Selasa, September 20, 2022

Sekarang baru nak tanya?

———

Oleh hh (Selasa, September 20, 2022)

Kelam hati saya setelah jauh merenung perjalanan hidup ini. Banyak benar kekurangan yang tampak saya lihat dalam diri. Satu daripadanya adalah kurang bertanya atau ajukan akan persoalan pada pensyarah. Direnung waktu sekolah dahulu, adapun guru-guru yang saya acapkali bertanya. Sehingga guru saya terpaksa memberikan nombor telefon untuk berhubung dalam talian. Persoalan timbul dalam pemikiran yang wajar dengan pemahamannya. Persoalan adalah tanda kita berminat ingin tahu, sebaliknya kita mengabaikan apa yang ada.

Kerapkali saya buntu hendak mempersoalkan sesuatu ketika pensyarah mengajar, kerana itu adalah saat pemahaman. Seakan bayi yang lahir ke bumi, ia tidak langsung mempersoalkan apa disekitarnya sehingga ia menggunakan deria melihat, merasa dan menyentuh apa yang ada. Timbul terbitlah persoalan-persoalan kemudiannya. Apa yang dia lihat? Setelah apa yang ia rasa itu? Apa rasa sebenarnya permukaan itu? Ia meneruskan pemahamannya, "Kasar, masin, mainan". Apa itu semua? Demikianlah berkembangnya pemahaman, melalui kognitif dan pentingnya ia merasai dan menggubal apa yang ada depannya. Sejurus beranjak mahasiswa, latihan dan pembacaan adalah cara ia meningkatkan pemahamannya. Tanpa ia membuat latihan dengan apa yang ingin dia pelajari, seakan dipapar dan berlalu pergi tanpa sempat ia benar merasai atau mempersoalkannya.

Mungkin demikianlah saya. Manakan dapat saya mempersoalkan tanpa memahami apa yang hendak disoal? Adapun kerja-kerja tugasan pensyarah ataupun tiba tempoh hampirnya peperiksaan, baru tampak lut muka pelajar-pelajarnya, "Ini pelajar aku ka?", "Mengapa sekarang baru nak tanya?". Tapi jiwa pensyarah itu sungguh murni. Tidaklah ia menzahirkan apa dimonologkan. Bertetaplah niat sucinya sebagai pengajar. Ia menjawab soalan pelajar dengan tenang dan sabar. Adapun yang kerendahan budi, kurang akhlaknya pun ia raihkan juga. Faham benarlah saya, Syeikh. Dalam hal itu, pelajar yang benar berdamping dengan para pensyarah itu pastinya seorang yang tekun benar dalam menuntut apa yang diajarkan, jarang sekali hendak ia mempergunakan untuk menguntungkan diri. Dapatannya kursus fizik ini berat, pelajar fizik seringkali dikaitkan dengan pelajar yang berusaha untuk berkelangsungan hidup. Oleh itu, jangan ditinggalkan apa yang sedang tergantung, lalu membiarkan ia busuk. Ranggul tengkuk, capai tangan, petik apa yang bermanfaat. Assalamualaikum wbt. - hh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan