"Apa engkau bahagia dengan pekerjaan yang engkau jalani sekarang?", Si A tujukan soalan pada Si B.
Soalan yang mudah sahaja dijawab, iaitu ya ataupun tidak. Namun, lama yang difikirkan Si B ini kerana serba tahu bahawa Si A ini panjang akalnya; tahu filsafat yang ingin dibawa. Sekiranya salah cara jawabnya, maka ditalu pula persoalan yang lebih tajam. Boleh jadi malang atau bahagia pula pemikirannya selepas itu kerana sudut baru yang dibawa oleh Si A ini.
"Erm, Ya", jawabnya Si B seperti ada serba kurangnya. Lebih yakin dengan tidaknya.
"Bagaimana engkau mendefinisikan bahawa engkau bahagia bekerja?", soalan kedua dari Si A seperti yang dijangka oleh Si B.
Hakikatnya, Si A juga dalam mencari petunjuk dalam meletakkan definisi apakah yang dimaksudkan kebahagiaan dalam bekerja itu.
"Maksud aku, gaji aku cukup. Cukup buat makan isteri dan anak-anak. Dengan pekerjaan yang ada, dapat aku menyara keluarga sendiri. Kurang tekanan kerja yang melampau, jika selesai tugasku maka aku balik. Tetapi balik bekerja itu ada penatnya juga, A. Isteri dan anak-anaklah yang membahagiakanku bila aku pulang. Hilang pula rasa penat yang menimpa itu. Di waktu hujung minggu adalah waktu kami bersama sepenuhnya, menjadi penantian aku setelah berhari-hari kerja.", kata Si B dengan panjang lebarnya dalam meletakkan makna kebahagiaan dalam bekerja itu sendiri.
Si A pula hanya berwajah tenang, selapang dadanya menerima pendapat orang lain. Begitulah perbualan orang laki-laki, kadang berupa berat namun tidaklah menjaga tepi kain orang kerana berat lagi menjaga kain sendiri.
"Jadi kau memikirkan bahawa kebahagiaan dalam bekerja adalah cukup bergaji? Kurang tekanannya serta dapat bekerja?", balas Si A. Beliau bukan mempersoalkan namun hendak mendapatkan kepastian bahawa itulah apa yang ingin disampaikan oleh sahabatnya itu, Si B.
Sambung terus Si A tanpa menanti jawapan sahabatnya itu, "Tidakkah kau sedar sahabat bahawa kau bekerja hakikatnya sekadar bekerja? Cukup masanya kau terima gaji. Andailah aku memperkatakan bahawa tidak cukup gajinya, dan tekanan pula tinggi hendaknya. Apakah kau masih lagi bahagia dalam bekerja? Kerana kau masih lagi bekerja? Sehendaknya kau bahagia lagi bukan? Lantas kau melepaskan angin kencang pula bila berpulangan dari rumah. Bertempias pula pada isteri dan anak-anak engkau.
Kau suka dengan apa kau kerjakan bukanlah menjadi soal utama. Sebaliknya, ketelusan, keikhlasan dan kesabaran sepatutnya menjadi sandaran kau bekerja. Jika ada ketiga-tiga ini, bahagialah apa yang kau kerjakan dalam hidup ini! Meskipun bandai ombak menghentam waktu kau bekerja. Tidak sekalipun kau berundur malah bekerja seribu tahun lagi pun!
Ada orang, kerjanya hanya menulis keratan akhbar. Dalam bekerja mahupun luar bekerja. Namun kerana sukanya, ia tetap menulis. Walau sukar hidupnya masa itu, kecil gajinya. Tekanannya ada namun dia bahagia kerana sabarnya. Ikhlasnya dalam bekerja kerana satu tuntutan. Keluarganya pun hidup dengan keterimaannya, melengkapi apa yang kurang itu pula. Senyumnya merdeka pula tu.
Penat dalam bekerja sememangnya ada. Itulah pakej apabila bekerja. Melihat penat dalam bekerja itulah yang membezakan kebahagiaan orang dalam bekerja. Ada orang penat bekerja, di rumahlah tempat ia melepaskan lelahnya. Ada orang penat bekerja, namun penatnya tidak terasa. Riang kerjanya itu dikongsi pula apabila berpulangan dari rumah. Pekerjaan yang baik adalah pekerjaan yang mampu membina diri yang lebih baik. Bukanlah menjadi kekurangan akan diri apatah lagi membebankan. Bukan pula menjadi pekerja yang sekadar bekerja. Ia melengkapkan hidup.
Demikianlah juga bagaimana kita meletakkan ibadah dalam hidup ini. Kita melakukan ibadah sepanjang kita hidup di dunia ini. Jika melakukan ibadah hanya sekadar perbuatan maka hilang makna 'ibadah' itu. Apa yang dimaknakan ibadah yang sebenar itu adalah apabila kita mengikuti aturan dan hukum Allah dalam setiap langkah dan keadaan kita. Andai setiap pergerakkan yang dilakukan dengan niat yang betul, itulah yang dikatakan ibadah. Kebahagiaan dalam beribadah akan tercapai jika kita telus, ikhlas dan sabar dalam melaksanakannya, meskipun seribu tahun lama lagi. Jika kita meletakkan setiap pekerjaan kita hanya kerana Allah SWT, demikian jugalah suatu ibadah."
Si B, tergamam dengan jawapan sahabatnya itu. Kemudian teringat pula beliau dengan kata-kata HAMKA.
"Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja", ucap Si B.
- hh (7:49 AM; 27/8/2023)
0 Komen:
Catat Ulasan