Sejadah Cinta adalah sebuah novel yang ditulis oleh Juri Durabi, seorang pengarang tempatan yang berasal dari negeri Sabah. Novel ini menceritakan kisah Semail, seorang anak muda yang mendapat hidayah dan inspirasi daripada kisah pendakwah Cina Haji Mahadi Maa untuk menyebarkan dakwah Islam di Kampung Anak Lang, sebuah perkampungan yang masih berpegang kepada percayaan nenek moyangnya iaitu kepercayaan pagan. Semail juga menemui cintanya dengan gadis Kampung Anak Lang, Lamsia. Dengan demikian Semail terus menetap untuk hidup di kampung tersebut bagi memudahkan kerja dakwahnya dalam menyebarkan Islam.
Novel ini juga menunjukkan betapa kuatnya cinta kepada Allah dan Rasul-Nya dalam hati Semail dan bagaimana dia berusaha untuk membawa cahaya Islam ke dalam kegelapan. Dalam novel ini juga menceritakan bagaimana Semail berjaya membangunkan perkampungan Anak Lang dengan mendirikan madrasah melalui sumbangan jabatan agama serta kedai runcitnya yang menjadi kemudahan bagi penduduk di Kampung Anak Lang untuk memberi barangan-barangan. Adalah menjadi impiannya juga untuk membangunkan Masjid di perkampungan itu. Namun terdapat konflik yang berlaku di akhir plot cerita ini diantara Pak Cik Majid dan Semail berkenaan penetapan bagi masjid baru yang bakal didirikan sekitar perkampngan itu.
Bagi saya, kali pertama saya membaca tajuk ini menyangkakan adalah sedikit berkait dengan jalan ceritanya namun tidak. Mungkin itu hanya tanggapan pertama dan sekadar tajuk. Apapun, jalan cerita tidaklah begitu mendatar, ada juga beberapa konflik namun tidak menemui jalan penyelesaian yang diinginkan pembaca. Adakah memang berkehendak? Seperti ada jalan cerita yang tidak habis. Apapun gaya penulisannya tidaklah begitu tinggi, sesuai untuk pembaca umum seperti saya untuk memahami jalan cerita. Terdapat juga elemen rohani yang diterapkan ke dalam penulisan yang sememangnya asas bagi kita memahami kehidupan sebagai Hamba Allah. Kesimpulannya, buku ini sesuai untuk pembacaan santai. Tidaklah begitu berat. Namun banyak ibrah yang boleh diambil daripada penceritaan ini. Jujur pada awalnya, saya memikirkan teknik penceritaan ini lebih kurang seperti karya HAMKA. Namun apabila penulis sendiri yang mengungkil sasterawan itu, saya percaya itu adalah inspirasi darinya. Walaupun masih terdapat banyak ralat taip yang mana agak menganggu pembaca, namun jalan ceritanya masih boleh difahami dengan baik. Boleh saya katakan, sangat jarang untuk dapat seorang anak muda seperti Semail. Walaupun watak ini tidak wujud, tetapi watak ini masih boleh dijadikan sebagai contoh.
Rujukan lain :
Durabi, J. (2021). Sejadah cinta. Dicapai pada 2 Mac 2023 daripada https://www.goodreads.com/book/ show/61204778-sejadah-cinta
- hh
0 Komen:
Catat Ulasan