Isnin, Ogos 14, 2023

Seruan untuk bersuara #1: Harus ia tahu sebab berdiam!

———

Oleh hh (Isnin, Ogos 14, 2023)


Dalam keadaan alam yang semakin cenderung ke arah kekacauan dan dunia yang diselubungi oleh kepelbagaian isu di media sosial ini, adakah kita sebagai individu mempunyai tanggungjawab untuk turut serta dalam segala perkara? Apakah nilai dan impak yang dapat diperoleh oleh seseorang individu terhadap suatu isu, sama ada isu tersebut mempunyai kaitan dengan dirinya atau tidak? Adakah usaha tersebut berbaloi jika setiap penyelesaian bagi isu ini hanya akan menimbulkan pula isu lainnya?

Sekiranya mengasingkan diri dapat menyelesaikan suatu permasalahan umum. Sudah tentu berikut adalah tindakan yang wajar diambil dalam mencapai keamanan dan harmoni. Tetapi dalam realiti kehidupan, situasinya tidak semudah itu. Isu dan permasalahan akan terus timbul, entah datang dari mana. Kadangkala, sifatnya yang tidak relevan atau tidak penting. Oleh itu, ini mungkin menjadi petunjuk kebijaksanaan seseorang, kerana dia memilih untuk tidak terlibat dalam mana-mana perkara yang sia-sia. Ke atas apa pula manfaat yang ia akan peroleh sekiranya itu? Bukan?

Melihat dari sudut perspektif yang berbeza, setiap permasalahan tidak akan selesai tanpa penyelesaiannya. Permasalahan ataupun perselisihan yang timbul akibat tindakan manusia harus ditangani oleh manusia sendiri. Sebalik daripadanya hanyalah tindakan dan akibat yang dapat diterima sebagai lumrah kehidupan. Jika semua orang tidak mengambil peduli akan suatu isu picisan atau kecil, demikian adalah isu yang besar. Oleh sebab itu, seperti yang tertulis dalam tajuk besar catatan saya ini, harus ia tahu sebab berdiam!

Menjauhi dari kebisingan masyarakat boleh memberikan kita ketenangan, ia juga boleh menyebabkan kita terperangkap dalam kebisingan suara dalam diri kita sendiri. Perselisihan ini adalah kebiasaan dalam kehidupan kita yang bermasyarakat kerana ia apa yang sudah bertetapan oleh Allah SWT. Melalui firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 118 hingga 119,

وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬‌ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخۡتَلِفِينَ .
إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ‌ۚ وَلِذَٲلِكَ خَلَقَهُمۡ‌ۗ

yang bermaksud, "Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia jadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih (pendapat). Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka".

Ralit diperkatakan bahawa diam adalah jalan selamat untuk terhindar daripada segala kemungkaran. Ada benarnya itu. Namun, ini tidak seharusnya menghalang hak sesetengah individu secara mutlak untuk mengambil tempat (kedudukannya) sebagai penyelesai terhadap masalah/isu tersebut, walau kecil kesan yang diberikannya. Namun, menjadi persoalan terbesar di sini adalah siapakah yang berhak bersuara? Jika bertanyakan kepada saya, sudah tentu mereka yang menjadi orang utama dalam perselisihan tersebut adalah yang paling berhak untuk bersuara. Dan demi mengadili akan kebenaran mahupun kepincangan, mereka adalah golongan yang di antara haq dan bathil; Si tukang hakim. Golongan paling malang sekiranya adilnya tiada. Melalui firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 58,

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِ‌ۚ

yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyuruhmu untuk menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum diantara manusia hendaklah dengan keadilan"

Kemudiannya adalah golongan yang berpengetahuan terhadap isu/masalah tersebut. Mereka adalah golongan yang tahu dan faham berkenaan isu yang berlaku. Mengetahui akan suatu isu sahaja tidak ada cukupnya, sebaliknya ia faham akan konteksnya itu dengan latar pengetahuannya yang ia ada. Demikian inilah mereka dapat memberikan pandangan yang berharga dan penyelesaian yang bernas. Terakhir sekali adalah golongan awam. Mereka yang tentunya tiada keterlibatannya sedikitpun berkenaan apa yang sememangnya berlaku bahkan jahil pengetahuannya jika hendak memberikan penyelesaian mahupun pendapat. Adalah baik baginya untuk berdiam kerana ia juga perlu tahu bahawa tiada apa yang ia akan peroleh sekalipun untuk dirinya sendiri apatah lagi orang lain. Melainkan mereka mengambil iktibar mahupun pelajaran terhadap apa yang berlaku.

Demikianlah, sebab-sebab untuk bersuara juga berdiam. Ada yang berhak memberi pendapat yang dapat menerangi jalan. Jika tidak, ia harus tahu sebab berdiam! Namun dalam pemesatan media sosial sekarang, menjadi kemudahan bagi setiap orang memberikan pendapat terhadap suatu isu. Sungguh seseorang muslim yang memudahkan jalan muslim yang lain, pasti akan berbalik pula kemudahannya. Sekiranya seseorang itu hanya mengeruhkan keadaan atau suatu isu, pasti ia pun berbalik pada dirinya juga. Sebagaimana picisannya seseorang itu, ia berhak bersuara dengan mulut serta anggotanya. Selari dengan pengetahuannya yang ia ada untuk menyelesaikan isu yang ada.

- hh (Kemaskini, 5:48AM 10/9/2023)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut langganan