Rabu, Ogos 30, 2023

Asam garam dalam mengulangi ilmu


Kepentingan dalam mengulangi ilmu
Ada seberapa perkara yang baru saya sedar dalam mengulangi suatu ilmu itu yang dahulu kala menjadi kunci pencarian saya. Bahawa konsep pengulangan itulah secara harmoninya akan membuatkan kita lebih memahami dan mengingati ilmu itu dengan sendiri. Kunci kepada hafalan suatu ilmu itu sendiri. Mustahil untuk menghafal suatu ilmu tanpa tabiat yang mengulang.

Pensyarah saya pernah menyatakan keterpaksaannya dalam mengajar suatu topik itu berulang kali agar pelajarnya sentiasa mengingati dan tidak keliru terhadap suatu konsep baharu yang akan dipelajari oleh pelajarnya nanti. Sedar akal saya bahawa dengan mengulangi suatu ilmu itulah kita akan lebih menguasai suatu topik tersebut dengan lebih berkesan. Ya, kepahitannya mengulang itu adalah kebosanan. Dengan sikap ini, bangkitlah satu sangkaan bahawa menuntut dengan pantasnya adalah lebih efisien pada masa kini. Apa benarkah pemikiran ini?

Terburu-buru dalam menuntut ilmu puncha hilang berkahnya
Salah satu tabiat para penuntut ilmu pada masa kini adalah terlalu terburu-buru dalam mempelajari ilmu pengetahuan. Walhal ilmu yang sedia ada tidak lagi dikuasainya lagi bahkan dengan kefahaman yang kukuh. Dunia yang penuh dengan pemesatan ilmu pengetahuan telah mendorong kita untuk bersikap segera dalam melaksanakan sesuatu, begitu juga pengaruhnya pada dasar pemikiran kita. Bahawa bangsa-bangsa yang ketinggalan akan menjadi bangsa yang mundur. Sikap terlalu paranoid pula membawa kepada kepelbagaian silibus-silibus yang tidak sepatutnya menjadi keperluan pelajar masa itu. Beban yang menyeluruh bagi pelajar-pelajar yang baru mengenal abjad dan angka, sudah dipaksa untuk mengarang dan penaakulan. Sesungguhnya, kita dalam kerugiaan yang nyata. Persoalannya di sini, mana kurangnya?

Jika hendak merenung kembali sirah para ulama' terdahulu menuntut ilmu sangatlah jauh daripada sifat terburu-buru. Mereka mengambil masa yang sangat lama dalam menuntut suatu bidang ilmu. Misalnya, Jabir bin Abdullah, pernah melakukan satu siri perjalanan yang jauh selama satu bulan lamanya semata-mata hendak mencari satu hadis. Belum dinyatakan lagi sebilangan banyak yang menulis kitab sehingga bertahun-tahun lamanya. Maka wujudlah satu persoalan bagi pemikir kini, bukankah waktu mereka akan terbuang begitu sahaja? Walhal pada zaman kini, kita mampu memperoleh ilmu dengan mudah dan cepat, sehingga ilmu mampu diperoleh dengan waktu yang singkat dan banyak?

Berjujuranlah saya katakan, apakah ilmu yang kita peroleh pada masa kini mampu diingati dengan sebati? Atau kita terpaksa membuka internet terlebih dahulu barulah kita mengingati ilmu itu? Maka, permasalahan di sini adalah keberkatan ilmu itu sendiri. Ilmu yang diperoleh dengan pengorbanan (tidak kisah masa, tenaga, mahupun yang berbayar) itu lebih sukar untuk kita lupakan dan hilang berbanding ilmu yang diperoleh secara segera yang mudah untuk kita lupa dan hilang dari pengetahuan kita. Sesungguhnya ada disebutkan dalam sebuah kaedah di dalam ilmu Usul Fiqh yang mengatakan,

من استعجل الشيء قبل أوانه عوقب بحرمانه

"Barangsiapa yang terburu-buru terhadap sesuatu sebelum waktunya, maka dia dihukum tidak mendapatkannya" (Syarh Majallatul Ahkam, hlm. 87).

Dalam sebuah analogi. Sebuah pokok yang mengeluarkan hasilnya buah, jika dipetik segera maka tidak terasa samanya dengan buah yang sememangnya telah masak dan empuk. Demikianlah juga dengan ilmu, ilmu yang dituntut dengan tergesa-gesa, hilanglah nikmat berkat ilmunya itu. Kendatipun itulah lekas hilang pula apa yang telah ia baca, tidak pula berkekal lama dalam akal fikirannya.

Ibnu Syihab pernah menasihati muridnya Yunus ibnu Yazid Al Ayli Al Muhaditth. Pada suatu masa Ibnu Syihab berkata kepadanya,

«يَا يُونُسُ! لاَ تُكَابِر ِالعِلْمَ، فَإِنَّ العِلْمَ أَوْدِيَةٌ فَأَيَّهَا أَخَذْتَ فِيهِ قَطَعَ بِكَ قَبْلَ أَنْ تَبْلُغَهُ، وَلَكِنْ خُذْهُ مَعَ الأَيَّامِ وَاللَّيَالِي، وَلاَ تَأْخُذِ العِلْمَ جُمْلَةً، فَإِنَّ مَنْ رَامَ أَخْذَهُ جُمْلَةً ذَهَبَ عَنْهُ جُمْلَةً، وَلَكِنِ الشَّيْءَ بعْدَ الشَّيْءِ مَعَ اللَّيَالِي وَالأَيَّامِ» [«جامع بيان العلم وفضله» لابن عبد البرّ: (431)].

"Wahai Yunus, janganlah kamu sombong di hadapan ilmu. Kerana ilmu itu laksana lembah-lembah. Jika kamu melaluinya sekaligus, kamu akan terhenti sebelum meraihnya. Tetapi laluilah berhari-hari. Janganlah kamu ambil ilmu itu sekaligus, kerana barangsiapa yang mengambil ilmu sekaligus, maka akan hilang darinya sekaligus. Namun ambillah sedikit demi sedikit, bersamaan dengan hari-harimu dan malam-malammu" (Jami' Bayan Al 'Ilm wa Fadhlih, Ibnu Abdilbarr, 431).

Faham benar saya akan keperluan ilmu pada masa kini. Jika hendak melakukan perkara yang sama seperti ulama' terdahulu maka tidak bersesuaian untuk dilaksanakan mengikut arus massa. Oleh demikianlah, pentingnya mengulangi ilmu setelah apa yang dia pelajari meskipun bertahun lamanya ia meninggalkan didikan ilmu tersebut. Misalnya dalam bidang mekanik klasik. Ia adalah satu topik yang wajib dilalui oleh setiap pelajar yang mengambil fizik. Jika ingin berbicarakan soal hukum gerakan newton, ataupun fungsi getaran gelombang, mungkin juga hukum kepler gerakan planet maka ia akan berkait juga dengan soal mekanik. Oleh itu, menuntut ilmu pengetahuan tidak seharusnya dilayan secara monogamis -habis satu fasal kemudian bergerak fasal lain. Sebaliknya ia harus bergerak seiring juga dengan ilmu pengetahuan lain. Namun, dalam tuntutan ini pula wujud satu ujian lain, iaitu sikap. Sikap lumrah dalam menuntut ilmu itu sendiri.

Misbah seorang pensyarah dalam mengajar
Untuk menjadi pensyarah, anda perlu mengulangi suatu topik pembelajaran pada anak murid (berkali-kali mengikut sidang akademik). Bayangkan sepanjang bergelar pensyarah itu anggaran beberapa tahun ia mengajarkan perkara yang sama (bergantung seberapa lama pensyarah itu terikat dengan kursus yang dibawa). Andai adalah peperiksaan pada esok hari yang dilaksanakan secara mengejut pun sudah tentu mampu skor! Namun, dalam kepentingan lain menjadi seorang pensyarah itu adalah meneroka ilmu baharu juga. Iaitu dengan mengali lubang pengetahuan yang tidak pernah digali oleh orang lain lagi. Oleh itu, hendak menjadi seorang pensyarah, tidak seharusnya lekas layu dalam menuntut ilmu. Jika kita berkeinginan terhadap sesuatu perkara itu, kita akan sentiasa mencari pelbagai jalan untuk mencapainya.

Lantas itu perlu adanya sebuah renungan dan muhasabah terhadap diri bahawa pengetahuan kita masih cetek manakala pensyarah yang mengajar sudah lama pun menguasai suatu ilmu pengetahuan itu (sudah tentu ia sudah bergelar mahir). Perlu ada kerendahan diri apabila menuntut ilmu daripada guru yang mengajar kita. Meskipun kadangkala ada khilaf dalam penyampaian mereka, tidaklah menjatuhkan pun ilmu pengetahuan mereka dan tidak pula jatuh hormat kita pada mereka.

Mengulangi juga asbab penambahan pengetahuan baru
Apabila saya mengulangi suatu topik itu, pasti saya akan temui suatu ilmu baharu yang belum saya pelajari sebelum ini. Terlepas mata dalam membaca. Padahal dalam tajuk yang sama sahaja. Sesungguhnya ilmu itu sangat luasnya. Dan pada hakikatnya kita tidak pernah pun akan memahami ilmu alam ini secara menyeluruh. Pasti ada hadnya yang bila difikirkan akan membawa kepada matinya akal. Pernah juga terfikir, mengapa perlu kita meneroka alam ini sedangkan pada akhirnya kita tidak pernah memahami pun bagaimana alam ini berfungsi? Hakikatnya, melalui fenomena-fenomena alam inilah yang membuka mata kita tentang kebesaran Allah. Bagaimana suatu sistem alam yang kompleks ini sungguh seimbang? Ia mematuhi suatu hukum dan suatu hukum yang lain, yang mana umumnya hukum alam. Hukum alam yang tunduk kepada Allah, maka Allah berkehendak untuk melakukan apa sahaja pada alam ini.

Hakikatnya andai kita sedar bahawa kita tidaklah tahu banyak benda pun lagi, sudah tentu mengulang suatu ilmu itu tidak perlu bersebab. Banyak juga ulama/ilmuwan islam dahulu yang banyak mengulang hafalannya. Mengapa tidak pula adanya kita?

- hh (30/8/2023)

Share:

Isnin, Ogos 28, 2023

Bagaimana ahli fizik mengesahkan kewujudan antihidrogen

Cincin Antiproton Tenaga Rendah (LEAR) di CERN PS (Gambar kanan).
(Foto oleh CERN 133.7.82)

Penghasilan antihidrogen yang pertama
Penghasilan atom antihidrogen yang pertama telah dijalankan di Low Energy Antiproton Ring (LEAR) CERN pada tahun 1995 lagi.

Cara eksperimen ini berfungsi adalah dengan menciptakan pasangan elektron-positron terlebih dahulu dengan menembak antiproton daripada pemecut kepada gugusan xenon.

Pasangan elektron-positron kemudian bebas untuk bergerak di dalam ruang vakum. Jika antiproton berlanggar dengan positron, ia boleh menangkap positron untuk membentuk atom antihidrogen. Cuma kebarangkalian kes antiproton menangkap positron adalah sangat rendah, kira-kira \(10^{-19}\). Ini bermakna ia memerlukan sejumlah besar antiproton dan positron untuk menghasilkan sebilangan kecil atom antihidrogen.

Komponen antihidrogen terdiri daripada antiproton dan positron.

Atom antihidrogen yang dihasilkan dalam eksperimen ini juga sangat bertenaga, atau "panas". Ini kerana ia dicipta dalam perlanggaran yang bertenaga tinggi antara antiproton dan positron. Atom antihidrogen yang agak panas sukar untuk dikaji kerana ia sentiasa bergerak dan berlanggar antara satu sama lain. Jadi ia kurang praktikal untuk dijadikan kajian secara mendalam. Walau bagaimanapun, ia adalah peristiwa penting dalam kajian antijirim kerana ia adalah kali pertama atom antihidrogen dihasilkan.

Apa benar itu antihidrogen, tuan..?                      Ya!!!
Semasa eksperimen yang dijalankan di LEAR, atom antihidrogen dapat dikesan melalui fenomena pemusnahhabisan (annihilation) di antara atom antihidrogen selaku antijirim dan jirimnya. Apabila atom antihidrogen berlanggar dengan atom jirimnya, kedua-dua atom itu memusnahkan satu sama lain dan melepaskan letupan tenaga. Letupan tenaga inilah yang dikesan oleh pengesan yang mengesahkan kehadiran antihidrogen.

Berlanjutan kemudiannya, ahli fizik mengesahkan antihidrogen dengan mengukur sifatnya dan membandingkannya dengan sifat hidrogen. Salah satu sifat yang paling penting bagi atom ialah spektrumnya, iaitu corak cahaya yang dipancarkannya apabila ia teruja (excited). Spektrum hidrogen terkenal dan telah dikaji selama bertahun-tahun. Pada tahun 2016, percubaan ALPHA di CERN dapat mengukur spektrum antihidrogen buat kali pertama. Keputusan menunjukkan bahawa spektrum antihidrogen adalah sama dengan spektrum hidrogen, yang merupakan pengesahan kuat bahawa antihidrogen adalah antizarah (antiparticles) bagi hidrogen.

Selain daripada membandingkan spektrum atom antihidrogen, ahli fizik juga mengukur sifat antihidrogen lain, seperti jisim dan casnya. Jisim antihidrogen adalah betul-betul sama dengan jisim hidrogen, dan casnya pula ada bertentangannya. Pengukuran ini juga mengesahkan bahawa antihidrogen adalah antijirim (antimatter) bagi hidrogen. Pengesahan antihidrogen adalah peristiwa penting dalam fizik. Ia memberikan bukti kukuh bahawa hukum fizik adalah sama untuk jirim dan antijirim. Ini penting kerana ia membantu menjelaskan mengapa alam semesta kebanyakannya terdiri daripada jirim dan bukan antijirim.

Beberapa eksperimen yang digunakan untuk mengesahkan antihidrogen,
  • Eksperimen ALPHA di CERN menggunakan perangkap Penning untuk memerangkap atom antihidrogen dan kemudian menggunakan laser untuk merangsangnya. Spektrum cahaya yang dipancarkan kemudiannya diukur.
  • Eksperimen ATRAP di CERN menggunakan teknik yang sama untuk memerangkap atom antihidrogen, tetapi ia juga menggunakan teknik yang dipanggil spektroskopi logik kuantum (quantum logic spectroscopy) untuk membuat pengukuran spektrum yang lebih tepat.
  • Eksperimen ATHENA di CERN menggunakan teknik berbeza yang dipanggil mikroskop fungsi gelombang antijirim (antimatter wave function microscope) untuk mengambarkan atom antihidrogen. Eksperimen ini dapat memerhati secara langsung atom antihidrogen dan mengukur saiz dan bentuknya.
Nota kaki:
[1] Antiproton Accumulator (AA) dibina pada tahun 1979 dan 1980, untuk pengeluaran dan pengumpulan antiproton. AA ialah gelang simpanan yang boleh mengumpul antiproton daripada Proton Synchrotron (PS) dan kemudian memindahkannya ke Cincin Antiproton Tenaga Rendah (LEAR) untuk eksperimen. AA telah dihentikan pada tahun 1997, dan fungsinya telah diambil alih oleh Antiproton Decelerator (AD). AD ialah nyahpecutan yang lebih berkuasa daripada AA, dan ia boleh memperlahankan antiproton kepada tenaga 5.3 MeV.
[2] Kelompok xenon dicipta dengan menyejat gas xenon ke dalam ruang vakum. Kelompok xenon digunakan untuk menghasilkan pasangan elektron-positron kerana ia mempunyai sejumlah besar elektron yang boleh berinteraksi dengan antiproton.

Sumber Rujuk:
[1] (1982). CERN: More 540 GeV proton-antiproton results, LEAR is near. CERN Courier, 22(7), 272. (iaea.org)
[2] V. Chohan et al., "Beam measurement systems for the CERN antiproton decelerator (AD)," PACS2001. Proceedings of the 2001 Particle Accelerator Conference (Cat. No.01CH37268), Chicago, IL, USA, 2001, pp. 2302-2304 vol.3, doi: 10.1109/PAC.2001.987359.
Share:

Ahad, Ogos 27, 2023

Membina tradisi beretika dalam kalangan prasiswazah

Penulis berbaju kemeja dan bertali leher biru
semasa menjalankan eksperimen fizik. (1 Disember 2022)

Jika anda bertanya dengan rakan sekuliah saya, mereka mungkin mengecam seorang jejaka unik (eceehh) yang memakai baju kemeja, bertali leher, berseluar slack, dan berkasut kulit ketika menjalankan eksperimen di dalam makmal fizik. Sehinggakan ditegur oleh pensyarah sendiri kerana berpakaian begitu formal, "Ada apa harini?". Ditanya oleh rakan sekuliah lagilah berpuluh kalinya, sehinggalah tidak ditanya lagi apabila sudah menjadi rutin. Persoalannya, mengapa?

Jarang untuk melihat pelajar prasiswazah untuk memakai pakaian formal sedemikian melainkan anda seorang pensyarah di universiti ini. Kebanyakan pelajar hanya memakai baju tshirt biasa mahupun jaket "hoodie" sebagai pakaian makmal mereka. Adapun seberapa pihak pengajian fizik yang mensyorkan pemakaian kot makmal bagi sesiapa yang sukarela dan mampu. Boleh saya katakan, pusat pengajian saya paling banyaknya merenggangkan garis panduan yang ada. Sudah sepatutnya menjadi akal budi untuk kekal berertika.

Sememangnya saya ada sebab tertentu bahawa terhadap diri saya sendiri ia adalah cara saya mengekalkan kemahiran untuk bersiap dan berkemas dalam pemakaian formal. Tidak mahu sekiranya ia berkarat dalam minda saya. Semasa saya berada di peringkat pra-universiti, pemakaian formal ini adalah diwajibkan semasa kuliah, tutor mahupun makmal. Cumanya pada peringkat sekarang, tradisi yang saya tinggalkan adalah pemakaian kot makmal. Saya memikirkan tiada keperluan untuk berpakaian kot makmal apabila melibatkan diri dalam eksperimen yang jarang benar ada cecair bahan kimia yang mana boleh menyebabkan sebarang pencemaran atau percikan darinya. Kebanyakan eksperimen fizik yang saya jalani melibatkan kegunaan peralatan kering. Jadi pemakaian kemeja sudah memadai.

Terhadap orang sekeliling pula, ia adalah cara kita memperlihatkan tabiat kita. Bila bajunya kemas tidak berkedut, lengkap pemakaian formalnya, orang sekeliling akan menilai diri kita dengan baik tanpa kita perlu mengatakan bahawa kita ini seorang yang rajin, kemas dan tertibnya. Manakala dengan sikap berhadapan atau berurusan dengan orang akan menjadikan kita lebih yakin. Inilah antara falsafah yang saya bawa ketika berpakaian semasa menjalankan eksperimen.

Terhadap universiti, ia adalah usaha saya untuk membina semula tradisi dalam berertika (yang sebenarnya). Bukan kerana pembudayaan di universiti, tetapi saat kita bekerja juga nanti. Teringat saya dalam buku "Atomic Habits" bahawa untuk mengekalkan tabiat yang berkekalan, kita perlu memberikan tumpuan kepada mencipta identiti terlebih dahulu. Setiap tingkah laku semasa kita adalah cerminan identiti semasa kita. Sebab apa yang kita lakukan sekarang ialah imej cerminan jenis orang yang kita percaya kitalah dirinya. Misalnya, anda ingin menjadi seorang doktor, jadi bersikaplah sebagaimana seorang doktor. Jika hendak menjadi seorang ahli fizik, maka bersikap dan bergaya seperti ahli fizik. Identiti akan muncul daripada tabiat yang kita bina.

Namun, saya tidak meletakkan tradisi ini sebagai kewajipan yang perlu saya pakai selalu. Dalam satu sidang akademik mungkin sekali atau dua saya berpakaian jaket sahaja. Mungkin akan ada orang yang mempersoalkan, mengapa tidak 'budaya' beretika? Saya jawab, mengapa perlu? Bukankah pembudayaan dalam beretika sewajarnya wajib dibuat? Jika hilang nilai etikanya, maka ranap juga sebuah makna 'universiti' itu juga. Maka yang ada hanyalah untuk menambahbaik nilai diri kita dengan membuahkan tradisi-tradisi yang baik.

Kini saya tujukan soalan buat pembaca, jadi bagaimana pula pembaca mencorak identiti diri?

- hh (27/8/2023)

Penafian: Ingat jangan pakai fonkepala apabila berurusan/berhadapan pensyarah. Pakailah ketika diluar keadaannya. 

Share:

Sikap Sukar Memaafkan orang lain

Adapun saya melihat sebilangan orang itu sukar hendak memaafkan diri sendiri mahupun orang lain. Oleh sebab yang bersangkut-paut dengan hidupnya ataupun mungkin juga yang membawa malang yang besar sehingga mempengaruhi hidupnya kini. Reda-lah ke atas ketentuan Tuhan, dan terletaklah pada diri hendak reda atau tidak ke atas perbuatan terkutuk orang lain itu. Namun, saya katakan bahawa sikap orang mukmin itu adalah memaafkan orang lain dan biarlah Tuhan menentukan akan nasib orang yang menganiaya itu. Tahu benar ke mana hendak ia pergi. Malang pula diri orang itu jika tidak berterbit hidayah dalam dirinya. Namun siapakah yang mahu menghantar manusia ke neraka?

Mulakanlah dengan memaafkan sekecil-kecil perkara dalam hidup. Sedikit demi sedikit akan kita lihat bahawa memaafkan hal yang kecil itu sebenarnya besar kesannya pada diri walaupun ia sekadar kata "maaf" atau sekadar dalam hatinya sahaja. Bila sudah lapang hatinya, doalah semoga Allah memberinya taufik hidayah kepadanya. Semoga kita sama-sama masuk ke syurga Allah SWT kelak.

Kemaafan adalah satu jalan kita meraih ketenangan dalam hidup dan mengubati hati yang sakit.

- hh (12/2/2023, 12:57 PM)

#CatatanTerbitanSemula
Share:

Peranan foton & gluon di dalam atom

Penambatan elektron dan nukleus di dalam atom adalah disebabkan oleh daya elektromagnet dan foton yang menjadi pengantara bagi daya elektromagnet ini. Tugas foton sebagai pengikat di antara elektron dan nukleus. Foton ialah zarah asas cahaya dan sinaran elektromagnet. Mereka adalah pembawa daya elektromagnet dan tidak mempunyai jisim.

Gluon ialah zarah asas yang menjadi pengantara daya nuklear yang kuat, yang bertanggungjawab untuk mengikat kuark bersama-sama untuk membentuk proton dan neutron di dalam nukleus. Gluon adalah unik kerana ia membawa daya kuat itu sendiri.

Dalam konteks atom, gluon tidak terlibat secara langsung dalam interaksi antara elektron dan nukleus atom. Gluon memainkan peranan penting dalam struktur nukleus atom, memastikan kuark diikat bersama untuk membentuk proton dan neutron. Kehadiran gluon di dalam nukleon adalah lebih besar daripada kehadiran foton di dalam atom.
Share:

Fikr Subuh: Mendefinisikan kebahagiaan dalam bekerja

"Apa engkau bahagia dengan pekerjaan yang engkau jalani sekarang?", Si A tujukan soalan pada Si B.

Soalan yang mudah sahaja dijawab, iaitu ya ataupun tidak. Namun, lama yang difikirkan Si B ini kerana serba tahu bahawa Si A ini panjang akalnya; tahu filsafat yang ingin dibawa. Sekiranya salah cara jawabnya, maka ditalu pula persoalan yang lebih tajam. Boleh jadi malang atau bahagia pula pemikirannya selepas itu kerana sudut baru yang dibawa oleh Si A ini.

"Erm, Ya", jawabnya Si B seperti ada serba kurangnya. Lebih yakin dengan tidaknya.

"Bagaimana engkau mendefinisikan bahawa engkau bahagia bekerja?", soalan kedua dari Si A seperti yang dijangka oleh Si B.

Hakikatnya, Si A juga dalam mencari petunjuk dalam meletakkan definisi apakah yang dimaksudkan kebahagiaan dalam bekerja itu.

"Maksud aku, gaji aku cukup. Cukup buat makan isteri dan anak-anak. Dengan pekerjaan yang ada, dapat aku menyara keluarga sendiri. Kurang tekanan kerja yang melampau, jika selesai tugasku maka aku balik. Tetapi balik bekerja itu ada penatnya juga, A. Isteri dan anak-anaklah yang membahagiakanku bila aku pulang. Hilang pula rasa penat yang menimpa itu. Di waktu hujung minggu adalah waktu kami bersama sepenuhnya, menjadi penantian aku setelah berhari-hari kerja.", kata Si B dengan panjang lebarnya dalam meletakkan makna kebahagiaan dalam bekerja itu sendiri.

Si A pula hanya berwajah tenang, selapang dadanya menerima pendapat orang lain. Begitulah perbualan orang laki-laki, kadang berupa berat namun tidaklah menjaga tepi kain orang kerana berat lagi menjaga kain sendiri.

"Jadi kau memikirkan bahawa kebahagiaan dalam bekerja adalah cukup bergaji? Kurang tekanannya serta dapat bekerja?", balas Si A. Beliau bukan mempersoalkan namun hendak mendapatkan kepastian bahawa itulah apa yang ingin disampaikan oleh sahabatnya itu, Si B.

Sambung terus Si A tanpa menanti jawapan sahabatnya itu, "Tidakkah kau sedar sahabat bahawa kau bekerja hakikatnya sekadar bekerja? Cukup masanya kau terima gaji. Andailah aku memperkatakan bahawa tidak cukup gajinya, dan tekanan pula tinggi hendaknya. Apakah kau masih lagi bahagia dalam bekerja? Kerana kau masih lagi bekerja? Sehendaknya kau bahagia lagi bukan? Lantas kau melepaskan angin kencang pula bila berpulangan dari rumah. Bertempias pula pada isteri dan anak-anak engkau.

Kau suka dengan apa kau kerjakan bukanlah menjadi soal utama. Sebaliknya, ketelusan, keikhlasan dan kesabaran sepatutnya menjadi sandaran kau bekerja. Jika ada ketiga-tiga ini, bahagialah apa yang kau kerjakan dalam hidup ini! Meskipun bandai ombak menghentam waktu kau bekerja. Tidak sekalipun kau berundur malah bekerja seribu tahun lagi pun!

Ada orang, kerjanya hanya menulis keratan akhbar. Dalam bekerja mahupun luar bekerja. Namun kerana sukanya, ia tetap menulis. Walau sukar hidupnya masa itu, kecil gajinya. Tekanannya ada namun dia bahagia kerana sabarnya. Ikhlasnya dalam bekerja kerana satu tuntutan. Keluarganya pun hidup dengan keterimaannya, melengkapi apa yang kurang itu pula. Senyumnya merdeka pula tu.

Penat dalam bekerja sememangnya ada. Itulah pakej apabila bekerja. Melihat penat dalam bekerja itulah yang membezakan kebahagiaan orang dalam bekerja. Ada orang penat bekerja, di rumahlah tempat ia melepaskan lelahnya. Ada orang penat bekerja, namun penatnya tidak terasa. Riang kerjanya itu dikongsi pula apabila berpulangan dari rumah. Pekerjaan yang baik adalah pekerjaan yang mampu membina diri yang lebih baik. Bukanlah menjadi kekurangan akan diri apatah lagi membebankan. Bukan pula menjadi pekerja yang sekadar bekerja. Ia melengkapkan hidup.

Demikianlah juga bagaimana kita meletakkan ibadah dalam hidup ini. Kita melakukan ibadah sepanjang kita hidup di dunia ini. Jika melakukan ibadah hanya sekadar perbuatan maka hilang makna 'ibadah' itu. Apa yang dimaknakan ibadah yang sebenar itu adalah apabila kita mengikuti aturan dan hukum Allah dalam setiap langkah dan keadaan kita. Andai setiap pergerakkan yang dilakukan dengan niat yang betul, itulah yang dikatakan ibadah. Kebahagiaan dalam beribadah akan tercapai jika kita telus, ikhlas dan sabar dalam melaksanakannya, meskipun seribu tahun lama lagi. Jika kita meletakkan setiap pekerjaan kita hanya kerana Allah SWT, demikian jugalah suatu ibadah."

Si B, tergamam dengan jawapan sahabatnya itu. Kemudian teringat pula beliau dengan kata-kata HAMKA.

"Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja", ucap Si B.

- hh (7:49 AM; 27/8/2023)
Share:

Jumaat, Ogos 25, 2023

Usaha penyepadanan antara fizik nuklear, fizik zarah dan fizik atom

Fizik nuklear ialah cabang sains yang merangkumi kajian nukleus atom dan lebih melihat proton dan nucleus sebagai satu komposisi nukleon. Berlainan dengan fizik atom, yang mengkaji struktur atom secara keseluruhan, termasuk elektronnya. Fizik zarah pula berkembang daripada fizik nuklear dan kedua-dua bidang itu biasanya sentiasa diajar berkait rapat. Oleh sebab itu, pada peringkat prasiswazah rata-ratanya kursus pengajian disatukan sekali, i.e. "Fizik Nuklear dan Fizik Zarah".

Banyaknya ahli fizik mengatakan bahawa fizik nuklear ini lebih kepada melihat pada tahap struktur nukleus sahaja beserta interaksi terhadapnya berbanding struktur proton dan neutron secara terperinci. Sebaliknya pula fizik zarah atau juga dipanggil fizik bertenaga tinggi membuat kajian terhadap zarah asas dan daya yang membentuk jirim dan sinaran. Zarah asas adalah zarah yang tidak boleh dipecahkan kepada zarah yang lebih kecil. Contoh pada marcapada ini, kuark, elekron dan beberapa zarah lain (termasuk antizarahnya sekali) merupakan contoh zarah asas. Proton dan neutron pula bukan merupakan zarah asas kerana ia juga terbentuk daripada kuark. Jadi untuk lihat secara mudah bahawa struktur makro atom lebih mendapat tempat dalam fizik atom, manakala struktur mikro atom banyak difokuskan dalam fizik zarah. Perbandingan ini dapat kita lihat seperti di bawah,

Fizik atom > Fizik nuklear > Fizik zarah

Namun, sesetengah ahli fizik tidak meletakkan saiz struktur atom sebagai indikasi penyepadanan tiga kajian fizik ini, sebaliknya lebih menentukan melalui skala tenaga. Menurut saudara humanino dari forum fizik (2011) bahawa peralihan antara bidang berlaku sekitar 100 MeV kepada beberapa GeV yang digunakan. Apabila kita berurusan struktur yang lebih kecil iaitu neutron, proton dan elektron (untuk menjana atau membentuk zarah asas lain melalui pertembungan), kita memerlukan tenaga yang tinggi kerana secara eksperimen seseorang memerlukan tenaga yang sangat tinggi bagi memisahkan "zarah asas" ini. Perbandingan tenaga yang digunakan berdasarkan kegiatan penyelidikan umum bidang masing-masing ini boleh dilihat seperti di bawah,

Fizik zarah > Fizik nuklear > Fizik atom

Fizik atom berurusan dengan skala tenaga yang jauh lebih rendah berbanding experimen yang dijalankan oleh fizik zarah, yang melibatkan tenaga yang lebih tinggi disebabkan penyiasatan zarah asas dan interaksinya. Skala tenaga yang biasanya terlibat dalam fizik atom adalah mengikut susunan elektronvolt (eV), yang sangat kecil berbanding dengan tenaga makroskopik. Bagi fizik zarah pula, tenaga yang terlibat dalam eksperimen biasanya diukur dalam unit gigaelectronvolts (GeV) atau juga teraelectronvolts (TeV), yang merupakan susunan magnitud yang lebih tinggi daripada tenaga yang terlibat dalam fizik atom.

Di Malaysia, kita ada Jabatan Agensi Atom dan juga Agensi Nuklear Malaysia. Kedua-duanya agensi ini di bawah kelolaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Kita juga ada Pusat Fizik Zarah Kebangsaan (NCPP) yang ditubuhkan pada tahun 2013. NCPP terletak di Universiti Malaya dan penyelidikan utamanya berkaitan dengan fizik zarah eksperimen dan teori, fizik tenaga tinggi, teori kerelatifan am dan pengesan graviti, analisis data fizik zarah, dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

Walaupun keadaan penyepadanan ini masih kabur namun kita sehendaknya mempunyai satu ketetapan yang jelas. Dengan pembacaan secara permukaannya ini, dapatlah kita lihat bahawa sempadan yang sudah ralit menjadi indikasi adalah dari segi saiz struktur yang dikaji dan skala tenaga yang digunakan dalam eksperimen. Apapun usaha ini akan terus diambil maklum.

– hh
Share:

ENGKAU TELAH MERDEKA!


Aku hanyalah kanak tersisih,
Abjad kubaca di papan tanda,
Angka kukira di wang ringgit,
Bunyi kudengar disisir jalan.

Aku sebahagian dari hiasan kota,
Kulihat kaki-kaki bangsawan berjalan.
Berjabat tangan; Senyumnya merdeka.
Pahit kopi; Manis rotinya mereka telan.

Aku juga seorang pemikir miskin.
Kadang ilham Tuhan dapat kupersoalkan.
Apa aku sekadar mayat yang dibiarkan?
Atau jiwa-jiwa mereka sebenarnya telah mati?

Mungkin aku masih hidup; berhamba.
Aku berfikir, maka aku ada.
Sekadar tidak diikat; dibayar.
Aku percuma, nilaiku pada gambar.

Seorang lelaki berhenti.
Pelawaannya sekeping kertas.
Oh, mungkin ini rasanya bebas.
Sebaris tajuk, tiga perkataan yang telah kau baca.

- hh (7:58AM, 25/8/2023)

Share:

Khamis, Ogos 24, 2023

Bila saya menulis ini, saya akan mengingati mati.

Bilik penulis pernah diserbu peminat ketika
beliau sedang menulis blog, 9 Feb 2023.

Tidak ada penulisan di dunia ini yang tidak ingin dibaca. Sehendaknya tujuan di sebalik penulisan adalah untuk dibaca, meskipun hanya untuk dirinya sahaja. Namun, alamatnya menulis itu boleh datang dari niat yang berbeza. Jika baik niatnya itu, baik juga penulisannya. Begitu juga sebaliknya. Demikian beruntunglah orang-orang yang menulis dengan penuh hikmah dan bijaksana. Hikmah yang mereka bawa di dunia ini akan menghasilkan untung di 'sana' kelak. Ketika saya menulis perihal ini, kematian akan sentiasa melintasi fikiran saya. Tidak ada harta yang saya wariskan untuk umat ini melainkan hanya beberapa catatan picisan. Oleh kerana itu, saya memikirkan bahawa ada seberapa untung juga kita berada di zaman ini kerana memiliki kemudahan untuk kita berkongsi penulisan kita dengan misalnya melalui media sosial walau banyak juga mehnahnya. Sebagaimana seseorang individu itu pun, tidak ternama, tidak mempunyai anugerah, jika membawa sebuah warkah penulisan yang bermanfaat maka tinggi pula darjatnya itu di sisi Allah SWT.

Orang seperti saya tidak memiliki kekuatan untuk melakukan amal ibadah dengan tekun terutamanya tanpa pertolongan Allah SWT. Lantas itu, saya banyak menghabiskan waktu dalam penulisan dan pemikiran yang Tuhan anugerahkan, dengan harapan memberikan manfaat pada umat. Sesungguhnya, hidup ini tidak hanya dinilai berdasarkan hikmah yang didapat, tetapi juga tentang nilai yang diberi.

Penulisan dan pembacaan adalah cara untuk kita membuahkan penyelesaian dalam hidup tatkala menghadapi berbagai isu, baik masa kini mahupun masa lalu. Itulah seruan Tuhan, "Iqra!" (Bacalah!). Apakah diselesaikan atau tidak itu tergantung pada diri masing-masing yang ingin mengubah nasibnya ataupun tidak. Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri.

Sebuah idea yang tidak digerakkan hanyalah kekal sebagai sebuah idea semata. Namun, sekiranya penulisannya itu membawa manfaat bahkan mampu mengubah masyarakat ke arah lebih baik, orang-orang seperti itu akan  mendapatkan keberuntungan di akhirat. Sekalipun dampaknya hanya sedikit! Seperti titisan nila yang tumpah mampu mengubah sifat susu seluruhnya.

Akan sampai suatu masa nanti, saya akan pergi. Maka, sampai masa kesunyianlah penulisan-penulisan di blog ini tanpa kehadiran penulisnya lagi. Benar saya berharap bahawa pembacalah yang akan menjadi peneman setianya nanti. Tidak ada harapan yang lebih besar bagi saya selain memberikan manfaat pada orang walau hanya seorang. Dan seorang itu sudah cukup berharga jika ia menghargai seluruhnya. Oleh demikian, saya mengucapkan terima kasih buat pembaca setia blog ini, termasuk yang membaca dalam diam. Semoga blog ini akan belayar lebih jauh dalam ombak dan denai kehidupan. Inilah catatan penaku yang berusaha meraih kesederhanaan dalam kehidupan.

- hh (Sepang, 24/8/2023).
Share:

Rabu, Ogos 23, 2023

Kedudukan kita berdiri dalam hierarki Jemaah dan Ummah

Di manakah letak kedudukan kita dalam Jemaah dan Ummah?
Di manakah letak kedudukan kita dalam Jemaah dan Ummah?

Perlulah kalian tanya pada diri sendiri, "di manakah letaknya saya dalam kerangka Jemaah dan Ummah ini?" Jika dirinya hanya berteguh pada Jemaah, maka tergadailah Ummah kerana tidak memperoleh amar makrufnya; dakwah agamanya. Jika kita hanya berdiri di atas Ummah dan menolak konsep Jemaah, maka malanglah hidup kita. Bagaikan biri-biri yang terasing dari kumpulannya, jika sesatnya ia manakan hendak mencari jalan pulang?

Konsep Berjemaah Sebagai Sunnahtullah
Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing. Kumpulan nelayan perlukan kumpulan petani. Bahkan kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak. Cukuplah satu pinggan hidangan yang memenuhi keperluan perut sendiri. Demikianlah, keperluannya satu kumpulan dengan yang lain dalam saling membantu mengisi keperluan sesama kita.

Islam itu agama fitrah, meletakkan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya. Peranan manusia sebagai khalifah adalah untuk mengimarahkan hablun minannas. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjemaah. Kita dituntut solat berjemaah, hidup bermasyarakat. Ini berlaku secara harmoni, kerana ia adalah fitrah manusia.

Maka, setiap individu ada tuntutannya dalam jemaah, begitu juga ummah, mengabaikan salah satunya alamatnya seakan tidak lengkap atau tidak sempurnalah perjuangannya. Maka ada keperluan mengapa isu ini harus ditekankan kerana tidak semua orang menyedari akan kedudukkannya dalam kerangka jemaah dan ummah. Kadangkala ada sesetengah orang lebih menekan ke dalam jemaah sehingga mengabaikan keperluannya dalam tuntutan ummah. Ada pula sesetengah orang lebih menjurus kepada tuntutan ummah sehingga mengabaikan keperluannya berada dalam jemaah. Perkara ini akan mengganggu gerak kerja dan menjadi isu yang berpanjangan.

Pentingnya Tidak Bersifat Taasub di antara Jemaah dan Ummah
Setelah kita bertetapanlah diantaranya itu. Janganlah kita bersifat Taasub pula. Kerana kelak yang dipersalahkan bukanlah SIKAP dan PEMIKIRAN TAASUB itu sendiri, tetapi konsep berkumpulan dan berjemaah yang akan menjadi mangsa peluru sesat dalam kalangan masyarakat sekeliling kita. Oleh sebab itu konsep Jemaah sangat kurang diraikan dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) sekarang, sehingga memberi larangan kepada badan-badan persatuan hendak melakukan usrah atau amal jamie'. Sesetengah daripada mereka, berpandangan bahawa jemaah islam di kampus ini akan membawa kepada idea-idea yang ekstrem/tidak sehaluan serta progresif yang berkebarangkalian mencabar dasar-dasar pentadbiran universiti. Ironinya, Jemaah Islam sendirilah yang membawa kepada pembangunan Islam di negara ini. Misalnya IRC, JIM, ISMA, HALUAN mahupun IKRAM. Bahkan, berjemaah itu bukan sahaja tuntutan syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnahtullah. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan.

Sikap Terlalu Renggang atau Bermusuhan di antara Kumpulan/Jemaah
Lemahnya badan-badan Islam di kampus kita hari ini adalah kerana tidak ada ukhuwah Islamiyyah antara satu dengan lain. Kita terlalu mengutamakan ideologi jemaah persatuan sendiri sehingga mengabaikan tuntutan penyatuan Ummah di dalam rangka kampus. Sikap terlalu renggang atau bermusuhan di antara kumpulan/jemaah Islam hanya membawa kepada pertelingkahan (kegeseran). Malah kadangkala badan persatuan Islam inilah yang akan menerima padah sehingga menjadi seperti Pak Pandir yang menang bersorak, tetapi kampungnya tergadai. Maka dilihatlah badan-badan persatuan Islam tumbang di kampus-kampus, dan berleluasalah maksiat dan hedonisme sebagai budaya kampus hari ini. Tiada lagi amar makruf dan nahi mungkar, hasil kesalahan sendiri yang mempertaruhkan kampung, semata-mata hendak memenangkan ayam laga masing-masing.

Hakikat Tabiat Jalan Dakwah & Kritikan Didengar ada, Dipakai tidak
Jika di dalam soal kehidupan dan keperluannya, manusia hidup secara berjemaah, maka apatah lagi untuk urusan-urusan menegakkan agama Allah. Para pimpinan yang saya kasihi sekalian, tujuan dakwah bukan sahaja dituntut melaksanakan perkara-perkara yang baik, malah kita juga diperintahkan oleh Allah supaya menjauhi larangan-Nya. Apabila kita bertanggungjawab terhadap dakwah, maka kita perlu akur kepada tabiat jalan dakwah itu, persoalannya, bagaimana itu tabiat jalan dakwah? Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Luqman (31) ayat 17,

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

yang bermaksud,

"Wahai Anak Kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."

Melalui firman Allah ini, dapat kita renung bahawa mehnah dan tribulasi itu sememangnya akan menimpa kita apabila bergerak kerja dalam dakwah. Ironinya, banyaknya diantara kita hanya berani mengungkapkan kata-kata mehnah dan tribulasi dakwah ini di dalam medan usrah/halaqah kita, namun hakikatnya berapa ramai diantara kita yang benar-benar berpijak di bumi dakwah ini. Berapa ramai diantara kita yang lantang suaranya tatkala sahabat-sahabat kampus kita bermaksiat di hadapan mata? Berapa ramai pula diantara kita yang tidak berani menegur akan kemungkaran yang sahabat-sahabat kampus kita lakukan demi menjaga hati sahabat kita itu? Atau menjaga nama kita? Atau menjaga nama persatuan Islam ini? Maka, mana pula letaknya nama agama Islam? Benarkah kita berpijak di jalan dakwah atau sekadar kata-kata semangat mengajak berdakwah tatkala mengisi agenda dalam liqa' (perjumpaan) kita sahaja? 

Sedarlah bahawa hakikatnya diri kita orang-orang yang lemah! Kita hanya berani di media sosial, berapa banyak pula diantara kita sememangnya turun di lapangan kampus bagi menjalankan amar maaruf nahi mungkar? Sebab itu ada keperluannya kita bergerak dalam satu Jemaah, bersama-sama. Persatuan Islam ini adalah jalannya. Bukan sahaja mengajak kebaikkan namun juga mencegah kemungkaran! Berbeza orang yang berdakwah secara dalam media sosial dan bersemuka. Sedangkan Rasulullah keluar dari zon selesa untuk mengajak manusia, para sahabat merentasi padang pasir dan melewati gunung untuk bertemu dengan manusia. Mereka berbicara dengan manusia lain secara berdepan dan berhikmah. Perkara inilah yang menuntut pengorbanan. Inilah saya kira pengorbanan yang kian hilang dalam diri kita. Kerana aspek dakwah ini, bukan sekadar isinya sahaja, tetapi cara isi itu disampaikan. Rasulullah amat mementingkan keperluan Jemaah dan Ummah. Bagaimana cara baginda menyampaikan tarbiah dalam kalangan sahabat baginda, kemudian mereka menyampaikan dakwah dengan berhadapan Ummah. Tidak lengkaplah sebuah tuntutan dakwah tanpa ada pengorbanan di dalamnya.

Kepentingan Jemaah sebagai pelopor dakwah kepada Ummah
Para pimpinan yang dikasihi Allah sekalian, jangan disebabkan memberi keutamaan pada Jemaah, kita menyesakkan tuntutan Ummah dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah. Dan jangan disebabkan keutamaan pada Ummah, sehingga kita mengadaikan tuntutan Jemaah kita sendiri. Oleh kerana dakwah mempunyai sedemikian rupa, maka ia sekali lagi memerlukan kepada manusia yang memelihara fitrah diri mereka, iaitu melakukannya secara berjemaah. Maka tanggungjawab kita untuk merancang, membuat keputusan, melaksanakannya dan teguh terhadap kesan dakwah itu, secara berjemaah. Dalam erti kata lain, keperluan dakwah melalui jemaah bukan sahaja datang dari perintah Allah, malah melakukan dakwah secara berjemaah adalah fitrah. Semua orang perlu sedar bahawa dirinya dan jemaahnya adalah sebahagian daripada Ummah. Di dalam ruangan ummahlah sepatutnya jemaah-jemaah ini berdiri bersatu padu menjalankan amar makruf nahi mungkarnya. Maka seruan saya terhadap diri sendiri dan sahabat-sahabat, dengan firman Allah SWT dalam surah Asy-Syura (42) ayat ke 13,

أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ
yang bermaksud,

"Tegakkanlah pendirian agama, dan jangan kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya."

Persatuan Islam ini adalah satu wadah dakwah Islam yang sudah lama menjadi tempat untuk kita memperkukuhkan Jemaah kita, dan luarannya juga terhadap Ummah dalam menyebarkan tuntutan dakwahnya. Bersikap adillah terhadap kedua-duanya, yakni Jemaah dan Ummah dengan baik. Berdirilah kita diantara kedua-duanya dengan adil.

Jadi persoalan saya, "di manakah kedudukan kita dalam kerangka Jemaah dan Ummah?"

- hh (Sepang, 23/8/2023)
Share:

Selasa, Ogos 22, 2023

Siri I: Merdekakan fikiran terpenjara, hubaya penjajahan minda

Kemerdekaan fikiran –kebebasan manusia menurut fitrah
Kemerdekaan; kebebasan manusia menurut fitrahnya, manusia itu lahiriah sudah merdeka luaran (fizikal) dan merdeka dalaman (emosi, mental, spiritual). Umar bin al-Khattab pernah mengungkapkan, "Sejak bila kamu memperhambakan manusia, sedangkan ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?". Sebagaimana bayi yang baru dilahirkan ke alam dunia itu bersih dari segala dosa, baik dosa antara sesama mahupun dosa kepada pencipta-Nya, begitu jugalah fikirannya yang bebas daripada hal yang buruknya. Menempuhi kehidupan di dunia ini diibaratkan seakan menempuhi jalan yang berduri. Dunia ini adalah tempat ujian. Daripada kesucian akal fikiran seorang insan, lahirnya di dunia ini harus dipelihara fikirannya agar kekal merdeka. Merdeka daripada tersusuk –'duri-duri' yang bertentangan dengan perintah dan larangan Allah SWT. Menurut Ustaz Juoi, fikiran yang merdeka ialah fikiran yang terikat dengan akidah, syariat, dan nilai akhlak. Dalam surah Al-Insan, ayat ke-2 Allah SWT menjelaskan,

"Sesungguhnya Kami menjadikan insan daripada benih yang bercampur serta Kami mengujinya. Kami berikan kepadanya pendengaran dan penglihatan."

Allah SWT memberi kemampuan mendengar, melihat sebagai asasnya untuk berfikir. Asasnya berfikir adalah zikir. Zikir merujuk kepada tiga makna asas iaitu menyebut, mengingat dan memuji (al-Shirazi, 2001).  Menurut ahli bahasa pula, ejaan zikir dan al-Dhikr membawa maksud suatu perbuatan mengingati, memuji dan berdoa kepada Allah SWT yang dilakukan secara berulang-ulang. Akal fikiran yang diasaskan oleh zikir, akan membawa pemikiran yang mengakui kewujudan Allah SWT (bertauhid) beserta merasai akan keagungan-Nya. Fikiran yang jernih hanya dapat dihasilkan oleh jiwa yang bersih. Mencapai jiwa yang bersih adalah melaksanakan amal ibadah yang baik.

Dalam surah Ali 'Imran ayat 190 hingga ayat 191, Allah SWT memuji mereka yang suka berfikir dan berzikir; menggelar mereka sebagai Ulul Albab. Mereka adalah yang mempunyai akal yang sempurna dan akal fikiran yang merdeka (bersih). Akal yang sempurna itu adalah dari segi cara ia berfikir dan menilai sesuatu perkara adalah betul berpandukan kepada agama (Imam Ibnu Kathir, Kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim). Allah menjelaskan golongan Ulul Albab ini,

"Mereka berzikir (mengingati Allah) ketika berdiri, duduk, dan berbaring, dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi."

Lahirnya manusia ke dunia ini bersebab, yakni untuk beribadah kepada Allah SWT. Tiada kekuasaan satu-satu manusia itu memilih warna kulitnya, bangsanya, atau agamanya. Manusia yang merdeka fikiran dari azalinya sehinggalah di hujung akal itu pasti menemui pangkal agamanya (kebenaran). Fikiran yang merdeka sentiasa terarah kepada kebenaran dan kebaikan. Oleh hal demikian para rasul tidak pernah memaksa umat mempercayai syariat yang mereka bawa. Sebaliknya, para rasul itu membawa umat mereka kepada kebenaran dengan menyuruh mereka berfikir.

Misalnya umat Nabi Ibrahim AS adalah penyembah-penyembah patung berhala. Apabila Nabi Ibrahim AS menghancurkan keseluruhan patung berhala dengan meninggalkan satu patung berhala paling besar di dalam rumah pemujaan, terkejut benarlah masyarakat di situ apabila kembali. Mereka mengesyaki Nabi Ibrahim AS yang melakukan perbuatan itu. Justeru itulah baginda terus ditangkap. Nabi Ibrahim AS menafikan perbuatan itu, dan menyatakan bahawa patung besarlah yang melakukannya. Baginda bukanlah menyakini bahawa patung-patung itu mampu berkata-kata, sebaliknya baginda mahu mengajak kaum baginda untuk berfikir. Demikianlah, tuntutan Nabi Ibrahim AS ke atas umatnya, meminta berhala-berhala tersebut memberikan jawapan yang diperlukan.

Fikir mereka dengan baiknya, sekirannya benar patung berhala tersebut Tuhan, manakan ia pecah dan jatuh tersungkur, apatah lagi tidak mampu berkata-kata? Terjentiklah minda mereka (hanya untuk sejenak), sememangnya tidak masuk akal. Namun, disebabkan hawa nafsu dan kesombongan yang menjajah akal fikiran mereka, terhentilah hidayahnya sampai di situ sahaja. Kaum Nabi Ibrahim AS pun terus berada dalam kesesatan. Begitu besarlah kemurkaan Allah SWT adalah apabila tidak sekalipun dijentik dalam hati mereka untuk diberi petunjuk. Begitulah, mereka, golongan yang sudah terpenjara pemikirannya oleh kehendak nafsu yang jahat dan kotor. Tidak merdekalah fikiran mereka! (Kisah tentang Nabi Ibrahim AS ini dapat kita baca dalam Al-Quran, iaitu dalam surah Al-Anbiyak, ayat 51 hingga ayat 70).

Hal yang sama berlaku pada Raja Namrud yang mengakui bahawa dirinya Tuhan. Sehinggalah Nabi Ibrahim AS mengajaknya untuk berfikir. Nabi Ibrahim AS berkata,

"Allah, Tuhanku, Dia berkuasa menyebabkan matahari  terbit dari sebelah timur. Jikalau kuasa kamu sehebat itu, sila jadikan matahari itu terbit dari sebelah barat."

Terdiam Namrud kerana tidak mampu menjawab hujah baginda. Terjentik akan diamnya itu apabila sedarlah bahawa ia bukanlah Tuhan! Sekali lagi, terpenjara juga pemikirannya kerana terbelenggu oleh kehendak nafsu dan kesombongannya. Tidaklah pula selanjutnya ia hendak berfikir perihal Allah SWT. Matinya Namrud dalam kesesatan. (Sikap Namrud ini diceritakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 258).

Fikiran yang merdeka, fikiran yang mampu mengawal hawa nafsunya, sehinggakan setiap apa yang difikirkan itu menzahirkan diri kepada kebenaran dan kebaikan.

Fikiran terpenjara –memaknai pemikiran yang sempit
Seringlah kita melihat bahawa orang dipenjarakan disebalik jeriji besi akibat dihukum oleh undang-undang ketetapan dunia yang disebabkan ia mengingkari atau tidak pula sehaluan perilakunya terhadap apa yang sudah ditetapkan dalam undang-undang ketamadunannya itu. Namun ironinya lebih ramai orang yang bebas jasadnya namun fikirannya sendiri terpenjara!

Dalam dunia yang pascamodenisme ini, hampir seluruhnya dianggap sebagai kebenaran. Hilang indikasinya dalam perbezaan itu. Menurut ahli falsafat moden, kebenaran adalah relatif, bergantung pada perspektif individu itu sendiri. Misalnya, setiap penganut sesuatu kepercayaan atau keyakinan merasa bahawa apa yang fahami demikianlah yang benar. Lahirnya bayi dengan persekitaran kepercayaan Kristian, maka lebih berdirinya ia dengan kebenaran kristian. Bagi lahirnya dia dalam persekitaran pemeluk agama Buddha, maka cenderung ia mengatakan buddhalah yang kepercayaan sebenar. Pemeluk agama Islam, maka sewajibnya ia berdiri dengan keimanan dan kebenaran Islam dan bukan sekadar pada kad pengenalan. Sehingga terwujud pulalah sebuah ideologi agama pluralisme. Tidak lari juga mereka yang bertuhankan sains, menolak secara terus wahyu dan kewujudan Tuhan. Apatah lagi menegakkan ideologi dan pemikiran sonsang yang terus terang membawa kebinasaan kepada umat manusia (selanjutnya dalam penjajahan fikiran). Berlakunya kecelaruan dalam kebenaran kerana fikiran terpenjara yang menebal dalam masyarakat. Semua orang hendak berdiri dengan pendapat dan kebenarannya sendiri, dan cenderung untuk tidak mem'buka' minda atau akal fikiran mereka.

Apa pula yang menjadikan agama Islam ini sebagai agama yang sememangnya benar dan terasing daripada kepercayaan lain? Kitab suci Al-Quran mengajak manusia kepada Islam (pengabdian diri kepada Tuhan) dan mengikut suruhannya serta menghentikan larangannya, dia masuk lebih dahulu daripada pintu akal. Kalau terdapat bantahan dan keengkaran, disuruh dahulu mereka itu berfikir, mempergunakan akalnya yang suci bersih (merdeka). Akal tidak mungkin bertentangan dengan dalil Al-Quran dan As Sunnah. Inilah yang diyakini oleh Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu dalil akal tidak mungkin bertentangan dengan dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sahih sama sekali. Maka tidaklah tepat jika seseorang mengatakan bahawa logik (dalil akal) bertentangan dengan dalil syar’i. Akal itu umpama mata. Dengan mata, terlihatlah kita terhadap sesuatu itu. Tetapi tanpa cahaya, manakan kita mampu melihat sesuatu itu dengan 'jelas'? Jika tidak ada cahaya wahyu, mustahil sangatlah akal hendak melihat dan mengetahui sesuatu. Demikianlah agama Islam amat menghormati akal, dengan meletakkan akal sesuai pada tempatnya.

Setelah benar kedudukan akalnya, tidak pulalah terjadi misalnya, mempertuhankan sains daripada wahyu. Di mana letak logik akalnya alam ini datang daripada kekosongan. Sesuatu tidak boleh datang daripada ketiadaan; kekosongan; empagas. Untuk sesuatu itu wujud, seharusnya ia datang daripada sesuatu yang sudah selamanya wujud. Sekiranya engkau lihat sesi-sesi perdebatan agama-sains, banyaknya berpegang bahawa sains sebagai Tuhan itu jahil; sempit pemikirannya. Mungkin ini jugalah apa yang diperkatakan oleh guru saya, bodoh sombongnya.

Speakers' Corner di Hyde Park, London.

Berpuluh-puluhlah perdebatan agama sudah saya mempertontonkan yang berlaku di Speakers' Corner melalui medium YouTube. Mereka (orang bukan Islam) yang lebih terbuka minda, dalam konteks bahawa membebaskan akal fikiran mereka daripada terpenjara (sebarang doktrin atau kepincangan dalam kepercayaan atau berat sebelah terhadap pola pemikirannya) dan hanya meletakkan akal fikiran yang bersih lebih mudah menerima hujah dan berlapang dada apabila membincangkan atau memperdebatkan agama berbanding mereka yang terpenjara akal fikirannya. Tidak perlulah ditafsirkan apa yang mereka hujahkan, lihatlah pada penerimaan atau etika (akhlak) mereka sahaja dalam berbahas. Akhlak kita itu mengambarkan bagaimana pemikiran kita. Mereka yang terpenjara fikirannya, sukar untuk menerima pendapat orang lain, tergopoh-gapah menegakkan kebenaran dakyahnya walaupun apa yang mereka tegakkan itu sudah terzahir kepincangan atau tidak benar; lemah hujah. Dilihat berbezalah dengan golongan bukan Islam namun bersih akalnya.

Mereka yang sehendaknya memperjuangkan Islam, sekalipun dalam medan perdebatan agama perlu mempunyai minda yang merdeka serta keyakinan (Iman) yang tinggi. Begitu jugalah para ulama dan pejuang islam yang terdahulu yang mempunyai fikiran yang merdeka. Bahkan sekalipun jasad mereka di penjara oleh seterunya, ia tidak sesekali dapat memenjarakan fikiran mereka. Hal ini boleh dilihat apabila Ulama' seperti Buya HAMKA menulis kitab tafsir al-Qurannya (Al-Azhar) semasa berada di dalam penjara. Dipenjara Buya HAMKA lebih dua tahun oleh Presiden Soekarno. Selain itu, Syed Quth menghasilkan Fil Zhilal al-Quran ketika dipenjarakan oleh rejim Abdul Naseer. Justeru, sering terjadi bahawa memenjarakan seseorang itu bukanlah menjadi asbab kesempitan fikiran, bahkan ia berlaku sebaliknya! Semakin meluaslah pemikirannya terhadap kebenaran.

Penjajahan minda –perang pemikiran terhadap manusia
Tidak berlakulah fikiran yang terpenjara tanpa dijajah pemikirannya terlebih dahulu. Sebelum ada penjajahan kolonialisme, penjajahan pemikiranlah yang sudah bertapak lamanya dahulu lagi. Pada masa kini, tidak ada nyata bahawa suatu negara itu dijajah seluruhnya oleh negara lain, tiada pula orang yang diperhambakan secara besar-besaran dalam sebuah negara itu. Banyak kezahirannya adalah merdeka sebuah negara dan orang-orangnya dari dibelenggu penjajahan. Namun, dalam kezahiranya kemerdekaan mereka itu, mindanya masih terjajah.

Kepesatan teknologi hari ini membolehkan masyarakat terdedah dengan capaian internet melalui media sosial dan artikel-artikel. Dalam tidak sedar akal, tertanamlah acaman penjajahan dalam bentuk baharu. Iaitu serangan pemikiran secara halus menerusi media arus perdana. Cabaran pada zaman sekarang bukanlah terletak pada kesusahan fizikal yang dialami seperti generasi-generasi yang terdahulu. Setelah kau membacakan catatan ini, sedarlah bahawa cabaran ini tidaklah kurang hebatnya dengan generasi lampau. Menurut Ustaz Hasrizal, cabaran pada zaman kini ialah pada fikiran dan perasaan. Abad ini, lebih terus saya katakan, pascamodenisme ini. Fikiran kita kian dicabar oleh idea-idea ekstrem yang tidak pernah menganggu atau mempersoalkan perihal keagamaan seperti generasi terdahulu. Dalam jangka masa yang panjang ini, sudah tentu musuh Islam sehendaknya sudah merancang sebuah strategi percaturan yang mampu menggugat kepercayaan orang Islam terhadap agamanya. Walaupun ia mudah disangkal atau diruntuhkan, namun ia akan menjadi kesan yang amat besar pada orang yang hilangnya pedoman dalam agama. Inilah yang dikatakan al-ghazwul al-fikri; suatu bentuk penyerangan penjajahan fikiran pada umat Islam. Kerana apabila sudah terjajah mindanya, terjajah jugalah jasadnya. Apabila telah berpanjanganlah penjajahan fikiran ini maka berlalailah mereka dalam keadaan  tidak sedar akal. Cara polar fikir dan buah fikiran mereka tidak lagi bertunjangkan pedoman agama, sebaliknya dikawal oleh musuh Islam. Seterusnya, terpenjara pula mindanya. Nauzubillahuminzalik. Dengan itu, berhati-hatilah dengan setiap pertuturan, perbuatan atau tindakan yang mereka (musuh, terutamanya terhadap agama Islam) usahakan.

Sentiasalah membentengi dengan kemerdekaan minda beserta pandu agama kerana kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan dalaman yang dipupuk menerusi pembangunan jati diri yang dibentuk dengan empat aspek utama iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa. Pasti agamalah signifikan besarnya kerana dengan agamalah -jiwa dan pemikiran manusia itu akan mencapai kemerdekaan sebenar. Seperti yang diungkapkan oleh pendeta Za'ba, bahawa ciri konsep merdeka adalah sebagai berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan. Seperti kisah Ashabul Kahfi bahawa mereka berjaya untuk memerdekakan akal fikiran mereka daripada diserang atau dijajah oleh masyarakat pada waktu itu yang berlaku syirik kepada Allah SWT (tidak tunduk kepada kekuasaan selain Allah) dan menolak sebarang pendustaan terhadap Allah. Demikianlah sudah terpenjara fikirannya. Dalam surah Al- Kahfi ayat ke-13 Allah SWT berfirman yang bermaksud,

"Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka."

Allah SWT juga menjelaskan bahawa Ashabul Kahfi ini terdiri daripada sekumpulan anak muda telah memerdekakan akal fikiran dengan panduan ke jalan kebenaran serta bimbingan dan petunjukNya.

- hh

Sumber Rujuk:
[1] Falsafah Hidup - HAMKA
[2] Konsep Zikir Menurut Hadith Bersumberkan al-Kutub al-Sittah - Mohammad Fahmi Abdul Hamida, shak Suliamana
[3] Inilah Kemerdekaan Hakiki! - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
[4] Ketika akal bertentangan dengan wahyu - JIPS Kelantan
[5] Sisi Berakhlak yang Hilang - Ustaz Hasrizal
Share:

Fikr Subuh: Sejarah yang berulang

Sejarah tidak berulang dengan sendirinya tetapi ia berulang bagi mereka yang tidak mempelajari kesilapan daripada masa lalu mereka. Sekiranya mereka mengambil iktibar dan melaksanakan perubahan (lebih baik), demikianlah sejarah baru yang akan tercipta! Dan merekalah yang akan menjadi tokoh-tokohnya yang membawa perubahan terhadap sejarahnya sendiri. Relevannya kitab Al-Quran dahulu, kini dan selamanya adalah kerana kayanya pengajaran daripada umat-umat terdahulu yang sentiasa relevan digunakan oleh umat zaman kini. Mahu atau tidak mahu bagi kita untuk mengambil iktibar dan pengajaran untuk menjadi umat yang lebih baik dan terbina 'sejarah'nya atau sekadar mengulang sejarah lama yang memuramkan.
Share:

Isnin, Ogos 21, 2023

Penjajahan literasi, pengongkongan minda kritis masyarakat

Gambar penulis sedang merenung buku di
Perpustakaan Mini Pusat Pengajian Sains Fizik USM, 10 Mei 2023.

Baru-baru ini berlakulah rampasan buku-buku yang dijual Toko Buku Rakyat oleh KDN. Yang kerap sekali dilabelkan sebagai "Polis Pemikir". Diantara buku yang diambil ialah Marx Sang Pendidik Revolusioner dan Koleksi Puisi Masturbasi. Menjadi kebingungan saya, mengapa buku-buku ini diambil tanpa pampasannya? Diambil begitu percuma seakan tiada pemiliknya. Apakah hanya disebabkan tercatatnya "Marx" ataupun "Masturbasi" pada kulit buku menjadi indikasi utama dalam menganggap suatu buku itu "ekstrem" ataupun membawa idea merbahaya dalam rampasan ini? Serbuan terhadap kedai buku serta tindakan KDN terhadap rampasan buku dan pengharaman buku tiadalah bezanya seperti tindakan kolot institusi dulu kala. Walhal pada masa kini, kebodohanlah yang menjadikan seseorang itu ekstrem. Demikianlah ini, saya memperlihatkan bahawa kian terbenamlah sebuah identiti negara "berdemokrasi" kerana mengongkong rakyatnya dari menambah kemajuan hidup serta minda intelektual yang lebih kritis (hh, 21/8/2023).

Masuk akal kata saudara Benz Ali. Orang jadi ekstrem bukan sebab buku tetapi orang jadi ekstrem sebab tidak membaca buku! Benda ini sangat terpakai dengan konteks sekarang, kalau nak diberikan contoh takut segelintir orang terasa hati pula nanti.

Pemikiran yang sempit adalah asbab daripada kurangnya melihat sudut atau perspektif yang berbeza. Bila kita cenderung untuk selektif terhadap sesuatu misalnya dalam pemilihan medan ceramah mahupun pembacaan, kita akan cenderung untuk berpolar ke arah yang dipilih itu. Sebaliknya, jika kita meluaskan pembacaan kita dengan kepelbagaian sumber dan sudut pandang (kiri mahupun kanan) - dengan kelapangan dada. Ia tidak akan memberikan kita kesan signifikan untuk sekadar menjadi pengikut buta - yang rata-rata jahil dan ekstrem, tetapi lebih proaktif dalam kebergantungan terhadap diri sendiri. Kita meletakkan kedudukan sendiri, ke mana kita berdiri dalam suatu pendirian. Tidak mengikut trend atau pengaruh polar yang menebal. Allah SWT berfirman dalam surah az-Zumar:18 yang bermaksud

"Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut apa yang terbaiknya; mereka itulah orang-orang yang diberikan hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."

Manusia yang berakal sempurna dan beroleh petunjuk daripada Allah SWT itu ialah manusia yang memilih "qaul" (perkataan) yang terbaik. Seseorang tidak akan menemui pandangan yang terbaik tanpa membuka dirinya untuk mendengar kepelbagaian pandangan terlebih dahulu.

- hh (19/8/2023)



Merujuk:
Share:

Fikr Subuh: Tidak sempurnalah hasil dalam kesegeraan yang besar tindaknya

Sifat ingin melakukan sesuatu dalam kesegeraan dengan tindakan yang besar itu akan membawa hasil yang tidak sempurna serta kecacatan fungsinya. Apa yang penting adalah kecilnya usaha namun beristiqamah dalam melaksanakannya. Sekecil-kecil tindakan itu juga merupakan suatu usaha. Lebihlah mudah menaiki anak tangga yang kecil berbanding anak tangga yang tinggi selangnya. Oleh itu, bertindaklah mengikut daya kemampuan dan keupayaan masa yang kita ada agar natijahnya itu hasil yang sempurna dalam pandangan manusia dan fungsi produknya yang berkualiti.

Demikian jugalah hikmah melaksanakan solat. Dalam tiga belas rukun solat itu adanya tama'ninah yakni berhenti seketika sekadar seberapa masa. Berkehendaknya untuk memberhenti seketika dalam setiap pergerakkan solat itu adalah agar sedikit ruang untuk kita menghayati apa yang dilaksanakan dan dibacanya. Adanya tama'ninah itu bersebab, dan kita bersolat tidak sekadar fizikalnya tetapi juga rohaninya. Inilah usaha dalam meraih kekusyukan dan kualiti yang terbaik dalam solat.

- hh (21/8/2023)
Share:

Jumaat, Ogos 18, 2023

Ku temui hikmah dalam nasi bubur


Panggilan azan subuh pun belum dilaungkan lagi; Ufuk langit belum melahirkan mentari, namun kaki sudah berdiri berjejak bumi. Ya, bangunnya bersebab. Perlu balik semula ke kampus pulau. Ada seberapa urusan lagi yang belum selesai - peperiksaan akhir. Masa penerbangan diambil awal pagi. Bersiap dan bersarapan di Nilai dengan ibu abah. Cuma saat itu, perut banyak ragam, banyak pula fiilnya. Jadi bungkus sahajalah bubur dengan karipap. Penting bubur tu ada telur asin atau kicap asin atau kacang soya asin. Jika tidak, buburnya rasa tidak lengkap. Sewaktu saya kecil, buburnya diisi dengan susu pekat, kini buburnya diisi dengan asin. Mungkin diri memang tidak biasa merasa tawarnya nasi bubur. Lusa sudah mula peperiksaan, apa yang dibaca pun tidak berapa faham. Bertambah tawarlah hidup. Namun di sini keberadaan saya, lapangan terbang KLIA 2, dengan tenang saya buka bekas nasi bubur.

Suapan bubur pertama,
hakikatnya diri rasa keserabutan, apa pun belum bersedia. Kita tidak mampu diam, walau cuba ketip mulut sekalipun. Suara hati akan terus berkata-kata. Bahkan suara yang tidak mampu menipu diri sendiri! Selalu saya ingatkan pada diri bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan. Sesungguhnya, tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan. Bila kita menerima hakikat apa yang mendatang, sekurangnya kita lebih bersedia. Sekiranya kita rasa tidak mampu sekalipun, kita sudah tahu akan ada kemudahan yang Allah SWT beri. Dengan keyakinan, membuatkan kita lebih kuat untuk menempuh cabaran dan dugaan hidup.

Suapan bubur kedua,
hidup ini adalah sebab - akibat. Apa yang berlaku pasti ada sebabnya. Suatu masa nanti, bubur ini akan sejuk jika dibiar lama. Mahu atau tidak, alam terpaksa melaksanakannya bagi mencapai keseimbangan terma (thermal equilibrium) diantara bubur dengan suhu persekitaran. Perlihatkan tidak? Sebab - akibat.

Sekali lagi, saya mengungkit penyesalan kerana tidak mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan lusa yang akan datang. Paling teruk akibatnya, perlu ulang subjek kerana tidak lulus. Salah satu sebab adalah di atas, sebaliknya banyak lagi sebab yang berlaku. Namun, sedar atau tidak, tanpa asbab kesedaran ini. Mungkin kita tidak merasai akibat untuk bangkit semula.

Suapan bubur ketiga,
ketakwaan adalah kunci kepada pintu kebaikan. Tanpa ketakwaan (sedar dan sedar akan Tuhan), kita tidak mungkin mampu membezakan hal yang baik dan buruk. Sekalipun itu, pada masa kini, sungguh sukar menentukan ini semua. Kadangkala sesuatu perbuatan itu tampak baik dan cantik, hakikatnya perbuatan itu membawa mudarat dan keburukan. Penormalisasian terhadap dosa maksiat telah mengaburi mata kita semua. Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:

"Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi"

(Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah)

Jangan kita lupa bahawa Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka peninggalan yang wajib diamalkan dan dijadikan pedoman kehidupan kita. Sekiranya kita menjaga dua perkara ini berserta panduan daripada Ulama', pasti kita tidak akan berada dalam kesesatan bahkan 'sedar' dalam membezakan hak dan batil.

- hh (Waktu lalu)

Share:

Fikr Subuh: Pembacaan yang tertumpu pada alurnya

Jaringan internet kini telah menjadi suatu ladang ilmu yang terus berkembang seiring dengan kemajuan penemuan dan isu-isu semasa. Jika dilihat melalui lensa optimis, pelbagai ilmu pengetahuan dapat diakses melalui pembacaan artikel-artikel yang disampaikan melalui media sosial atau dari sumber lain, yang merupakan medium penyampaiannya. Namun demikian, dalam pemesatan ini dan perjalanan kita untuk menjadi insan yang memberi manfaat, tidaklah sebenarnya menjadi keperluan untuk memiliki pengetahuan mendalam terhadap setiap aspek.

Amat penting bagi setiap individu untuk memiliki kecekapan dalam mengurus ilmu pengetahuan. Walaupun bunyinya sedikit aneh, kenapa perlu ada pengurusan dalam hal ilmu pengetahuan? Pengurusan dalam konteks ini tidak bermaksud membuang air yang keruh dan ambil yang jernih. Sebaliknya, bagi mencapai individu yang betul-betul arif dan bermanfaat, di mana ilmu pengetahuannya telah dipilih dengan teliti daripada pelbagai sumber yang berkaitan dan tidaklah pula membebankan diri dengan pengetahuan lain yang belum menentukan bahawa ia mampu memberi manfaat pula pada orang sekelilingnya.

Seperti air yang jernih mengalir dalam sungai yang tenang, begitu juga ilmu yang telah dikelola dengan baik akan membawa manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Dengan mengurus ilmu pengetahuan, seseorang dapat memberi tumpuan yang khusus pada alurnya (minat dan bidangnya) dan menyelami pembacaan-pembacaan yang memberikan sumbangan sebenar kepada perkembangan diri dan kemajuan masyarakat.

- hh
Share:

Khamis, Ogos 17, 2023

Kajian Barnett S. J. - Aruhan elektromagnet dari perspektif kerelatifan (1913)

Saya menelusuri makalah Barnett, S.J yang diterbitkan pada tahun 1913 berkenaan dengan aruhan elektromagnet (Electromagnetic Induction) dari perspektif teori kerelatifan. Secara tepatnya, tajuk makalah tersebut adalah "Aruhan Elektromagnet dan relativiti". Bagaimana ia boleh dihubungkan? Menjadi persoalan utama ketika itu. Umumnya penulisan makalah ini boleh dilihat di sini, ELECTROMAGNETIC INDUCTION AND RELATIVITY. Science, 37(954), 560–561 | 10.1126/science.37.954.560.

Makalah oleh S. J. Barnett mengenai aruhan elektromagnet dan relativiti elektromagnet merupakan sumbangan penting kepada bidang elektrodinamik. Dalam Eksperimen Barnett, sampel, selalunya rod logam, diputarkan pada paksi sepunya dengan sama ada solenoid (gegelung wayar) atau kapasitor silinder litar pintas. Pemerhatian utama ialah selepas putaran, sampel menunjukkan perubahan dalam kemagnetannya - ia menjadi magnet di sepanjang paksi putaran. Eksperimen Barnett telah dilakukan pada awal abad ke-20 untuk memilih antara teori elektrodinamik Hertz, Maxwell atau Lorentz. Barnett menunjukkan bahawa kemagnetan bahan boleh disebabkan oleh putaran mekanikal, serta oleh medan magnet luaran. Beliau juga menunjukkan bahawa kemagnetan bergantung kepada gerakan relatif antara bahan dan pemerhati, mengikut prinsip relativiti. Keputusan yang diperolehi oleh Barnett menyebabkan beliau membuat kesimpulan bahawa kedua-dua teori elektrodinamik Hertz dan Maxwell harus ditolak, manakala teori Lorentz adalah betul.

Barnett meneroka idea ini secara terperinci dan menyediakan rangka kerja matematik untuk memahami cara aruhan elektromagnet berkelakuan dalam sistem yang bergerak relatif kepada pemerhati. Menurut teori relativiti, hukum fizik harus sama untuk semua pemerhati, tanpa mengira gerakan relatif mereka. Ini bermakna bahawa tingkah laku aruhan elektromagnet harus sama untuk pemerhati dalam keadaan rehat dan pemerhati dalam keadaan gerak.

Satu abad kemudian, A. L. Kholmetskii menganalisis eksperimen Barnett dari sudut pandangan moden dan menunjukkan bahawa hasilnya boleh dijelaskan dalam rangka kerja elektrodinamik dan teori relativiti Maxwell. Walau bagaimanapun, penjelasan ini masih mempunyai beberapa kesukaran fizikal iaitu berkaitan dengan tafsiran momentum sudut elektromagnet dan keabadian tenaga dalam eksperimen Barnett. Menurut Kholmetskii, kesan Barnett boleh difahami sebagai pemindahan momentum sudut daripada bahan berputar ke medan elektromagnet, yang mendorong momen magnet dalam bahan. Walau bagaimanapun, pemindahan momentum sudut ini tidak disertai dengan perubahan yang sepadan dalam tenaga kinetik bahan, yang menimbulkan persoalan dalam keabadian tenaga. Selain itu, momentum sudut elektromagnet bukanlah kuantiti yang jelas dalam elektrodinamik klasik, kerana ia bergantung pada pilihan rangka rujukan dan tolok. Oleh itu, penjelasan Kholmetskii tidak memuaskan dari sudut fizikal.

Karya oleh Barnett kekal sebagai rujukan klasik bagi sesiapa yang berminat dalam sejarah dan asas keelektromagnetan dan relativiti. Makalah oleh A. L Kholmetskii jika berkesempatan, akan saya terjemahkan keseluruhan ke dalam Bahasa Melayu jika ada kelapangan waktu.

Nota Kaki:
  • Aruhan elektromagnet ialah penghasilan daya gerak elektrik (d.g.e.) merentasi konduktor elektrik dalam medan magnet yang berubah-ubah.
  • Teori relativiti, sebaliknya, adalah teori saintifik yang menerangkan undang-undang fizik yang mengawal tingkah laku objek dalam pergerakan berhalaju tinggi(beranggapan halaju cahaya kekal malar).

Sumber Rujukan:
[1] https://arxiv.org/pdf/2211.04549.pdf
[2] https://link.aps.org/doi/10.1103/PhysRev.2.323
[3] https://doi.org/10.1119/1.1557300
Share:

Rabu, Ogos 16, 2023

za


Engkau benar menghargai sesuatu dalam pemeliharaanmu; buku pun engkau balut. Dari pemilikan kedai kepada pemilikanmu, rupa bentuknya kekal sama, bagai tiada tangan kedua mahupun ketiga setelah itu. Bukankah dikau telah berjaga berbulan lamanya? Pada halaman pertama sudah terpampang tandatangan penulis berdua, itu sudah naik pula nilai harganya. Dan akhirnya, kau beri padaku?

Entah mengapa saya berasa begitu besar nilai pemberianmu ini, tidak setanding pula dengan nilai pemberianku. Janji-janji kita bahawa kita meletakkan nilai buku dan perasaan itu cukup besar penerimaanmu maka besar jugalah penghargaanku ke atas itu. Namun, ada kesangsian pula saya terhadapnya, bahawa saya memikirkan apakah buku ini tidak cukup bermakna buat engkau? Apa dikau telah khatam buku ini sepenuhnya atau tidak begitu pentingkah buku ini terhadapmu? Atau nilai saya lebih dari ini? Pelaburanmu ini ke atas persahabatan kita begitu besar, tidak pernah saya rasa pada orang lain.

Saya katakan ini bahawa Tuhan telah memperkenankan hajat untuk memiliki buku ini yang lama berada dalam senarai putih (buku-buku yang berkehendak) saya. Namun, alamatnya ini lain. Bukan pula diri sendiri menjadi asbab makbul, tetapi si pemberi! Kerana rencana Tuhan ini begitu bermakna, maka berat juga pertimbangannya dari sekadar pemberian buku. Saya kira ia lebih dari itu.

Namun, saya juga tidak meletakkan sebarang pengharapan. Kerana pengharapan yang tidak selari dengan kenyataan itu begitu sakit rasanya. Berbalik pada makna yang engkau beri juga adalah makna yang saya beri juga. Disebabkan nilai kau begitu besar, dan saya kira makna buku ini amat berharga bagimu. Suatu masa nanti, akan saya pulang semula buku ini setelah saya membaca dan menghargai selari dengan keperluan kita. Buat si pemberi, terima kasih atas pemberian yang bermakna ini. Semoga kita terus tumbuh.

- hh

Share:

Fikr Subuh: Lembah kemuraman juga membawa kepada perkembangan ilmu sains.

Saintis pun tidak dapat lari daripada peperangan (politik) dan kesakitan (penyakit/wabak) sepanjang penyelidikannya. Namun, dengan keberadaan yang muram ini juga telah menjadi asbab dalam perkembangan ilmu sains. Tanpa kekecewaan ini, manakan kita akan dapat manfaat yang kita rasai hari ini? Hal ini mencerminkan hubungan kompleks antara perkembangan ilmu sains dan realiti sosial. Sebab - akibat tidak semestinya datang daripada hal-hal yang optimis, kadangkala ia hadir dengan melankolik dan persimis.

Saya melihat bahawa kekecewaan dan cabaran juga menjadi pemangkin dalam perkembangan ilmu sains. Kemanusiaan apabila dalam keadaan terancam, panjang sahaja akalnya dari biasa. Bertalu-talu pulalah ilham yang ia dapat.

Apabila saya membaca buku saudara Zamir Mohyedin, berkenaan sejarah-sejarah ahli fizik. Demikianlah saya mula tampak akan coraknya. Bahawa tekanan terhadap sosial dan persekitarannya juga menjadi sumbangan besar mahupun kecil terhadap penerokaannya dalam bidang sains.

Jadi, andai suatu masa nanti, anda juga mengalami lembah terendah dalam hidup. Ambil kelebihan darinya. Ia pun juga akan menjadi pemangkin daripada hal-hal yang sangat menyakitkan dengan hasilnya sangat memuaskan suatu masa nanti.

Tanpa cabaran dan penyiksaan dalam hidup, kita hanyalah seorang yang dungu dan tidak bercambah tumbuh.

- hh

Leo DiCaprio sebagai Dr. Randall Mindy dalam filem 'Don't Look Up'. Kredit: AP

Share:

Isnin, Ogos 14, 2023

The Einstein-Podolsky-Rosen (EPR) Paradox: The Mystery of Quantum Correlation

In the realm of quantum mechanics, where particles can exist in superpositions and entangled states, the Einstein-Podolsky-Rosen (EPR) paradox stands as one of the most captivating and enduring thought experiments. Proposed in 1935 by Albert Einstein, Boris Podolsky, and Nathan Rosen, the EPR paradox aimed to challenge the completeness of quantum mechanics and explore the bizarre phenomenon of quantum entanglement. In this article, we will delve into the intriguing world of the EPR paradox, examining its key principles and implications for our understanding of quantum theory.

Setting the Stage: Quantum Entanglement
Before diving into the EPR paradox, it is crucial to understand the concept of quantum entanglement. In this quantum phenomenon, two or more particles become intrinsically connected in such a way that the state of one particle is instantaneously correlated with the state of the others, regardless of their spatial separation. This mysterious interconnection defies classical intuitions and plays a central role in the EPR paradox.

Einstein-Podolsky-Rosen Paradox
The EPR paradox revolves around the following scenario: Imagine two particles, say electrons, are created together in such a way that their combined quantum state is entangled. This means that the two particles are correlated in such a manner that their properties, such as spin or polarization, are intertwined. According to quantum mechanics, until a measurement is made on one of the entangled particles, its state exists in a superposition of all possible outcomes. As soon as one particle's state is measured and its property is determined, the state of the other particle instantaneously collapses into a corresponding state, regardless of the distance between them.

Spooky Action at a Distance
The EPR paradox introduces the notion of "spooky action at a distance," a term coined by Einstein to express his discomfort with the apparent non-locality of quantum entanglement. According to classical physics, no influence can travel faster than the speed of light. However, entangled particles seem to communicate instantaneously, raising profound questions about the nature of reality and the completeness of quantum mechanics.

Quantum Incompleteness or Hidden Variables?
The EPR paradox has significant implications for the completeness of quantum mechanics. Einstein and his colleagues suggested that the apparent non-locality of entanglement indicated that quantum mechanics was an incomplete theory, missing some underlying "hidden variables" that could explain the correlations between entangled particles. They argued that these hidden variables, yet to be discovered, could provide a more deterministic and intuitive explanation for quantum behavior.

Bell's Inequality and Experiments
In 1964, physicist John Bell formulated a mathematical inequality to test the predictions of quantum mechanics against those of classical theories with hidden variables. Bell's inequality provided a way to experimentally determine whether quantum entanglement was indeed a non-local phenomenon. Over the years, numerous experiments testing Bell's inequality have consistently shown that quantum mechanics violates the inequality, confirming the existence of entanglement and challenging the notion of hidden variables.

Implications and Future Directions
The EPR paradox continues to stimulate cutting-edge research in quantum physics. While Bell's experiments validated the non-local nature of entanglement, the question of quantum completeness remains open. Further investigations into the foundations of quantum mechanics and potential hidden variables may pave the way for a more comprehensive theory that unites quantum mechanics with our classical intuitions.

Conclusion
The Einstein-Podolsky-Rosen paradox remains a profound enigma in the world of quantum physics, challenging our understanding of reality and the limits of classical intuition. As we continue to explore the mysteries of quantum entanglement, the EPR paradox stands as a reminder that the quantum realm is far stranger and more fascinating than we could have ever imagined. While the quest to resolve the paradox may be ongoing, its implications have already revolutionized our perspective on the fundamental nature of the universe.
Share: