Ahad, Ogos 06, 2023

Membentuk laman Hub Fizik terbesar dan pempengaruh di Malaysia

Saya kira sudah tiba masa laman sesawang blog saya ini mempunyai satu matlamat yang jelas dari segi visi dan misinya. Apakah pendiriannya? Mengapakah ia ditubuhkan? Jika dahulunya, ia menjadi medium untuk saya berkongsi perihal ilmu pengetahuan tentang komputer sains pada taraf silibus pelajar sekolah menengah di Malaysia. Kemudian, ia bercambah pula lebih kepada perkongsiaan peribadi, hal ini berlangsung sebelum era Covid-19 sehingga mendepaninya. Sekatan PKP pada waktu itu, membuatkan akal ini ingin berkongsi dalam banyak perihal. Saya kira waktu itulah zaman keemasan saya yang pertama. Sehariannya diisi dengan buku dan ilmu pengetahuan. Masuk sahaja zaman pra-universiti, blog ini mula saya kongsikan perihal Fizik, Astronomi, Falsafah (Pemikiran) dan Sains Komputer.

Semuanya terhenti semula pada bulan Mei, 2022. Tegal melaksanakan pembenaman blog. Saya kehilangan banyak pelawat blog. Demikian juga punca rezeki saya melalui iklan pada blog ketika itu. Asbabnya ketika itu, saya ingin fokus kembali pada dunia pembacaan. Kiranya blog telah mengambil banyak peluang saya untuk menimba ilmu ketika itu? Sangat kontradiksi pemikiran saya sewaktu itu.

Kembali beberapa bulan selepas itu, saya bangkit. Mewujudkan dua segmentasi iaitu perihal ilmu pengetahuan yang ingin dikongsi serta catatan jurnal umum (lebih kepada pendapat, etc).

Demi melestarikan usaha lama saya mengekalkan blog ini. Membawa saya merenung jauh mendalam, "Untuk apa ia didirikan?". Mustahil untuk blog sekian lama ini dapat saya kekalkan tanpa matlamat yang jauh sudut pandangnya. Namun, apakah tiang asasnya?

Oleh sebab itu, saya ingin merangka semula laman blog ini. Khususnya berkaitan penglibatan saya dalam bidang Fizik dan minor Sains Komputer. Ingin saya jadikan laman ini sebagai Hub Fizik - Laman perkongsiaan Fizik terbesar Malaysia. Pada zaman ini sekalipun, begitu langka ilmu pengetahuan Fizik dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Namun, unik sekali banyaknya diantara kita berpengetahuan dalam Kejuruteraan - Ia pun gunaan Fizik! Itu sudah membuktikan bahawa orang-orang kita pun berdaya saing, kritikal, dan kreatif dapatannya. Demikian pun, saya masih merasakan ada kekurangan pada lohong kejurangan diantara masyarakat dan ilmu sains. Kolonialisasi telah memakan banyak masa kita dalam kemajuan terutamanya dalam ilmu pengetahuan sains. Tidak ingin saya menghukum tetapi ringan sekali sudut pandangnya akademia dalam negara kita setelah itu. Berapa sahaja peruntukkan yang telah diberikan pada ahli-ahli akademia? Bahkan mereka sememangnya mampu pergi jauh, tetapi tiada siapa mampu melaburkan sayapnya. Apakah sudah putus pengharapan kita? Demikian, sebahagiannya lari dari negara ini. Kelabu gelap mata dan jiwa pengharapannya. Peluang di negara asing itu lebih besar dan lebih dihargai. Menjadi asbab untuk mereka terus bergiat dan menabur bakti di negeri asing. Sebahagiannya, masih berusaha menabur bakti pada masyarakat sendiri. Sekalipun penyelidikannya tidak memberi impak besar pada dunia, adalah terdapat matlamat lebih penting daripada itu, iaitu memberikan impak lebih besar terhadap masyarakatnya! Cahaya pengharapan masih menerangi jiwa saya dan saya mengharap dengan matlamat ini dapat memberi impak juga pada masyarakat kita khususnya berkaitan sains fizik.

- hh (4:18 AM, 6/8/2023)
Share:

0 Komen:

Catat Ulasan