th

5:09 pagi

Kawasan : Sepang, Selangor. Arah : Menghadap Timur laut (Buruj Perseus)

Aku tahu data agak mudah. Tapi cukuplah sebagai permulaan bagi aku. Pada awalnya aku hampir putus harapan setelah 1jam aku mencerap, tak nampak sebarang kelibat meteor. Hanya dipenuhi dengan awan tebal. Nasib aku ada sahabat, juga minat yang sama dalam mencerap meteor. Dia suruh aku bersabar.

Pada awalnya aku menghadap barat dan timur yang mana memang salah arah cerapan aku. Sebab itu bukan titik kemunculan. Kemudian aku betulkan semula kedudukan menggunakan aplikasi "Star Walk 2". Dalam pukul 4 pagi, awan mula hilang. Nampaklah jutaan bintang dan beberapa meteor seperti yang direkodkan dalam data.


Laporan data juga dihantar pada pihak yang menganjurkan program cerapan juraian meteor perseids. Dapatlah sijil penyertaan juga.

Abah mula nampak minat aku dalam astronomi, InsyaAllah selepas ini lebih mudah untuk aku mencerap dengan kemudahan yang ada daripada abah. Ini hanya permulaan aku dalam dunia astronomi, banyak lagi yang perlu aku teroka. Semoga aku terus menganjak terus kehadapan. Merasai keagungan Tuhan.

Gambar di Facebook

Share:

0 Komen:

Catat Ulasan