Jumaat, Ogos 27, 2021

Jika mula bosan dengan suatu ilmu

———

Oleh hh (Jumaat, Ogos 27, 2021)


"Waktu belajar ialah daripada buaian hingga ke liang lahad."
Belajar daripada liang lahad ialah mengambil iktibar daripada kematian. Belajar hingga ke liang lahad bererti istiqamah dalam belajar. Kerana kematian adalah sebaik-baik guru, dan dunia merupakan penjara orang mukmin. Sepanjang kita mendalami dan mencari ilmu ini pasti akan terdetik perasaan bosan yang akan berpaut. Hal ini tidak boleh dinafikan bagi seseorang penuntut ilmu. Maka bagaimanakah dapat kita mengatasi cabaran ini? Dalam kitab Adab Al-Muta'allimin karya Nāṣir ad-Dīn aṭ-Ṭūsī ada menyatakan beberapa penyelesaian antaranya,

Berpindahlah kepada ilmu lain (Moving on to other knowledge)
Seorang penuntut ilmu tidaklah membawa kepada satu jenis ilmu sahaja yang perlu dituntutnya. Bahkan, ia perlu menuntut ilmu sekadar yang perlu dan terbaik(layak) baginya. Sebagai contoh, jikalau dia hendak mempelajari ilmu sains, perlulah untuk dia menguasai juga ilmu matematik dan berkait dengannya agar tidaklah ilmu yang dipelajari itu terencat. Seorang penuntut ilmu itu haruslah menuntut seawal usia remaja, dan pada waktu sahar dan antara dua isyak.

Dia seharusnya menghabiskan waktunya dengan menuntut ilmu. Sekiranya dia bosan, berpindahlah kepada ilmu yang lain. Dengan hal itu, tidaklah ia leka melakukan perkara lainnya selain menuntut ilmu(perkara yang bermanfaat). Berdampinglah dengan ilmu kerana itu adalah pelaburan paling berharga bagi orang-orang yang berakal. Hendaklah juga ia menyediakan sebekas air di sisinya supaya dia dapat menghapuskan ngantuk.

Berpindah kepada ilmu lain tidaklah meninggalkan ilmu yang dituntut sebelumnya. Tetapi mengarah kepada buku lain sehingga bosannya kembali hilang. Akal kita kadang tidak mampu untuk menghadap perkara yang sama sepanjang masa, maka hendaklah ia mempelbagaikan pembelajarannya.


Berzikir dan berfikir (Thinking and dhikr)
Golongan Ulul Albab suka berzikir dan berfikir. Siapakah golongan Ulul Albab? Mereka adalah golongan yang mempunyai akal yang sempurna dan bersih. Akal yang sempurna bermaksud, cara berfikir dan menilai sesuatu perkara adalah betul berpandukan kepada agama.

Apakah yang mereka fikirkan? Berhubung dengan perkara ini dalam Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, Imam Al-Qurtubi berkata, "Iaitu berfikir tentang kekuasaan Allah SWT. dan penciptaan makhluk-Nya supaya dengan itu kefahaman mereka tentang Allah SWT. lebih mendalam. Sesungguhnya segala sesuatu mempunyai bukti yang menunjukkan tentang keesaan-Nya."

Maka, isikanlah juga masa untuk zikr dan fikr selain menghadam kitab-kitab ilmu. Sungguhnya, dengan berfikir tentang kejadian alam itu dapat menenangkan jiwa yang sengsara, merendahkan diri berhadapan dengan kebesaran Tuhan. Begitu jualah dengan zikir kepada Allah. Dalam Surah Ali Imran ayat 190 hingga ayat 191, Allah memuji golongan Ulul Albab. Mereka dipuji oleh Allah kerana suka melakukan dua perkara, iaitu zikir dan fikir. Ketika menceritakan tentang mereka, Allah menjelaskan:

"(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka."
(Surah Ali-Imran 3:191)

Berfikir itu dapat membuahkan ilham dalam pemikiran. Ilham yang membawa kita bertaqwa kepada Allah SWT.


Sumber Rujukan :
1. Adab Al-Muta'allimin at-Tusi
2. Al Kafi li al-Fatawi – Ilham: Apakah Itu Ilham?
3. Menjadi Ulul Albab – Dr. Danial Zainal Abidin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan