"Uncle, berapa harga untuk pasu ini?" Saya menyerahkan pasu tersebut pada Uncle untuk memeriksa semula harganya. Maklumlah, kebanyakkan kedai pokok mempunyai persekitaran semak dan bersepah, begitu juga dengan pasu-pasu yang tersedia. Maka, harga pasu juga boleh jadi beraneka. Namun, apabila melihat kedai pokok yang dijalankan oleh anak muda, banyak inovasi yang mereka bawa terutamanya dari segi sistem pengurusan yang mana ia lebih baik, sistematik dan kemas. Tidaklah hendak membidas orang lama namun mengikut perkembangan zaman sekarang, anak muda lebih mudah beradaptasi dengan kemudahan teknologi sedia ada dan mereka cuba untuk mengubah sistem yang lama dan lapuk menjadi sistem yang lebih minimalis serta mampu mengurangkan risiko perniagaan mereka.
"Ini dalam RM15" kata Uncle tersebut sambil menyerahkan pasu itu semula.
Saya sangat menyukai pasu tersebut, ia tidak terlalu tinggi dan besar, terbuat daripada seramik dan sangat klasik. Sesuai untuk menampung pokok bunga yang saya baru beli, Kalanchoe. Walau bagaimanapun, sengaja saya membeli pokok bunga tersebut dari sebuah kedai pokok yang berbeza kerana hendak meneroka kedai-kedai pokok di sekitar Pulau Pinang. Sebenarnya, tumbuhan ini membantu sedikit sebanyak kesihatan mental saya. Tidak tahu bagaimana hendak saya ungkapkan, tetapi apabila ada tumbuhan di sekitar, saya kurang untuk merasa cemas dan terkurung. Ia seolah-olah dapat menenangkan suasana.
Saya bertanya kepada Uncle tersebut jika ada perkhidmatan pemindahan pokok dan berapa harganya. Beliau mengatakan bahawa harga ditentukan setelah melihat pokoknya terlebih dahulu. Saya membawa pokok bunga tersebut yang terletak di raga motorsikal lalu untuk ditunjukkan kepada Uncle tersebut, lantas sahaja ditegur.
"Kalau pokok bunga ini macam lah, memang tak akan hidup lama. Lu nak letak indoor kan? Dua tiga bulan sahaja.. pastu" sambil Uncle tersebut membuat isyarat jari menandakan mati.
"Wa bukan mau untung, tapi wa kasitau jujur sama lu."
Saya sedikit kecewa dan agak sedih. Sebab pokok ini memang katanya untuk tanaman dalaman. Kemungkinan benar juga yang dikatakan oleh Uncle tersebut bahawa pokok berbunga ini tidak akan hidup lama jika diletakkan dalam rumah. Oleh sebab itu, kebanyakan tumbuhan dalaman atau tumbuhan hiasan dalam rumah tidak mempunyai bunga atau memerlukan sumber cahaya atau air yang banyak. Namun, berbeza dengan pokok bunga yang saya beli ini, meskipun tidak memerlukan sumber air yang banyak tetapi ia memerlukan sumber cahaya matahari yang mencukupi. Cuma ia tidak boleh mendapat cahaya matahari secara langsung.
Apapun saya berterima kasih kepada Uncle tersebut atas nasihat yang diberikan. Ini bukanlah kali pertama saya menjaga pokok, malah sudah berkali-kali. Namun sekali ini saya mendapat iktibar daripada pokok bunga ini apabila jauh saya merenungnya. Antaranya,
i. Ketidakabadian (Impermanence)
Bunga-bunga ini indah tetapi hidupnya sementara sahaja. Mereka mekar, matang, dan akhirnya layu dan pudar menjauh. Ketidakabadian ini dapat mengingatkan kita tentang sifat kefanaan hidup yang sementara dan mendorong kita untuk menghargai keindahan hidup di sekeliling kita selagi mampu.
ii. Kepelbagaian (Diversity)
Terdapat ribuan jenis bunga yang berbeza di alam ini, setiap satu mempunyai ciri-ciri yang unik dan keindahan tersendiri. Kepelbagaian ini dapat mengingatkan kita tentang nilai individualiti bahawa setiap orang mempunyai kelebihan serta kekurangan yang tersendiri dan pentingnya meraihkan perbezaan.
iii. Ketahanan (Resilience)
Walaupun pokok bunga ini kelihatan lembut dan ayu, hakikatnya pokok bunga sangat berdaya tahan. Seperti halnya bunga, ia mampu bertahan dalam keadaan yang sukar dan adaptasi dengan persekitaran baru. Sifat ketahanan bunga ini dapat mengingatkan kita tentang keupayaan kita untuk menjadi lebih kuat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran hidup.
iv. Pertumbuhan (Growth)
Pokok bunga yang mulanya sebagai biji-biji kecil, kelak tumbuh bercambah menjadi struktur yang indah dan kompleks. Pembesaran ini dapat mengingatkan kita tentang potensi diri kita untuk terus berkembang dan berubah ke arah yang lebih baik. Bersangkut dengan faktor sebelum ini, andai sahaja kita kekal tabah dalam menghadapi cabaran hidup, jika sampai waktunya kita pasti akan menjadi seperti bunga-bunga ini yang akhirnya berkembang indah menghiasi bumi.
v. Kecantikkan (Beauty)
0 Komen:
Catat Ulasan