Ahad, Ogos 28, 2022

Tahiyat di antara bangsa


Assalamualaikum wbt, inginlah saya berkongsi beberapa untaian perenggan buah fikiran saya berkenaan suasana di masjid Al-Malik Khalid, USM ini yang lain benar saya alami di rumah-rumah Allah lainnya. Jarang benarlah saya berasa asing sedangkan asalnya saya di sini. Dalam kebanyakan solat fardu mahupun solat jumaat, tampaklah saya lihat minoritinya jemaah terdiri daripada warga antarabangsa. Kadangkala ada yang sudah punyai anak kecil benar, alunan bacaan al-quran di anjung masjid juga asing orangnya bahkan imam berdarah benua lain juga ada di sini. Ketika saya melihat warna kulit dan slanga percakapan mereka, saya boleh katakan majoritinya pelajar antarabangsa beragama muslim yang asalnya dari negara-negara Benua Afrika. Maka banyaknya yang memegang mazhab Maliki seperti diperkatakan banyaknya. Lapang benar mata dan fikiran saya melihat cara mereka beribadah. Namun, tidaklah begitu jahilnya saya menyalahkan apa yang tidak sealiran mazhab saya amalkan yakni mazhab Syafi'i. Saya benar raihkan perbezaan itu dan demikianlah juga mereka yang meraih perbezaan kami di sini. Sungguh Islam itu menyatukan kaum dan bangsa yang terasing-asing menjadi satu umat yang asalnya juga dari tanah, tiada lainnya.

Khamis, Ogos 25, 2022

Kisah Mubarak - Darjat diangkat kerana jujur dan amanahnya


Mubarak ialah ayah kepada Abdullah bin Mubarak, ulama yang terkenal. Beliau pernah bekerja di sebuah kebun pokok delima milik seorang saudagar dari negeri Hamdzan. Pada suatu hari majikannya datang kepadanya dan berkata: "Wahai Mubarak, aku ingin rasa buah delima yang manis." Mubarak lantas bergegas menghampiri sebatang pohon delima dan memetik buahnya. Majikannya pun membelah dan memakan buah delima itu, tetapi memarahinya kerana rasa buah tersebut sangat masam. "Aku meminta yang manis, tetapi kamu ambil yang masam. Ambilkan aku yang manis!" bentaknya.

Selasa, Ogos 23, 2022

Perpustakaan, Masjid, dan Pekan

Sedang berada di dalam PPAS salah sebuah pekan di Sepang. (23/8/2022)

Sebuah pekan tanpa masjid dan perpustakaan tiadalah bezanya dengan lapangan batu-batu nisan. Manakala, sebuah masyarakat tanpa ketamadunan hanyalah mayat hidup tanpa jiwa yang murni.

- hh (1:40 PM, 23/8/2022)

Khamis, Ogos 18, 2022

Kewujudan Teori Kuantum

Kepada teori kuantum cahaya dapat menerangkan asal-usulnya

Sinaran Jasad Hitam
Kita akan membahaskan beberapa ujikaji fizik yang menunjukkan bahawa sinaran elektromagnet bersifat kuantum/diskrit. Zarah cahaya dinamakan sebagai foton. Hitam pula dianggap warna yang kurang baik, warna berkabung. Warna objek yang kita lihat di alam ini berwarna-warni adalah kerana objek tersebut memancarkan sinaran cahaya yang berjarak gelombang tertentu. Lampu di rumah kita memancarkan cahaya, begitu juga besi yang dipanaskan, lilin, matahari, dan bintang-bintang semuanya memancarkan cahaya. Termasuk diri kita sendiri sebenarnya memancarkan sinaran, namun bukan cahaya tampak. Tidak semua objek yang kita lihat di alam ini memancarkan cahaya.

Rabu, Ogos 17, 2022

Harga sebuah Hijrah


Assalamualaikum wbt, buat pembaca. Jarang benar saya berkongsikan perihal kerohanian di dalam blog ini. Bukanlah niatnya hendak mengabaikan apa yang perlu tetapi jahilnya saya dalam menyampaikan ilmu agamanya. Maka saya fikir hal kerohanian ini saya serahkan pada yang haknya. Mereka yang benar mendalami ilmu agama dengan landasan disiplinnya. Saya pula tidak lainnya seorang penuntut yang lemah akalnya didorong oleh guru-guru yang hebat-hebat benar. Bermulanya bulan Muharram 1444 hijr ini, telahpun saya bernekad untuk berhijrah (menjadi seorang hamba Allah SWT yang mengejar redha-Nya). Moga Allah benar menerima hijrah saya kerana kadangkala saya takut andai penghijrahan saya ini tidak lain adalah tipu daya saya sendiri dan takut andai hati saya ini berpaut pada tidak sepatutnya, yakni selain Allah SWT. Kadangkala demikianlah hati, perlu sentiasa dimuhasabahkan agar sentiasalah ia kekal dalam landasannya (yang benar).

Salam Perkenalan Fizik Moden


Fizik moden dikaji sejak zaman Max Planck (1858-1947), Ernest Rutherford (1871-1937), Albert Einstein (1879-1955), N. Bohr (1885-1962), E. Schrodinger (1887-1961), W. Heisenberg (1901-1976), E. Fermi (1901-1954) dan lain-lain. Fizik moden juga menjadi asas kajian dalam Mekanik Statistik, Mekanik Kuantum, Elektrodinamik Kuantum, dan Mekanik Kuantum Statistik.

Jumaat, Ogos 05, 2022

Pengucapan awam: Sigattarius A* oleh Dr Kevin dan Dr Juan Carlos



Umumnya berkongsi perihal astronomi di Malaysia. Ahli astronomi kita sudah lama ada perancangan untuk melaksanakan VLBi (Gabungan radio telekskop-teleskop besar) bersama negara asian lain. Namun, kita sentiasa mempunyai kekangan dalam mencari dana, kerajaan kita sukar benar hendak melaburkan duit dalam kajian saintifik. Ada juga membincangkan sedikit berkenaan "Global Malaysian Astronomers Convention 2023" yang akan datang. Demikianlah sedikit intipasinya.

- hh

Isnin, Julai 11, 2022

Berbaloi ke beli buku rujukan yang dicadangkan oleh pensyarah?

Sahabat saya pernah meminta pendapat saya berkenaan berbaloi atau tidak jika dia beli buku rujukan yang disyorkan oleh pensyarahnya. Sebenarnya, keperluan membeli buku ini bergantung kepada individu. Kita perlu lihat apa keperluan jangka masa pendek dan jangka masa panjang buku tersebut pada diri kita jika kita ingin membeli buku tersebut.

Rabu, Jun 08, 2022

Antagonis paling baik

"Apa pengorbanan paling berat pernah engkau buat?"

"Meninggalkan seseorang untuk hal yang lebih baik."

"Bagaimana mungkin ..?"

"Apabila kita sering menyakiti seseorang. Kita akan mula sedar bahawa kita adalah antagonis dalam buku ceritanya.

Seorang antagonis mana mungkin menjadi protagonis. Maka, meninggalkan adalah perkara paling baik seorang antagonis boleh lakukan. Namun, berbayarlah sebuah pengorbanan."

"Apa yang beratnya..?"

"Sedang ia adalah orang yang paling bermakna dalam sebuah buku cerita kita, dan ia tidak ada lagi bersama kita di penghujung cerita."

"Apa kau tidak punya perasaan untuk itu?"

"Tanpa perasaan, meninggalkan seseorang akan menjadi suatu perkara yang mudah dan ringan. Sudah tentu aku ada dan ia menyakitkan."

Isnin, Jun 06, 2022

Kalau bukan ahli fizik, maka aku petani

"Kalau tak jadi ahli fizik, aku nak jadi petani"

"Kau gila? Petani?"

"Bila kau bertani, kau perlu berinteraksi dengan alam. Interaksi itu perlukan bahasa. Bahasa itu boleh dipelajari melalui ilmu yang aku belajar, fizik. Menggunakan 'bahasa' yang betul dan bermakna, maka jadinya ia hal yang membawa manfaat pada umat manusia.

Kau akan lihat, tanah-tanah ini kelak akan subur dan riang. Pokok-pokok juga bakal tinggi dan lebat hasilnya. Ilmu yang bermanfaat bukan sahaja mampu memberi kesan pada diri kita tetapi pada makhluk lain juga.

Maka kau fikir apa yang lebih bermakna berbanding ilmu yang tidak diamal?"

- hh (6/6/2022)

Rabu, Mei 25, 2022

Pembenaman blog


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada yang melawat blog ini dan membaca entri ini. Bagi pelawat yang masih baru memasuki blog ini, selamat datang dan maaf saya ucapkan kerana segala penulisan di dalam blog ini telah diarkibkan secara peribadi. Bagi mereka yang belum mengetahui, sebelum ini saya sudah menulis lebih dari 200+ entri dengan tajuk yang pelbagai. Namun, saya sedar akan kekurangan dan kesilapan dalam penulisan entri saya secara sengaja mahupun tidak sengaja, maka saya dengan rela hati membenamkan blog ini secara berperingkat bermula pada tarikh 25/5/2022.

Khamis, Mei 05, 2022

3 Pesanan ringkas abah ketika di alam kampus

Mendapat nasihat dan pesanan sebelum pergi merantau atau belajar adalah perkara biasa yang akan dialami oleh seorang penuntut. Termasuklah diri saya sendiri. Sebelum saya pulang ke institusi pengajian, abah saya akan memberi beberapa pesanan yang mana saya ingat sampai sekarang (walaupun sudah beberapa bulan berlalu). Kebimbangan seorang ayah pada anaknya jelaslah terpampang di wajahnya, kerana hidup di kampus ini kita akan berdepan dengan banyak ideologi-ideologi pemikiran yang menyonsangkan iman dan akidah kita. Tidak kisah lah kita ini anak yang nakal ataupun baik sekalipun, mereka tetaplah memberi nasihat sejitunya. Walaupun saya secara zahirnya tidak nampak lagi anasir-anasir liar itu, tetapi syukur benar.. Allah temukan saya dengan orang-orang yang baik. Bila kita berusaha untuk menjadi baik, InsyaAllah kita juga akan dikelilingi dengan orang yang baik-baik. Tidak lari juga akan lahirnya suasana biah solehah yang sentiasa akan membendung kita daripada melakukan kemungkaran.

Rabu, April 27, 2022

Magical hand para ahli experimentalis & ketupat saya


Lab tadi  Dr. cerita pasal magical hand. Saya pun ada juga.. Masa raya dulu, saya nak anyam ketupat sate, tapi result saya dapat ketupat bawang. Ada masa dia terpesong pergi ketupat lain pula. Akhirnya ketupat kami ada pelbagai aneka termasuk ketupat bergenetik baru.

- hh

Rabu, April 13, 2022

Eksperimen Michelson-Morley : Menguji kehadiran rangka Eter

Pembentukkan teori kerelatifan khas bermula dengan permasalahan tentang persamaan dan penemuan Maxwell berkenaan percanggahannya dengan rangka rujuk (reference frame) yang berasaskan transformasi Galilean (Galilean transformation) yang menjadi dasar utama dalam mekanik Newton. 

Secara logiknya, kepantasan manusia yang berlari di atas kereta api adalah lebih laju berbanding manusia yang berlari di atas jalan raya. Hal ini demikian kerana kelajuan manusia yang belari di atas kereta api disokong dengan kelajuan kereta api itu sendiri. Perkara ini disokong oleh transformasi Galilean.

Ahad, April 03, 2022

Redha Ibu bapa dalam menuntut ilmu


Saya selalu berbual dengan para pensyarah berkenaan latar belakang pendidikan mereka sehinggalah kini mereka bergelar pensyarah. Antara sebabnya, saya nak visualisasi laluan arah bidang yang boleh saya lalu. Selalu saya akan ambil waktu senggang, supaya tak menganggu waktu mereka. Lagipun borak secara santai sahaja.

Sabtu, April 02, 2022

Paradoks Olbers dalam kepegunan alam semesta

Rajah 1 : Apabila bilangan bintang tak terhingga dilihat pada satu sudut,
ia akan berkumpul dan sepatutnya memenuhi alam ini dengan cahaya

Paradoks Olbers adalah salah satu paradoks kosmologi tertua berkenaan fakta bahawa langit malam tidak sepatutnya kelihatan gelap tetapi harus bersinar dengan kecerahan permukaan bintang dalam alam. Paradoks ini muncul ketika saintis berhipotesis bahawa alam semesta adalah statik/pegun (bukan berkembang seperti sekarang), dan langit dipenuhi oleh bilangan bintang yang tidak terhingga (Rajah 1)  Paradoks Olbers, dinamakan sempena ahli astronomi Jerman Heinrich Wilhelm Olbers (1758–1840). Paradoks ini juga dikenali sebagai "paradoks langit malam yang gelap".

Jumaat, Mac 25, 2022

Arkib Fizik HH: Arus ulang-alik (Peringkat Matrikulasi)

Berikut adalah beberapa soalan arus ulang alik (alternating current) yang saya jawab sewaktu peringkat Matrikulasi. Ini hanyalah salah satu set soalan yang dibuat sebelum menjelang PSPM (Peperiksaan Semester Program Matrikulasi) 2020/2021.


Ahad, Mac 20, 2022

Antara fenomena unik dalam dunia kuantum

Apabila anda membaca majalah ataupun artikel berkenaan sains fizik terutamanya bidang fizik moden, pasti kebanyakkan topik adalah berkenaan idea fizik yang menarik dan pelik (tetapi klise) untuk menarik minat pembaca umum seperti kita. Misalnya, jirim yang boleh wujud dalam keadaan tenaga, gelombang yang bertindak sebagai kebarangkalian, sifat kedualan cahaya ataupun kewujudan trans-dimensi pada skala tetangsi? Banyak lagi sebenarnya idea fizik yang pelik dan aneh belum aku terokai lagi. Aku akan kongsi sedikit beberapa idea fizik yang menarik minat aku,

Kedualan zarah-gelombang (Wave Particle Duality)
Teori cahaya sebagai zarah mula diperkenalkan oleh Isaac Newton dalam karyanya "Opticks". Pada abad ke-19, Thomas Young pula membuktikan sifat cahaya seperti gelombang melalui eksperimen dwicelah (Double-slit experiement). Dengan bermulanya mekanik kuantum yang dipelopori oleh Max Planck, telah membuktikan bahawa cahaya terdiri daripada kedua-duanya (zarah dan gelombang). Namun ia bergantung kepada pemerhatian manusia, cahaya boleh menjadi gelombang dan kadangkala boleh menjadi zarah. Apa yang menarik, tanpa pemerhatian manusia cahaya boleh menjadi kedua-duanya. Dua dekad kemudian, ahli fizik mula menyedari bahawa semua zarah berkelakuan seperti gelombang dan zarah juga mampu berkelakuan seperti gelombang. Hal ini telah dibuktikan melalui eksperimen dwicelah elektron.


Kebarangkalian Kuantum & Masalah Pengukuran (Quantum Probability & Measurement Problem)
Menurut mekanik kuantum, gelombang ini bukan gelombang fizikal sebenar, tetapi gelombang kebarangkalian ataupun sebagai fungsi gelombang. Ia adalah kebarangkalian kedudukan bagi setiap individu foton itu berada. Fungsi gelombang ditakrifkan secara matematik melalui persamaan Schrödinger yang mengambarkan kebarangkalian zarah ditemui pada kedudukan tertentu. Apabila pengukuran dibuat, kita akan mempunyai hasil pengukuran yang tepat. Namun masalah dalam pengukuran kuantum ialah teori itu tidak dapat menerangkan sepenuhnya bagaimana tindakan memerhatikan itu menyebabkan berlakunya keruntuhan fungsi gelombang (wave function collapse). Percubaan untuk menyelesaikan persoalan ini telah membawa kepada beberapa tafsiran kuantum. Antaranya yang paling popular adalah tafsiran Copenhagen (Copenhagen Interpretation).


Prinsip Ketidakpastian Heisenberg (Heisenberg Uncertainty Principle)
Ahli fizik Werner Heisenberg membangunkan Prinsip Ketidakpastian Heisenberg yang mengatakan bahawa apabila keadaan fizikal sistem kuantum diukur terdapat had asas kepada jumlah ketepatan yang boleh dicapai. Misalnya lebih tepat kau mengukur momentum zarah semakin kurang tepat ukuran kau terhadap kedudukannya. Maka, kedudukan dan momentum zarah tidak dapat disukat dengan tepat dalam satu masa. Dalam tafsiran Copenhagen yang dipelopori oleh Werner Heisenberg dan Niels Bohr, menyatakan bahawa ia bukan hanya berlaku kerana ralat pengukuran ataupun had teknologi, tetapi ia disebabkan had fizikalnya yang sebenar.


Kekusutan Kuantum & Ketidaksetempat (Quantum Entanglement & Nonlocality)
Dalam teori kuantum, apabila seketul zarah mereput menjadi dua zarah, ia adalah dua zarah yang fungsi gelombangnya bergantung antara satu sama lain. Bermakna keadaan satu zarah berkaitan secara langsung dengan keadaan zarah lain yang berada di tempat lain. Inilah fenomena yang dipanggil sebagai kekusutan kuantum. Suatu zarah itu berkusut dengan suatu zarah yang lain. Pengukuran keadaan kuantum terhadap satu zarah menentukan keadaan kuantum yang mungkin bagi zarah lain. Apa yang menarik, kekusutan ini tidak bergantung pada lokasi zarah di ruang masa. Walaupun kau memisahkan zarah terkusut dalam jarak yang jauh diantara satu sama lain, menganggu satu zarah yang terkusut masih dapat mempengaruhi perubahan zarah satu lagi.



Selasa, Mac 15, 2022

Terbitan Petua Sinus

Jikalau entri sebelum ini terbitan bagi petua kosinus, maka ini pula adalah terbitan bagi petua sinus. Kita tahu bahawa jumlah sudut bagi pelbagai jenis segitiga adalah bersamaan dengan 180 darjah dan jumlah tersebut tidak akan berubah. Jika kita diberikan dua sudut segitiga, maka dengan mudahnya kita tolak dua sudut itu dengan 180 darjah untuk mendapatkan satu lagi sudut segitiga. Tetapi bagaimana jika kita ingin mencari satu sudut itu apabila maklumat yang diberi hanya satu sudut dan dua panjang sisi segitiga? Isu yang lebih kurang juga seperti bagaimana hendak mencari satu panjang sisi apabila yang diberi dua sudut dan satu sisi?