Penulis berbaju kemeja dan bertali leher biru semasa menjalankan eksperimen fizik. (1 Disember 2022) |
Jika anda bertanya dengan rakan sekuliah saya, mereka mungkin mengecam seorang jejaka unik (eceehh) yang memakai baju kemeja, bertali leher, berseluar slack, dan berkasut kulit ketika menjalankan eksperimen di dalam makmal fizik. Sehinggakan ditegur oleh pensyarah sendiri kerana berpakaian begitu formal, "Ada apa harini?". Ditanya oleh rakan sekuliah lagilah berpuluh kalinya, sehinggalah tidak ditanya lagi apabila sudah menjadi rutin. Persoalannya, mengapa?
Jarang untuk melihat pelajar prasiswazah untuk memakai pakaian formal sedemikian melainkan anda seorang pensyarah di universiti ini. Kebanyakan pelajar hanya memakai baju tshirt biasa mahupun jaket "hoodie" sebagai pakaian makmal mereka. Adapun seberapa pihak pengajian fizik yang mensyorkan pemakaian kot makmal bagi sesiapa yang sukarela dan mampu. Boleh saya katakan, pusat pengajian saya paling banyaknya merenggangkan garis panduan yang ada. Sudah sepatutnya menjadi akal budi untuk kekal berertika.
Sememangnya saya ada sebab tertentu bahawa terhadap diri saya sendiri ia adalah cara saya mengekalkan kemahiran untuk bersiap dan berkemas dalam pemakaian formal. Tidak mahu sekiranya ia berkarat dalam minda saya. Semasa saya berada di peringkat pra-universiti, pemakaian formal ini adalah diwajibkan semasa kuliah, tutor mahupun makmal. Cumanya pada peringkat sekarang, tradisi yang saya tinggalkan adalah pemakaian kot makmal. Saya memikirkan tiada keperluan untuk berpakaian kot makmal apabila melibatkan diri dalam eksperimen yang jarang benar ada cecair bahan kimia yang mana boleh menyebabkan sebarang pencemaran atau percikan darinya. Kebanyakan eksperimen fizik yang saya jalani melibatkan kegunaan peralatan kering. Jadi pemakaian kemeja sudah memadai.
Terhadap orang sekeliling pula, ia adalah cara kita memperlihatkan tabiat kita. Bila bajunya kemas tidak berkedut, lengkap pemakaian formalnya, orang sekeliling akan menilai diri kita dengan baik tanpa kita perlu mengatakan bahawa kita ini seorang yang rajin, kemas dan tertibnya. Manakala dengan sikap berhadapan atau berurusan dengan orang akan menjadikan kita lebih yakin. Inilah antara falsafah yang saya bawa ketika berpakaian semasa menjalankan eksperimen.
Terhadap universiti, ia adalah usaha saya untuk membina semula tradisi dalam berertika (yang sebenarnya). Bukan kerana pembudayaan di universiti, tetapi saat kita bekerja juga nanti. Teringat saya dalam buku "Atomic Habits" bahawa untuk mengekalkan tabiat yang berkekalan, kita perlu memberikan tumpuan kepada mencipta identiti terlebih dahulu. Setiap tingkah laku semasa kita adalah cerminan identiti semasa kita. Sebab apa yang kita lakukan sekarang ialah imej cerminan jenis orang yang kita percaya kitalah dirinya. Misalnya, anda ingin menjadi seorang doktor, jadi bersikaplah sebagaimana seorang doktor. Jika hendak menjadi seorang ahli fizik, maka bersikap dan bergaya seperti ahli fizik. Identiti akan muncul daripada tabiat yang kita bina.
Namun, saya tidak meletakkan tradisi ini sebagai kewajipan yang perlu saya pakai selalu. Dalam satu sidang akademik mungkin sekali atau dua saya berpakaian jaket sahaja. Mungkin akan ada orang yang mempersoalkan, mengapa tidak 'budaya' beretika? Saya jawab, mengapa perlu? Bukankah pembudayaan dalam beretika sewajarnya wajib dibuat? Jika hilang nilai etikanya, maka ranap juga sebuah makna 'universiti' itu juga. Maka yang ada hanyalah untuk menambahbaik nilai diri kita dengan membuahkan tradisi-tradisi yang baik.
Kini saya tujukan soalan buat pembaca, jadi bagaimana pula pembaca mencorak identiti diri?
- hh (27/8/2023)
Penafian: Ingat jangan pakai fonkepala apabila berurusan/berhadapan pensyarah. Pakailah ketika diluar keadaannya.
0 Komen:
Catat Ulasan